Sumber : Facebook Legasi Zheng He
Bendera berwarna-warni di perkarangan masjid, jemaah bergilir-gilir membacakan ayat-ayat suci Al-Qur'ān, asap setanggi pandan mengharumi dewan solat. Itulah antara cebisan-cebisan kenangan penulis semasa menerima jemputan menghadiri sambutan Maulidur Rasul (مولد الرسول) di Beijing pada tahun 2011. Di kalangan masyarakat Hui, hari ini dikenali sebagai Shèngjì Jié (圣纪节 / "Perayaan Mengenang Pendeta").
Bukankah Rasūlullāh ﷺ itu Nabi?
Mengapakah baginda dikenali sebagai Pendeta (圣人 Shèng rén / Sage) di China? Inilah salah satu keunikan istilah Islām di China. Sekiranya Confucius dijunjung sebagai Pendeta Agung (至圣人 / Great Sage) dari rantau timur, maka Nabi Muhammad ﷺ ialah Pendeta Agung dari rantau barat (西域至圣).¹
Konsep Nabi mahupun Rasūl tidak wujud dalam falsafah China. Maka, demi menyampaikan risalah Islām kepada rakyat majoriti Han Cina yang rata-ratanya menganut Konfucianisme, Taoisme, dan Buddhisme, para sarjana Hui menggunakan istilah-istilah Cina yang sedia ada agar mudah difahami.
Tambahan lagi, di zaman Dinasti Ming dan Qing, umat Islām tempatan berhadapan dengan cabaran identiti sebagai Muslim dan juga warganegara China. Selepas Zhu Yuanzhang mengusir kerajaan Monggol (Dinasti Yuan) dari bumi naga, sempadan negara ditutup dan kaum bukan-Han diwajibkan berasimilasi.² Daripada situlah, umat Islām tempatan beransur ansur dicinakan, baik dari segi pakaian, nama dan akhirnya bahasa ibunda. Begitu juga dengan Laksamana Zheng He. Hanya nukilannya dan aktivitinya yang mencerminkan pegangan Islāmnya.
Sirah Nabi Muhammad ﷺ yang pertama dalam Bahasa Cina sepenuhnya dinukilkan oleh Liu Zhi 刘智 (1669-1764), seorang sarjana Hui Muslim yang hidup di zaman awal Dinasti Qing. Dikatakan beliau mendapat ilham untuk menerbitkan kitab sirah selepas menziarahi makam Konfucius di Qufu, Provinsi Shandong.
Semasa mengunjungi perpustakaan keluarga Sai 赛 di Zhuxianzhen 朱仙镇, provinsi Henan, Liu Zhi berpeluang merujuk kepada kitab-kitab berbahasa Parsi untuk menulis Sīrah Nabawiyyah ini. Kitab-kitab Parsi ini disebut dalam pengenalan Sīrah sebagai 忒尔准墨 (Tè'ěr zhǔnmò). Beliau menamakan Sīrah ini Zhisheng Shilu 至圣实录 yang bermaksud 'Rekod Sahih Pendeta Agung'. Sebenarnya istilah Shilu 实录 hanya digunakan pada rekod-rekod diraja seperti Ming Shilu 明实录 dan Đại Nam thực lục 大南寔錄 (di Vietnam). Sungguhpun demikian, penggunaan istilah ini pada Sīrah tersebut dijustifikasikan dengan sebab Nabi Muhammad ﷺ adalah pemerintah Islām utama.
Kitab ini dibahagikan kepada beberapa bahagian:
Bab pertama hingga ke-3:
• meriwayatkan salasilah keturunan Rasūlullāh ﷺ, adat tempatan baginda, dan senarai isi kandungan.
Bab ke-4 hingga 18:
• meriwayatkan kisah-kisah perjalanan hidup Rasūlullāh ﷺ, kemuliaan akhlaqnya dan proses pembentukan ajaran Islām.
Bab ke-19:
• meriwayatkan sejarah, geografi, sosial, budaya negara-negara dan rantau-rantau majoriti Muslim di Asia Tengah, Asia Barat dan Afrika Utara. Lampirannya memaparkan catatan-catatan Cina termasuk kisah pelayaran Laksamana Zheng He dan batu-batu bersurat masjid China terhadap hubungan China dengan Muslim, pandangan terhadap Islām dan sajak pujian terhadap Rasūlullāh ﷺ oleh para Maharaja Dinasti Ming dan Qing.
Bersesuaian dengan sistem kronologi rekod diraja, setiap peristiwa penting diiringi tarikhnya mengikut tafsiran pengiraan Liu Zhi:
• Keputeraan Muhammad ﷺ jatuh pada senja 12 RabīʿulʾAwwal bersamaan dengan kalendar Cina malam 13 haribulan 11, tahun pertama Zhongdatong, zaman Maharaja Wu Dinasti Liang selatan
(南梁武帝中大同元年十一月十三日).³
[Tarikh moden: Jumaat 21 Disember 546M]
• Pengisytiharan Muhammad ﷺ sebagai Rasūl Allāh jatuh pada 12 RabīʿulʾAwwal bersamaan dengan kalendar Cina 13 haribulan 8, tahun ke-6 Kaihuang, zaman Maharaja Wen Dinasti Sui(隋文帝开皇六年八月十三日). ⁴
[Tarikh moden: Ahad 1 September 586M]
• Pembukaan Kota Makkah jatuh pada bulan Ramaḍān tahun 7 Hijrīah bersamaan dengan kalendar Cina bulan 7, tahun ke-2 Linde, zaman Maharaja Gaozong Dinasti Tang (唐高宗麟德二年乙丑七月). ⁵
[Tarikh moden: Ogos/September 665M]
Mungkin buat pertama kali juga, nama-nama sahaba Rasūlullāh ﷺ ditransliterasikan ke dalam Bahasa Cina, seperti Khadijah dieja Hèdǐ'chè 赫底彻.⁶
Yang menariknya dalam manuskrip bersejarah ini, kisah Nabi mengutuskan Saʿd ibn Abī Waqqās dan 4 sahabat lain pergi menghadap Maharaja China untuk menyampaikan risalah Islām dijumpai dalam kronologi bertarikh tahun 2 selepas Allāh melantik Nabi, bersamaan dengan tahun ke-7 Kaihuang, zaman Maharaja Wen Dinasti Sui (隋文帝开皇七年) yakni tahun 587M.⁷ Dilihat daripada sudut gaya bahasanya, China dieja Chìní 赤尼. Sebutan ini berasal daripada Bahasa Parsi Pertengahan iaitu Chīnī چین, manakala nama Saʿd dieja Sài'ěrdì Wògē'shì 赛尔弟斡歌士. Mengapa kisah ini disusun dalam zaman awal Rasūlullāh ﷺ, hanya Allāh ﷻ Maha Mengetahui. Namun yang pasti, Saʿd sebenarnya dilahirkan pada tahun 595M.
Sungguhpun Sīrah ini terdapat banyak kesilapan fakta (semoga Allāh ﷻ mengampunkan kecuaian Liu Zhi dan meredhai usahanya), namun tidak dinafikan ia adalah suatu usaha Dakwah penting di bumi naga. Malah, keindahan gaya bahasa Liu Zhi dalam meriwayatkan perjalanan hidup Rasūlullāh ﷺ menarik minat Maharaja Qianlong, yang kemudian berkenan menurunkan cap diraja Yùlǎn (御览, yakni "telah dibaca dengan perkenan Maharaja") pada Sīrah tersebut.⁸
Peristiwa perkenan diraja ini sebenarnya berlaku selepas Insiden Hai Furun (海富润案) pada tahun ke-47 Qianlong (1782), di mana seorang Hui Muslim bernama Hai Furun 海富润 dituduh memiliki buku-buku yang menghina Maharaja (baca: mengancam keselamatan negara) oleh Gabenor Provinsi Guangxi bernama Zhu Chun 朱椿 sehinggakan Hai Furun dihukum penjara. Di kala siasatan, Yuan Guozuo 袁国祚 (cucu kepada Yuan Ruqi 袁汝琦, anak murid Liu Zhi) bergegas ke Beijing walaupun penuh keuzuran dirinya. Beliau merayu kepada Kementerian Hal Ehwal Istana (内务府) di Kota Larangan untuk mempersembahkan kitab Sīrah Nabawiyyah ini kepada Maharaja Qianlong. Selepas diteliti isinya di samping berpuas hati bahawa tiada sebarang unsur derhaka dalam kitab-kitab Islām, serta didorongi hasrat ingin mendamaikan masyarakat Muslim, Maharaja Qianlong berkenaan mengurniakan perkenan cap mohor Yulan terhadap Sīrah Nabawiyyah ini bersama-sama titah menegur sikap Islamophobia tersebut.⁹
Kitab ini mula siap disunting oleh Liu Zhi semasa beliau dalam usia 50an pada 1725 tahun ke-3 Yongzheng Dinasti Qing (清雍正三年). Ia mula dicetak beberapa kali oleh Yuan Guozuo terutamanya pada zaman Maharaja Qianlong selepas Insiden Hai Furun. Sekali lagi pada zaman Maharaja Daoguang, Tongzhi dan Guangxu, kitab ini diterbitkan dan biasanya dicetak oleh masjid-masjid. Menyelusuri tahun ke-4 Republik China (民国四年/1925), ia diulang cetak oleh Ma Fuxiang 马福祥. Setelah tertubuhnya Republik Rakyat China, edisi terkini diterbitkan oleh Persatuan Islām China (中国伊斯兰教协会) pada tahun 1984.
Malah, ia turut diterjermahkan ke dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1921 oleh penginjil British bernama Isaac Mason (1870-1939) dan diberi tajuk 'The Arabian Prophet: A Life of Mohammed from Chinese Sources'. Ia diterbitkan oleh Shanghai Commercial Press.
Sesungguhnya, kitab Tianfang Zhisheng Shilu 天方至圣实录 ini merupakan suatu kejayaan bagi umat Islām di China dalam memperkasakan jati diri agama dan bangsanya di bumi naga di samping melengkapi kitab-kitab Islām berbahasa Cina lain.
Tidak terhenti begitu sahaja, ia adalah tanda usaha umat Islām China menghadapi Islamophobia dalam tanah airnya. Tidaklah keterlaluan untuk dinyatakan, sejarah insiden Hai Furun berulang lagi dengan insiden penghinaan Nabi di Perancis baru-baru ini. Sebaiknya kita sebagai Ummah harus berdepan dengan isu ini dengan memperbanyakkan perkongsian khabar baik daripada Nabi penuh Rahmat Allāh ini setelah baginda bersabda, "بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً" (Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat).¹⁰
Inilah kemuliaan Nabi Muhammad ﷺ, yang juga merupakan moyang kepada Laksamana Zheng He melalui Gabenor Yunnan Sayyid Ajall Syamsudin(赛典赤·赡思丁). ¹¹
𝙇𝙄𝙆𝙀 & 𝙎𝙃𝘼𝙍𝙀
𝑳𝒆𝒈𝒂𝒔𝒊 𝒁𝒉𝒆𝒏𝒈 𝑯𝒆 ~ 鄭和之遺 ~ لڬسي چيڠ هو
ᴡᴡᴡ.ғᴀᴄᴇʙᴏᴏᴋ.ᴄᴏᴍ/ʟᴇɢᴀsɪᴢʜᴇɴɢʜᴇ
.
[Rujukan]
(1) Liu Zhi, Tianfang xingli, Root Classic 4: 86 in Ibid., 141-142.
(2) Jiang Yonglin (penterjermah), The Great Ming Code: Da Ming lü, Chapter 3: Laws on Revenue, Section 3: Marriages, Article 122, University of Washington Press, 2005, hlm 88
(3) 天方至圣实录 卷之五
Liu Zhi, Tianfang Zhisheng Shilu, Zhongguo Yisilanjiao Xiehui, Beijing, 1984, hlm 88
(4) 天方至圣实录 卷之七
Ibid, hlm 113
(5) 天方至圣实录 卷之十三
Ibid, hlm 231
(6) 天方至圣实录 卷之七
Ibid, hlm 117
(7) 天方至圣实录 卷之七
Ibid, hlm 120
(8) M.A. Aldrich & Lukas Nikol, The Perfumed Palace: Islam's Journey from Mecca to Peking, Garnet Publishing Limited, 2010, hlm 16
(9) 乾隆年間一起波及鎮江回族的「文字獄」,每日頭條,2016年8月9日,https://kknews.cc/history/3a52mo.amp,dicapai 29 Okt 2020.
Untuk hubungan pertalian Yuan Guozuo dengan Liu Zhi, lihat:
Thibaut d'Hubert, Alexandre Papas (ed), Jāmī in Regional Contexts: The Reception of ʿAbd Al-Raḥmān Jāmī’s Works in the Islamicate World, Ca. 9th/15th-14th/20th Century , Brill, 2018: 435
(10) Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3461) dalam Sahih-nya.
(11) Rujuk "Zheng He Keturunan Nabi?" , Legasi Zheng He @ Facebook https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=113835483429530&id=111336687012743
Copy and paste:
3/12/2020 @ 17 Rabiulakhir 1442H : 6.11 pm
No comments:
Post a Comment