Fenghuan Mosque |
Sumber: Legasi Zheng He
Tidak, Masjid Phoenix bukan dibina oleh Harry Potter
Dipercayai dibina sekitar zaman Dinasti Tang dan Song oleh pedagang Arab Muslim, Masjid Fenghuang merupakan suatu contoh gabungan senibina Timur Tengah dengan tempatan China. Nama lain masjid ini ialah 'Tokong Agama Hakikat' (真教寺 Zhenjiao Si).
Fenghuang bermaksud Phoenix, sejenis burung mistik yang mewakili kebesaran Maharani, manakala Maharaja diwakili oleh Naga. Masjid ini diberi nama sedemikian kerana bentuk bangunannya menyerupai burung Phoenix.
Masjid Phoenix yang seluas 2,600m² adalah satu-satunya masjid di Hangzhou sepanjang zaman dinasti-dinasti diraja. Sebut pasal Hangzhou, pastinya terbayangkan permandangan indah Tasik Barat (Xihu 西湖).
Ibn Battutah dilaporkan pernah berkunjung ke situ juga pada tahun 1345, dan begitu juga dengan Marco Polo. Hangzhou mengingatkan admin kepada Chakoi (Yàuh ja gwái 油炸鬼 / "Hantu Goreng") kerana kaitannya dengan peristiwa fitnah terhadap Panglima Yue Fei 岳飞.
Semasa China dijajah Monggol dengan pemerintahan Dinasti Yuan, masjid ini mengalami beberapa penambahbaikan. Antaranya, seorang ulama Arab bernama Alauddin menaja pembaikiannya. Kali terakhir Dewan Solat tersebut diubahsuai adalah tahun ke-18 Zhiyuan 至元 (1281) di bawah pemerintahan Kublai Khan.
Asalnya Masjid Fenghuang mempunyai menara azan, namun telah dirobohkan pada tahun ke-17 Republik China (1928) disebabkan pembinaan jalanraya berhampirannya.
Memasuki abad ke-21, jumlah kehadiran jemaah kian bertambah sehingga Masjid Fenghuang tidak lagi mampu menampungnya lagi. Disebabkan isu ini, projek pembinaan Masjid Hangzhou (杭州清真寺) telah disenarai pendekkan antara projek pembinaan utama pada tahun 2011. Tahun seterusnya, ia telahpun dipersetujui oleh Suruhanjaya Pembaharuan dan Pembangunan Bandar Hangzhou (杭州市发展改革委员会).
Mulai 12 Oktober 2012, upacara peletakan batu asas dilancarkan dan pembinaannya siap pada tahun 2016. Pada bulan Shaaban 1438H bersamaan dengan Mei 2017, Masjid Hangzhou yang seluas 7,252m² telah dibuka untuk solat dengan rasminya.
Walaupun tidak lagi digunakan sebagai masjid solat Jumaat, Masjid Fenghuang dikekalkan sebagai khazanah negara, kerana ia adalah salah satu daripada empat masjid tertua di China (中国四大古寺). Statusnya kekal sejak diwartakan oleh kerajaan China sebagai tapak bersejarah kebangsaan pada 25 Jun 2001.
Nota: 3 masjid lain yang tertua di China termasuklah:
• 扬州仙鹤寺 Masjid Xianhong, Yangzhou
• 广州怀圣寺 Masjid Huaisheng, Guangzhou
• 泉州清净寺 Masjid Ashab/Qingjing, Quanzhou
Copy and paste:
2 Disember 2020 / 17 Rabiulakhir 1442H: 9.17 pm
No comments:
Post a Comment