Thursday 10 December 2020

Dinasti Ming & kegemilangan Islam

Oleh Johari Yap
Sinar Harian
4 Disember 2018

ISLAM mula bertapak di tanah besar China pada pertengahan abad ke-7 setelah sahabat Nabi Muhammad SAW, Saad bin Abi Waqqas, diutuskan Khalifah Uthman untuk menghadap Maharaja Yong Hui daripada Dinasti Tang pada 651M.

Islam terus tersebar hingga ke pedalaman China ketika pemerintahan Dinasti Tang dan Dinasti Song (618–1279). Masjid tertua di China, Masjid Huaisheng yang terletak di Guangzhou, dikatakan telah dibina oleh Saad bin Abi Waqqas pada 627M.

Pemerintahan Dinasti Tang dan Dinasti Song ialah zaman yang tenang dan membina. Hubungan perdagangan antara Arab dan China diperkukuhkan. Kemudiannya, Dinasti Yuan (1279–1358) yang berbangsa Mongol telah menggantikan Dinasti Song. Kublai Khan menaiki takhta Beijing pada 1293. Banyak polisi Kerajaan Yuan yang memihak kepada umat Islam. Ketika itu, ramai orang Islam yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Pada 1368, Dinasti Ming pula mula menggantikan Dinasti Yuan dan bertahan selama 276 tahun sebelum berakhir pada 1644. Dalam bahasa Cina, Ming bererti gilang-gemilang. Islam berkembang dengan sangat pesat ketika itu. Ketika awal penubuhan Dinasti Ming, orang-orang Monggol telah dihalau keluar. Bagaimanapun, umat Islam terus bergiat aktif dalam kerajaan baharu tersebut.

Antaranya ialah pelayar terkemuka, seorang Muslim yang bernama Ma Sam Po atau lebih dikenali sebagai Laksamana Cheng Ho (Zheng He). China merupakan negara pertama yang mengiktiraf kedaulatan Melayu Melaka melalui Laksamana Cheng Ho. Cheng Ho dilahirkan dalam satu keluarga Islam yang berpendidikan tinggi. Datuk dan bapanya telah menunaikan ibadat haji semasa beliau masih kanak-kanak.

Selain Cheng Ho, terdapat 10 jeneral Islam terkemuka yang telah berbakti semasa penubuhan Empayar Ming; antaranya ialah Jeneral Chang Yuchun, Ding Dexing, Mu Ying, Feng Sheng, dan Hu Dahai. Sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Islam, beberapa buah masjid telah dibina oleh pihak berkuasa Ming.

Pada waktu yang sama, perniagaan antara pedagang Arab dengan China semakin berkembang melalui Laluan Sutera. Ramai saudagar Arab membuka kedai di kota-kota besar China dan mereka turut mengahwini penduduk tempatan.

Mungkin tidak ramai antara kita yang minat atau tahu perihal sejarah apatah lagi sejarah negara lain. Maharaja pertama Dinasti Ming ialah Maharaja Hongwu yang memerintah dari 1368 hingga 1398. Nama sebenarnya Zhu Yuanzhang. Walaupun status agama beliau tidak dapat dipastikan, beliau telah menulis puisi (100 huruf Cina) yang memuji Islam serta Nabi Muhammad SAW. Puisi "100 Pujian" tersebut berbunyi:

Sejak terciptanya galaksi ini

Tuhan telah mengangkat

seseorang

satu manusia akhlak beriman

dari barat telah dilahirkan

baginda menerima wahyu agung

buku yang mengandungi

30 bahagian

untuk membimbing

semua makhluk

tuan kepada semua raja

pemimpin 1 yang tersuci

dengan bimbingan dari atas

untuk melindungi negaranya

bersama dengan solat 5 waktu

dalam diam mengharap rahmat (keamanan)

hatinya lurus kerana ALLAH

mengangkat darjat si miskin

menyelamatkan mereka

dari sengsara

melihat melalui kegelapan

melalui hadir jiwa dan roh

maksum dari salah dan silap

rahmat kepada sekalian alam

menyelusuri rahsia yang silam

memadam segala kejahatan

agamanya suci dan benar

Muhammad, yang dihormati lagi terhebat

Susunan puisi ini sangat indah dengan makna yang sangat mendalam. Maharaja Hongwu terkenal sebagai maharaja yang sangat bertoleransi terhadap pelbagai agama terutama agama Islam. Beliaulah yang menitahkan agar dibina beberapa masjid bagi memudahkan umat Islam beribadat; antaranya di Yunnan, Nanjing, Guangdong dan Fujian.

Menurut Perpustakaan Oriental di University of Colombia, Amerika Syarikat, isteri kesayangan Maharaja Hongwu ialah Maharani Ma (1333-1382) yang beragama Islam dengan susur-galur keturunan dari Asia Tengah. Maharani Ma sangat disayangi Maharaja Hongwu sehingga beliau tidak berkahwin lain selepas kematian Maharani Ma pada 1382. Maharani Ma melahirkan seorang anak lelaki yang kemudiannya menaiki takhta dengan gelaran Maharaja Yongle.

Maharaja Yongle merupakan pemimpin yang bertanggungjawab terhadap pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Asia Tenggara dan negara-negara Arab. Kegemilangan Islam memuncak semasa Dinasti Ming dengan tujuh pelayaran Cheng Ho ke luar negara. Semoga Islam akan kembali gemilang di China suatu hari nanti.

* Johari Yap Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Copy and paste: 10/12/2020 : 25 Rabiulakhiar 1442H: 7.30 pm


No comments: