Friday 11 December 2020

Islam, bahasa pada zaman kegemilangan Melaka

Oleh Norizzah Baharudin
31 Mei 2017

MELAKA: Kedudukan Melaka sebagai pusat ilmu dan dakwah Islam terunggul dalam sejarah kegemilangan kesultanannya bukan sahaja berpunca daripada pelabuhannya 'dikuasai' pedagang Arab, bahkan sumbangan alim ulama dalam membantu raja dan sultan.

Malah, ia turut memberikan kesan kepada bahasa Melayu apabila kedudukannya bukan sahaja diangkat kerana faktor ekonomi, bahkan dipengaruhi Islam.

Hakikat itu bukan sahaja dicatat dalam lembaran sejarah yang dirakam oleh umat Islam, bahkan turut diperakukan oleh orientalis Barat sendiri.

Berbicara pada Majlis Mawlid Agung Alam Melayu di Pusat Hang Tuah, Duyong di sini, Timbalan Pengerusi Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (GAMIN), Tun Suzana Tun Othman, mengupas mengenai Melaka yang dianggap sebagai hujah Islam seantero dunia.

Tun Suzana yang aktif dalam menjalankan kajian dan penulisan bersama suaminya, Muzaffar Mohamad berkaitan pemerintahan raja dan keluarga bendahara sehingga kini berjaya menghasilkan 14 buku mengenai Kesultanan Melayu.

Pedagang wajib guna bahasa Melayu

Suzana dalam pembentangannya berjudul Melaka Hujjah Islam Seantero Dunia memberitahu bahawa penulis dan pedagang Portugis, Duarte Barbosa mengembara bersama Ferdinand Magellan, menegaskan 'sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia.'

Selain itu, katanya, setiap pedagang yang datang ke Melaka mestilah boleh bertutur dalam bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berdagang dengan bebas dan mendapat keuntungan yang banyak, malah bahasa Melayu turut dipertuturkan di pelabuhan besar dunia.

"Antara pelabuhan dunia yang bahasa Melayu dipertuturkan ialah Kaherah, Cambay dan Ormus. Malah, Venice sebagai pelabuhan sibuk menghubungkan Eropah dengan dunia Timur turut tidak terlepas daripada sampainya bahasa Melayu yang menjadi elemen penyatuan pada zaman itu.

"Bahasa Melayu Klasik dalam tulisan jawi menjadi lingua franca sehingga berjaya mewujudkan integrasi sosial yang kukuh," katanya.

Tun Suzana turut memetik catatan Ketua Panglima Portugis, Alfonso de Albuquerque yang menyebut 'Raja Portugis sering kali memerintahkan saya ke Selat (Melaka) kerana berasakan ia tempat terbaik untuk menghalang pedagang Islam di Kaherah, Makkah dan Jeddah daripada meneruskan kegiatan mereka. Untuk melakukan tugas raja, maka kita berada di sini dengan menakluk Melaka.'

Peranan ulama

Dalam konteks Islam, Tun Suzana berkata, menerusi catatan mengenai ulama di Melaka berhubung teori pengislaman Parameswara, putera raja dari Palembang itu dikatakan memeluk Islam antara 1376 dan 1378 di Palembang yang berkemungkinan di tangan Sayyid Ibrahim Asmoro, Sunan Ngesik, Ibrahim Zain al-Din al-Akbar, Karimul Makhdum atau Syarif Auliya.

Pada majlis itu juga, Suzana mengetengahkan peranan ulama Melaka di Pulau Besar yang mengajarkan tauhid makrifat dan Syed Thanauddin, iaitu guru Laksamana Hang Tuah.

Beliau juga berbicara mengenai kegemilangan empayar Melaka antaranya Melaka berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), warisan alam Melayu daripada kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, perundangan Islam di negeri Melayu yang diambil dari Melaka dan Melaka memberikan makna Melayu Islam.

Dalam aspek kesantunan bahasa Melayu pula, Tun Suzana berkata, ia dapat dilihat bagaimana orang Melayu menggunakan kalimah 'kata' berdasarkan adab yang tinggi dan Islamik.

"Ini boleh dilihat umpamanya menggantikan perkataan 'kata' yang biasanya digunakan oleh masyarakat awam kepada 'firman' untuk Allah SWT," katanya.

Copy and paste: 11/12/2020 : 26 Rabiulakhir 1442H: 11.09 pm

No comments: