Oleh: Muhammad Ilham
Dari FB Paduka Nenda Puteri Hang Li Po
Jika ada seseorang bertanya, “Benarkah Sultan Melaka pernah berkahwin dengan seorang perempuan Cina?”, janganlah kita cepat-cepat menjawab, “Ya”. Ataupun “Tidak”.
Jawapannya bukanlah semudah itu.
PERTAMA, apakah yang dicatatkan dalam buku-buku sejarah?
Dalam Sejarah Melayu, pada 1456-1477 memang ada tertulis bahawa Sultan Mansur Shah (Sultan keenam) telah mengahwini Hang Li Po dari negeri China.
Namun begitu, dalam Ming Shi-Lu (catatan rekod istana maharaja Dinasti Ming) tiada pula sebarang catatan tentang seorang perempuan Cina yang mengahwini Sultan Melaka.
Manakala dalam Suma Oriental ada mencatatkan bahawa Sultan Megat Iskandar Shah telah mengahwini gadis Cina lewat pelayaran pulang dari China.
Tiga sumber, tiga jawapan yang berbeza-beza.
KEDUA, apakah pula pendapat para sejarawan kita?
Prof. Khoo Kay Kim mengatakan Sejarah Melayu adalah sebuah teks sastera dan bukannya sebuah teks sejarah. Rekod-rekod Ming adalah yang paling tepat and terperinci, dan kerana ia tidak menyebutkan sebarang maklumat tentang Hang Li Po, maka bolehlah dikatakan Hang Li Po adalah watak mitos.
Namun begitu, pakar sejarawan yang lain (seperti Pak Agus Sunyoto) berpendapat bahawa tradisi pemahaman sejarah di Timur tidak sama seperti di Barat. Di Barat, sejarawannya lebih banyak merujuk kepada teks sejarah. Namun di Timur pula, catatan sejarah banyak diungkapkan secara lisan dan dalam bentuk lain seperti naskah-naskah sastera. Oleh kerana itu, Sejarah Melayu tidak boleh diabaikan begitu sahaja.
Dr. Alexander Wain, yang mengkaji sejarah Islam di Nusantara dan Cina, berpendapat pula bahawa catatan dalam Suma Oriental mungkin ada asasnya. Ini kerana Sultan Megat Iskandar Shah sememangnya pernah belayar ke China pada tahun 1419, bersama Laksamana Cheng Ho.
Menurut Wain lagi, kemudian catatan rasmi Laksamana Cheng Ho telah dimusnahkan. Mungkin juga itulah sebabnya berita ehwal pernikahan Sultan kepada gadis Cina tidak sampai ke pengetahuan para pengarkib dinasti Ming.
Puteri Hang Lipo bukanlah seorang seorang puteri Maharaja Yongle atau dari keturunan Raja sebaliknya beliau adalah gadis cina biasa yang dihadiahkan kepada Sultan Mansur Syah 1456-1477 sebagai tanda diplomasi dan menyambut kunjungan baginda Sultan ke China. Terdapat juga kisah bagaimana utusan Melaka diuji oleh panglima Raja dinasti Ming.
Bayangkan, jika anda menjadi Sultan dizaman itu sanggupkah anda mengharungi Selat Melaka dan Laut Chine Selatan beribu kilometer jauhnya dengan menggadai nyawa belayar menuju China?
Pada minggu lalu, seorang pembaca ada bertanyakan soalan “Ya” atau “Tidak” tentang perkahwinan Puteri Hang Li Po.
Jawapannya tidak semudah “Ya” atau “Tidak”.
Siapakah yang tahu hakikat sebenarnya? Anda nak tahu?
Rujukan:
Suma Oriental, Vol. 2 (1944), 242.
Copy and paste:
10/12/2020 : 25 Rabiulakhir 1442H: 10.02 pm
No comments:
Post a Comment