Thursday 10 December 2020

Keturunan Melayu di Hainan

Oleh Johari Yap
Sinar Harian
18 September 2018

APABILA disebut Hainan, perkara pertama yang mungkin timbul di fikiran kita ialah nasi ayam Hainan yang begitu popular itu. Mungkin ramai yang masih belum tahu Hainan merupakan sebuah ­pulau kecil yang terletak di selatan negara China.

Tidak lama dahulu, saya telah dikunjungi oleh rombongan dari wilayah Qinghai dan Pulau Hainan, China. Mereka semuanya beragama Islam. Yang menarik lagi, salah se­orang daripada ahli rombongan, Imam Abu Ayub, yang fasih ber­bahasa Arab, mengatakan bahawa beliau adalah daripada rumpun Melayu yang bermastautin di Pulau ­Hainan.

Saya juga mempunyai seorang sahabat Muslim dari Hainan yang bernama Noah yang kini sedang ­melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa. Beliau mempunyai lapan adik-beradik, sesuatu yang agak jarang kedengaran di ­sebuah negara yang mengamalkan polisi satu keluarga seorang anak.

Rakyat China perlu membayar denda yang agak tinggi jika tidak ­mematuhi polisi ini. Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah bagi bapa Noah yang merupakan ahli per­niagaan yang berjaya.

Polisi satu keluarga satu anak ­bermula pada tahun 1979 apabila bilangan rakyat China ketika itu sudah menghampiri 1 bilion penduduk. Walau bagaimanapun, etnik mino­riti atau mereka yang tinggal di luar bandar, atau mempunyai anak pertama yang kurang upaya, dibenarkan ­memiliki lebih daripada seorang anak.

Kebiasaannya, golongan ini mempunyai dua atau tiga orang anak. Pada akhir tahun 2015, polisi ini telah berakhir dan bermula tahun 2016, setiap keluarga boleh memiliki dua orang anak.

Komuniti Melayu dan China ­sebenarnya mempunyai sejarah yang agak lama, iaitu sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu lagi. Buku teks Pengajian Malaysia karangan Madiana dan Hasnah pada tahun 2000 (terbitan Fajar Bakti) menya­takan bahawa nenek moyang orang Melayu berasal dari Yunnan, China.

Sarjana Eropah, Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria), telah melakukan ­penyelidikan secara kasar berkenaan latar belakang dan pergerakan ma­syarakat Melayu kuno. Teori mereka mengatakan bahawa bangsa Melayu adalah daripada kelompok Austronesia yang berasal dari daerah Yun­nan di China yang berhijrah ke Asia Tenggara dalam beberapa gelombang manusia, iaitu kumpulan Melayu Proto, Negrito dan juga Melayu Deutro.

Pulau Hainan mempunyai 9 juta penduduk (2016) dengan majoritinya berketurunan Han (82.6%). Keba­nyakan penduduk Hainan yang beragama Islam tinggal di bandar Sanya, bandar paling Selatan di Pulau Hainan. Terdapat lebih kurang 10,700 orang Islam di Hainan dan seramai 8,300 orang daripadanya menetap di Sanya. Sahabat saya, Noah, juga ­berasal dari bandar Sanya.

Apa yang menarik bagi saya ialah, menurut Noah, penduduk Islam di Sanya tidak menyambut Tahun ­Baharu Cina sebagaimana penduduk Islam di Beijing. Menurut beliau lagi, umat Islam sudah mempunyai dua perayaan besar setahun, maka tidak perlu untuk mereka merayakan ­Tahun Baharu Cina.

Kemungkinan juga penduduk Islam di Sanya, yang sebahagian ­besarnya berasal dari Tanah Melayu, tidak pernah menyambut Tahun ­Baharu Cina kerana mereka bukan­nya berketurunan Cina. Noah sen­diri mengaku bahawa beliau berketurunan Melayu walaupun beliau dan keluarga beliau tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Noah juga ingin mencari keluarga nenek ­moyang beliau yang dipercayai ­berada di Terengganu.

Haji Yusuf Liu Baojun, penulis Muslim warga China, telah menulis buku bertajuk “Malay Descendant Communities In China” pada tahun 2013. Dalam buku tersebut, beliau banyak berkongsi tentang kajian-­kajian yang telah dilakukannya ber­kenaan keturunan Melayu di Hainan serta keturunan Muslim Sanya yang tinggal di Malaysia. Beliau turut ­berkongsi beberapa persamaan ­perkataan Melayu dan Muslim Sanya.

Mantan Perdana Menteri Ma­laysia, Tun Abdullah Badawi, juga mempunyai susur galur dari Hainan. Datuk sebelah ibu beliau berasal dari Kampung Huihui, Sanya. Ibu beliau bernama Ha Kailan (Kailan Hassan) manakala datuk beliau bernama Ha Su-chiang (Hassan Salleh). Tun ­Abdullah juga telah melawat Sanya sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2011 dan 2017.

Sesuai dengan hadis yang biasa kita baca dan dengar, benarlah, tidak penting pun apa keturunan kita, yang penting adalah menjadi seorang ­Islam yang bertakwa.

*Penulis adalah pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan          

Copy and paste: 10/12/2020 : 25 Rabiulakhir 1442H: 8.04 pm

No comments: