Monday, 7 December 2020

The Cantino Map 1502 AD

Sumber: The Interesting Historical Fact of Malaysia

(Tercartanya Melaka (Malaqua) di dalam peta dunia 1502 Masihi dengan simbol Bulan Sabit pada benderanya)

Pada tahun 1502 Masihi, ketika kuasa-kuasa Eropah bernafsu melihat ke “Dunia Baru” yang luas di seberang Lautan Atlantik, peta inovatif wilayah yang tidak dikenali itu menjadi objek kuasa dan sangat menarik minat kerajaan-kerajaan di sana.
Pada masa itu, Alberto Cantino, seorang perisik Itali, berjaya mendapatkan peta Portugis yang menunjukkan penemuan yang menakjubkan di Dunia Baru.
Di zaman tersebut ilmu adalah kuasa, dan tidak ada pengetahuan yang lebih disukai oleh negara-negara Eropah pada awal abad ke-16 daripada maklumat yang dicatatkan pada peta laut.
Garis pantai, pelabuhan, sungai, sumber daya: Perincian mengenai ciri-ciri ini dapat memberi kelebihan kepada mana-mana negara Eropah pada masa itu yang berminat di dalam usaha mempertaruhkan tuntutan terhadap tanah dan kawasan di dunia baru.
Peta bernama "Cantino Planisphere," yang disiapkan pada tahun 1502 Masihi adalah peta kedua yang diketahui yang dapat menggambarkan lokasi Dunia Baru.
Ia mengandungi maklumat yang tidak diterbitkan mengenai laluan perdagangan Portugis dan penemuan berterusan garis pantai Brazil.
Pada saat pengetahuan tentang wilayah-wilayah baru memberikan kelebihan strategik dan komersial kepada negara-negara Eropah yang sedang berkembang, peta seperti itu dijaga sebagai rahsia negara. Para pengintip asing akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya.
Terdiri dari enam kepingan peta yang dilekatkan pada sebuah kanvas besar berukuran sekitar empat kali lapan kaki, peta "Cantino Planisphere" telah diciptakan di Lisbon, Portugal.
Perkataan "planisphere" bermaksud sfera yang diwakili sebagai satah (iaitu permukaan rata) dan lebih biasa digunakan untuk menggambarkan carta bintang.
Ia dinamakan sempena Alberto Cantino yang bekerja di Portugal sebagai perisik Ercole I’Este, seorang Duke dari Ferrara, sebuah negara kota yang kuat di utara Itali.
Terdapat catatan sejarah yang berbeza bagaimana Cantino memperoleh peta tersebut. Menurut satu versi, dia membuat suatu pakatan dan perjanjian dengan pembuat peta (yang mempunyai hubungan yang baik dengan beliau) di mana kesannya beliau mampu untuk menyelinap masuk ke stor simpanan peta-peta laut Portugis dan mengumpulkan maklumat yang diperlukannya untuk menyalin peta ini.
Sejarahwan lain pula berpendapat peta itu sudah sediakala wujud dan Cantino telah menggunakan kekayaan Ferrara untuk membelinya.
Apa pun cara peta itu diperolehi, catatan menunjukkan bahawa Cantino membayar harga yang besar untuknya iaitu 12 “ducat” emas, yang merupakan suatu nilai yang besar pada masa itu.
Pembuat peta pada zaman itu menghadapi tugas berat untuk menyatukan sumber lisan dan tulisan yang luas menjadi satu gambar.
Pelayaran merentasi Lautan Atlantik tentu saja bermaksud meninggalkan garis pantai Benua Eropah di belakang dan peta Cantino merupakan titik penting dalam dunia kartografi. Ini kerana ia adalah peta pertama yang merangkumi Khatulistiwa dan Lingkaran Artik.
"Cantino Planisphere" juga merupakan peta pertama yang menunjukkan "garis Tordesillas" yang dilakar dari utara ke selatan, yang menetapkan perbatasan antara wilayah Sepanyol dan Portugis.
Portugal boleh menuntut tanah di sebelah timur garis ini, sementara Sepanyol dapat menuntut tanah di sebelah barat.
Terbitnya "Cantino Planisphere" mencerminkan percubaan pembuatnya untuk mengemas-kini peta dunia dengan maklumat politik, budaya, dan ekonomi utama.
Ilustrasi hidupan liar tempatan muncul di peta: Burung Beo Senegal berwarna kelabu di Afrika Barat yang berbeza dengan Burung Macaw yang memiliki bulu berwarna-warni yang digambarkan di Amerika Selatan.
Mercu tanda kolonial juga ditunjukkan di Afrika Barat, seperti Istana Sao Jorge da Mina yang dibina pada tahun 1480’an oleh John II dari Portugal, yang berkembang menjadi pusat perdagangan utama di Afrika.
Perjalanan penjelajah Eropah abad ke-15 dan ke-16 digambarkan di peta Cantino termasuk pelayaran pertama Vasco da Gama dalam mencari laluan laut ke India (1497-1499) dan "penemuan" pantai Brazil pada tahun 1500 dan juga garis pantai Venezuela.
Ini adalah peta pertama yang menamakan Antillen iaitu kepulauan yang terdiri dari Cuba, Puerto Rico, Jamaica, Haiti, dan Republic of Dominica kini.
Semenanjung seperti ibu jari di sebelah utara Cuba dianggap oleh beberapa sejarahwan sebagai gambaran pertama.
Sesuai dengan statusnya iaitu dokumen yang mencatat perjalanan, Cantino berdepan dengan perjalanan yang berisiko setelah beliau memperolehnya.
Pada tahun 1592, ia dibawa dari Ferrara ke bandar Modena di Itali. Pada masa ini, peta ini adalah artifak, kandungannya sudah usang, tetapi peta ini masih dianggap berharga.
Pada pertengahan abad ke-19, peta ini dicuri dan hanya beberapa tahun kemudian sahaja ia ditemui dan kini ia disimpan dengan selamat dalam koleksi Galleria Estense Modena dan menjadi tanda mengenai usaha pertama Eropah untuk memetakan dunia.
Nota : Peta ini selesai diterbitkan sepenuhnya pada 1502 Masihi. Sudah tentu ia telah mulai dibuat lebih awal. Mengumpul maklumat dan membuat rujukan memakan masa yang bukan sedikit. Masuknya tahun 1500 Masihi cuma menjadi fasa Portugis mulai hadir ke Melaka secara fizikal untuk menakluk. Mereka sudah mengintai Melaka lebih awal dari 1500 Masihi tentunya!

Copy and paste:
7/12/2020 : 21 Rabiulakhir 1442H: 11.22 am

No comments: