Saturday, 12 December 2020

KEDAH TUA DAN LANGKASUKA

Sumber dari FB Sejarah Kedah Tua

KEDAH:
Pusat Terawal Langkasuka
(200-750 M)
Penulis/Penyusun: DR IBRAHIM BAKAR LANGKAWI
PENDAHULUAN
Hingga pada masa ini, kita memang mempunyai persangkaan, bahawa ‘Langkasuka’ boleh dikaitkan dengan negeri Kedah, namun bukti yang nyata masih sangat kurang untuk kita ketengahkan.
Salah satu sumber keterangan utama mengenai Langkasuka yang diketahui ramai ialah nota sejarah Dinasti Liang (c. 500 Masihi), yang menceritakan tentang negeri “Lang-ya-xiu”. Pada masa nota itu ditulis, negeri ini telah sangat besar, yang meliputi Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung. Negeri ini diceritakan telah ditubuhkan kira-kira 400 tahun sebelum catatan ini dibuat, namun tidak diceritakan dengan tegas dimanakah pusat kekuasaannya.
Catatan-catatan Cina yang lain seperti Wu-pei-chih, telah menyatakan dengan agak tegas bahawa pusat Langkasuka ialah di Pantai Timur, sekitar Singgora sekarang.
Namun, ada pula cerita dari beberapa sumber yang boleh kita ambil kesimpulan bahawa kedudukan negeri ini adalah di sebelah Pantai Barat.
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, hanya disebutkan terlalu ringkas mengenai nama ini. Katanya: ‘Maka Raja Merong Mahawangsa pun berangkatlah hendak melihat susuk tanah tempat hendak diperbuat kota parit balai istana diiringkan oleh kaum gergasi dengan segala menteri lalu bertemulah dengan tanah bumi yang baik, terlalu indah tempatnya dengan tanahnya, menjadi tiada turun ke bahteranya, gila dengan membuat kota istana dengan balainya yang terlalu amat besarnya lagi dengan indahnya. Setelah sudah balai itu maka dinamai akan dia ‘LANGKASUKA’ kerana….’
Dalam At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, juga terdapat keterangan yang hanya mengaitkan secara longgar. Katanya: ‘Hatta, maka berhimpunlah Tan Dermadewa dan Tun Perkasa dan lain-lain ketuha di balai penghadapanmengadap Maharaja Derbar Raja, lalu baginda bertitah menyatakan hajat baginda hendak menamakan kota itu dan juga hendak mengurniakan pangkat menteri-menteri. Sa-sudah putus muafakat itu maka dinamakan kota itu KOTA LANGKASUKA.’
Walau pun begitu, keterangan mengenai sejarah Langkasuka ini banyak juga terdapat dalam suatu kitab lama berjudul ‘TARIKH PATANI’ (Ejaan asalnya ialah: ڧتاني تاريخ), yang dikarang oleh Tuan Sheikh Faqih Ali Al-Fathani, dalam sekitar tahun 1450 Masihi. Secara tegas, pengarang ini telah menyatakan bahawa pusat kerajaan Langkasuka yang paling awal adalah di Kedah. Setelah itu barulah pusat kerajaan Langkasuka itu berpindah ke kawasan Pantai Timur Semenanjung. Selain itu dinyatakan juga bahawa keturunan raja-raja Langkasuka di Pantai Timur itu, diikuti dengan raja-raja Patani kemudiannya, adalah berasal usul dari Kedah juga.
Setelah itu nama Langkasuka terus dikenali di sebelah Pantai Timur. Zaman dinasti Song (960-1279) ia dicatatkan sebagai “Lang-ya-se-chia”. Semasa Dinasti Yuan (1279-1368) sebagai “Long-ya-si-jiao” dan semasa Dinasti Ming (1368-1644) sebagai “Lang-se-chia”. Berikutnya, negeri tersebut telah berubah menjadi Negeri Patani.
MENGENAI KITAB RUJUKAN:
Kitab rujukan: Kitab yang menjadi rujukan penulis adalah sebuah kitab bertulisan Rumi, yang disunting oleh Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah Al-Fathani, yang diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, dalam tahun 2000. Kitab asalnya adalah sebuah penulisan oleh Sheikh Faqih Ali, kemudian disalin oleh Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani dalam tahun 1813 Masihi (bersamaan 1228 Hijrah). Kemudian, kitab salinan yang bertulisan Jawi itu telah di-Rumi-kan oleh penyunting tersebut diatas.
Pengarang asal: Kitab asalnya adalah tulisan Sheikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Sheikh Syafiuddin bin al-Abbasi al-Fathani.
Tarikh kitab ditulis: Pada kitab asal tersebut tidak dinyatakan tarikh penulisannya. Berdasarkan kajian Wan Mohd Shaghir, Sheikh Faqih Ali adalah cucu Sheikh Syafiuddin telah datang ke Patani dalam sekitar tahun 1400 Masihi. Oleh itu dianggarkan kitab Tarikh Patani ini telah dikarang oleh Sheikh Faqih Ali sebelum tahun 1500 Masihi (lihat halaman 4). Kemungkinan besar ia telah ditulis dalam sekitar tahun 1450 Masihi. Oleh itu ia adalah antara kitab yang tertua mengenai sejarah Melayu, khasnya Patani, yang pernah ditulis.
Sumber rujukan: Kitab sejarah ini dikarang atas titah Sultan Patani. Menurut Sheikh Faqih Ali: “Perhamba seorang yang tak berguna, lagi hina, Sheikh Faqih Ali bin Muhammad bin Shafiuddin dititah oleh sultan banyak kali dah, supaya berikhtiar mengarang dan menyusun Tarikh Patani kerana takut hilang riwayat kisah-kisah purbakala. Dan perhamba pun ikhtiar mengikut titah sultan yang mulia.”
Bagi tujuan membantu pengarang, sultan telah ‘memberi riwayat kisah-kisah sangat banyak’ dan ‘boleh (=beroleh/diperdapat) tulisan-tulisan peringatan zuriat-zuriat orang tua titih Raja Patani asli qurun yang lama.’ Maksudnya, selain dari keterangan lisan, Sheikh Faqih Ali telah diberikan oleh Sultan Patani pada masa itu banyak nota-nota berkaitan salasilah raja-raja, yang tertulis dalam beberapa bahasa. Antaranya ialah (1) Sumber berbahasa Hindi dan Buddha (tulisan Pallava?), (2) Sumber berbahasa Arab, (3) Sumber berbahasa Jawa, (halaman 7), (4) Sumber keterangan Cina, juga dikutip tetapi tidak dinyatakan sumber aslinya (halaman 9).
Walau pun Sheikh Faqih Ali menyatakan kesukarannya menyelesaikan kerja penulisan ini, dengan berkata: ‘Dan perhamba payah sangat-sangat hendak karang ini tarikh, sebab tarikh lama itu banyak Buddha dan Hindu’, tetapi beliau telah dapat menyudahkannya dengan pertolongan beberapa orang lain bagi menterjemahkan bahasa-bahasa yang tidak difahaminya.
Seorang tua beragama Buddha dari Ligor, yang memahami bahasa Hindi dan Buddha telah datang membantu Sheikh Faqih Ali, dan Sultan Patani telah berkenan mengurniakan tanah di negeri Jala untuk tempat tinggalnya. Selain itu, seorang berbangsa Jawa dari Bogor, yang datang menumpang duduk dengan Sultan Patani juga telah membantu Sheikh bagi menterjemahkan sumber berbahasa Jawa. Sumber catatan Arab adalah daripada datuknya Syeikh Shafiuddin (halaman 7).
Kesahihan fakta: Berdasarkan keterangan tersebut itu, maka dapatlah kita melihat bahawa Sheikh Faqih Ali tidaklah sembarangan mengarang kitab sejarah ini, melainkan menggunakan sumber dari istana, yang boleh dikatakan terjamin kesahihannya. Dan, kebanyakan keterangan yang diberikan oleh Sheikh Faqih Ali dari rujukan sumbernya pada masa itu, misalnya beberapa keterangan mengenai tahun kejadian, didapati bertepatan dengan perkara sebenar yang berlaku, mengikut hasil kajian terkini.
FAKTA-FAKTA MENGENAI LANGKASUKA MENURUT SHEIKH FAQIH ALI:
1. Tidak dapat dinyatakan dengan pasti bilakah bermulanya kerajaan Langkasuka itu. Namun, menurut sumber, sejak SEBELUM MASIHI, telah ada orang Cina datang berniaga di negeri ini. (hlm 9)
2. Menurut sumber keterangan Cina (dalam tahun Cina), negeri Langkasuka telah mula mempunyai Raja semenjak tahun 200 Masihi. (hlm 9)
3. Orang Cina memanggil nama Langkasuka pada masa itu sebagai ‘CHIEH-TO’. (Sheikh Faqih Ali menulisnya sebagai:(چيھتۇ ), ditranliterasi oleh Wan Mohd Shaghir sebagai ‘CHAI HA TU’. Sepatutnya dibaca sebagai CHIEH-TO, iaitu Ke-dah). (hlm 23)
4. Pusat pemerintahan (ibu ‘ashimah’=ibu negeri) Langkasuka adalah di Kedah. (hlm

5. Raja yang memerintah kerajaan (‘hukumah’) Langkasuka beragama Hindu dan Berahman. (hlm

6. Agama rasmi negeri Langkasuka mengikut agama orang India (Hindi). (hlm 9)
7. Ada juga orang India yang datang ke sini yang menyeru dan mengembangkan agama Buddha. (hlm 12).
8. Masuknya agama Buddha ke Langkasuka membawa serta bahasa Sanskrit dan bahasa Pallawa (Bali / Pali). (hlm 19)
9. Ada pula orang India yang terus ke negeri Cina menyebarkan agama Buddha. Agama Buddha telah mula masuk ke negeri Cina mulai kira-kira tahun 400 Masihi, menurut sumber Cina (hlm 13).
10. Sheikh Faqih Ali memetik dari catatan datuknya, Sheikh Shafiuddin, bahawa Raja Langkasuka bernama (maksud: berketurunan) MAHA BANGSA (=Maha Wangsa). Baginda mempunyai ramai isteri. Oleh itu baginda mempunyai ramai putera, yang dihantar ke merata negeri naungan kerajaan Langkasuka. (hlm 14)
11. Negeri-negeri kawalan (naungan) Langkasuka termasuk LIGOR dan SINGGORA. (hlm 9). Ini bermakna kerajaan Langkasuka adalah sebuah kerajaan berbentuk FEDERASI (BERSEKUTU), di mana tiap-tiap negeri naungan mempunyai raja dengan kuasa autonomi tertentu.
12. Di kawasan PATANI itu juga telah diletakkan seorang Raja, yang merupakan sebagai ‘waris Raja Langkasuka di Kedah’.(hlm 9)
13. Dari segi kedudukan, Raja Patani adalah lebih tinggi daripada Raja Legor dan Raja Singgora, kerana Raja Patani di ‘beri amaran perintah di sebelah laut bagi ‘syamsi’ (maksudnya sebelah matahari naik, iaitu di sebelah Pantai Timur). (hlm 10).
14. Bandar pelabuhan yang paling besar dalam Langkasuka ialah di kawasan PATANI, tetapi nama Negeri Patani belum lagi wujud pada masa itu. (hlm 9), (hlm 11).
15. Kedah dihubungkan dengan Pelabuhan Patani melalui jalan darat, menggunakan gajah. Perjalanan gajah mengambil masa satu bulan 25 hari, melalui bukit bukau, sekiranya berjalan dalam keadaan berhenti-henti untuk gajah makan dan rehat. (hlm 10)
16. Orang Arab dan Farsi ada datang berniaga di Langkasuka. Pada masa itu mereka masih belum beragama Islam. Kebanyakan orang Farsi menyembah api, iaitu beragama Majusi. Ada juga pedagang-pedagang yang beragama Musa (Yahudi) dan Isa (Kristian). (hlm 11)
17. Belum ada undang-undang keluarga (Islam) tentang nikah-kahwin di Langkasuka pada masa itu. Oleh itu, percampuran antara orang India dan Cina dengan orang Melayu adalah perkara biasa. Orang Arab kurang berkahwin campur dengan orang Melayu pada masa itu, tetapi ada juga sebilangan kecil. Demikian juga sebilangan orang Farsi ada berkahwin campur dengan orang Melayu. (hlm 13-14).
18. Dari segi undang-undang adat, Raja Langkasuka menganggap semua rakyat baginda sebagai ANAK. Ini ada kaitan dengan kepercayaan orang India juga, yang mempercayai mitos lama India mengenai seorang anak Raja bernama Qakhabathar, iaitu anak Raja Uqa. Kepercayaan ini bermula apabila Qakhabathar memohon kepada ayahandanya untuk menjalankan kehidupan sebagai rakyat biasa. Mulai saat itu semua rakyat negeri tersebut dianggap sebagai anak raja. (hlm 14).
19. Diceritakan bahawa Kerajaan Sriwijaya yang berpusat di Palembang berkedudukan lebih kuat daripada Kerajaan Langkasuka. (hlm 14)
20. Dalam sekitar tahun 750 Masihi, Raja Sriwijaya bernama SANG JAYA BANGSA. (hlm 15)
21. Semasa pemerintahan Sang Jaya Bangsa, tentera Sriwijaya telah masuk menyerang dan mengalahkan Langkasuka. (hlm 15)
22. Setelah berjaya mengalahkan Langkasuka (di Kedah), Raja dari Sriwijaya terus berusaha berasimilasi dengan cara mengahwini puteri Raja Langkasuka (Kedah) itu. (hlm 23)
23. Hasil dari perkahwinan itu, lahirlah putera-putera yang menggunakan gelaran ‘BANGSA’ (=WANGSA) juga.
24. Putera yang tua (‘kakak’=kekanda) kemudiannya telah ditabalkan menjadi Raja di Kedah (masih sebahagian Langkasuka pada masa itu), manakala yang adiknya dijadikan Raja di Langkasuka sebelah Timur.(hlm 23-24)
25. Setelah menang perang dan keadaan menjadi tenang, barulah Raja Sriwijaya mencari tempat untuk membuka negeri baharu di sebelah timur. Maka dimulakanlah kerja-kerja di kawasan sekitar Patani sekarang. Sebelum itu kerajaan Patani belum wujud. (hlm 15). Mulai ketika itu barulah berkembang kerajaan Patani, yang diasaskan oleh raja-raja keturunan Sri Wijaya. Negeri ini dijadikan pusat pemerintahan Sri Wijaya di sebelah Pantai Timur. (Sheikh Faqih Ali menggunakan bahasa: ‘tempat kira bicara hukumah’) (hlm 16)
26. Semenjak itu kawasan federasi Langkasuka telah diubah nama menjadi JAYA, dengan Rajanya ialah Raja Sriwijaya. Pada masa itu pusat pemerintahan utama ialah di Palembang. (Menurut bahasa Sheikh Faqih Ali: ”Syahdan, maka adalah negeri LANQASUKA pun salin nama JAYA, negeri RAJA SERI WIJAYA, dan ’ashimah di negeri PALEBANG. Di waktu itulah RAJA SERI JAYA dapat kuasa besar di dalam negeri-negeri Melayu khususnya.”). (hlm 24). Ini bermakna, pada ketika itu nama Langkasuka telah mula ditinggalkan, digantikan dengan nama (SRI WI) JAYA. Nama Kedah masih diguna sebagai negeri naungan, manakala nama Patani sedang berkembang.
27. Berikutnya, RAJA BANGSA yang memerintah di PATANI itu telah memperoleh dua orang putera dan dua orang puteri. Salah seorang puteranya bernama RAJA ANTIRA BANGSA (=Raja Indra Wangsa) dan yang seorang lagi bernama RAJA CANTERA BANGSA (=Raja Chandra Wangsa). Setelah cukup masanya, RAJA CANTERA BANGSA dititahkan oleh ayahandanya untuk menjaga Negeri LIGOR, manakala RAJA ANTIRA BANGSA dititahkan menjadi raja di Negeri Langkasuka (Patani). (hlm 24)
28. Mulai saat itulah BAHASA MELAYU telah dikembangkan di sini, mengikut bahasa di Sriwijaya. (hlm 23)
29. Kira-kira dalam tahun 775 Masihi, Raja Sriwijaya telah menyerang kawasan LIGOR, dan menjadikan tempat itu sebagai ibu negeri utama (‘ashimah besar’) bagi negeri-negeri Melayu. (hlm 23). Kegagahan tentera Sriwijaya pada masa itu menjadikan semua kawasan itu di bawah kawalannya, termasuk kawasan Patani. Pada masa itu kawasan negeri Patani masih lagi dikenali sebagai LANGKASUKA. (hlm 23).
30. Setelah itu kerajaan Sriwijaya telah menyerang dan mengalahkan negeri Khmer (Kemboja) (hlm 16)
31. Raja Antira Bangsa yang memerintah Patani itu telah memperoleh putera yang dinamakan RAJA ANTIRATA BANGSA (Raja Andiradha Wangsa).
32. Kira-kira dalam tahun 800 Masihi, Patani telah diperintah oleh Raja Andhiradha Wangsa. Pada masa ini telah berlaku sedikit perselisihan perebutan kuasa. (hlm 24)
33. Pada masa itu juga telah berlaku peperangan antara Negeri JAYA dengan Negeri KHEMIR. Raja Patani telah menghantar bantuan perang kepada Raja negeri Jaya, dan berikutnya mereka dapat mengalahkan Khemir. (hlm 25)
34. Ketika itu Negeri Khemir adalah jajahan takluk Empayar Sriwijaya juga. Dan, negeri Khemir itu pernah mempunyai hubungan baik juga dengan Negeri Jaya, kerana putera Raja Khemir itu telah berkahwin dengan salah seorang putera raja negeri Jaya. Orang Melayu menyebut nama Negeri Khemir itu sebagai NEGERI CEMPAKA PURA. (Champa?). (hlm 24)
35. Keturunan Raja Sriwijaya di Patani itu ada pula yang berkahwin dengan seorang puteri dari negeri Jaya. Namun, puteri tersebut tidak dibenarkan pindah oleh ayahandanya ke Patani. Maka Raja Sriwijayalah yang berpindah dari Patani ke Negeri Jaya. Negeri Patani diserahkan untuk diperintahkan oleh puteranya dengan ibunda Patani. (hlm 16)
36. Kemudian, putera Raja Sriwijaya itu dikahwinkan dengan seorang puteri Raja Singgora. Kenduri yang besar telah diadakan, dengan jemputannya hingga ke negeri India, Cina dan Palembang. Setelah itu putera Raja Sriwijaya itu dimasyhurkan gelarannya sebagai RAJA MAHA BANGSA, menurut seperti moyangnya di Langkasuka. (hlm 17)
37. Diceritakan pula bahawa seorang putera Raja Ligor telah berkenan pada seorang puteri Raja Singgora yang cantik rupa parasnya. Namun, puteri tersebut telah dicadangkan oleh Raja Sriwijaya (sebagai penguasa utama) untuk dikahwinkan dengan putera Raja Mulkul Jawa. Akibatnya negeri Ligor telah bermusuhan dengan negeri Singgora. Untuk mendamaikannya maka Raja Sriwijaya (bersemayam di Patani) telah mengambil keputusan mengahwinkan putera Raja Ligor itu dengan puteri Singgora seperti yang diinginkan. Maka keadaan menjadi aman semula. Berikutnya, apabila rombongan Mulkul Jawa datang, maka putera Raja Mulkul Jawa itu dikahwinkan dengan salah seorang puteri Raja Sriwijaya di Patani. Perkara ini tidak menjadi masalah kerana puteri Raja di Patani itu sebenarnya mempunyai pertalian darah juga dengan raja-raja Mulkul Jawa. (hlm 19)
38. Asal usul raja-raja Sriwijaya itu adalah dari Mulkul Jawa juga. (hlm 19)
39. Pada zaman pemerintahan Raja Andhiradha Wangsa memerintah di Patani, terdapat seorang puteri dari negeri Singgora yang sangat elok rupa parasnya. Puteri ini ingin dipinang oleh anak seorang saudagar Parsi yang terkenal di Patani pada masa itu. Maka, Raja Andhiradha Wangsalah yang pergi meminang puteri untuk anak saudagar itu. (Kemungkinan besar saudagar Parsi itu sangat berpengaruh di kalangan raja-raja Patani ketika itu-pen.). Anak saudagar Farsi tersebut bernama SULAIMAN SYAH. (hlm 26)
40. Raja Andhiradha Wangsa memerintah masih di bawah naungan kekuasaan Raja Sriwijaya.
41. Raja Andiradha Wangsa digantikan oleh anakandanya yang bernama RAJA ANTIRATA DEWA BANGSA (=Raja Andiradha Dewa Wangsa). Ketika ditabalkan umurnya telah mencapai 31 tahun.
42. Kira-kira 500 tahun setelah Sriwijaya menguasai Langkasuka (iaitu sekitar tahun 1250 Masihi-pen.), telah terjadi perselisihan antara keluarga raja-raja Sriwijaya (di Sumatera dan Tanah Melayu) dengan keturunan keluarga SAILENDRA, yang pada masa itu berkuasa di Mulkul Jawa. Akibatnya terjadilah peperangan. Dalam perselisihan ini, keluarga keturunan raja-raja Sriwijaya yang memerintah di Patani telah menyebelahi keluarga Sriwijaya (di Sumatera). Walau pun hakikatnya orang Jawa lebih kuat tetapi orang Sriwijaya tidak dapat dikalahkan pula. Maka akhirnya kedua-dua keluarga / kerajaan itu berdamai (‘turun tangan buat as-saadah’). (hlm 22)
43. Akibatnya, kawasan Pantai Timur / Patani dikuasai oleh kedua-dua keluarga, iaitu Sriwijaya (Sumatera) dan Sailendra (Jawa). Mulai saat itu, keluarga Sailendra juga ada membuat kota di kawasan Patani, untuk menjaga kesejahteraan rakyat Melayu naungannya di Pantai Timur (hlm 22). (Kemungkinan yang dimaksudkan di sini ialah Sriwijaya [Palembang] tidak lagi menguasai pada masa itu, tetapi digantikan dengan kekuasaan raja-raja Sailendra [Jawa]).
44. Namun, berikutnya, kerajaan Sailendra kurang memperdulikan kawasan naungannya di Ligor. Akibatnya Ligor menjadi kurang maju dibandingkan dengan kawasan Patani. (hlm 22)
45. Dalam masa pemerintahan Raja Andhiradha Dewa Wangsa di Patani, telah timbul suatu peperangan besar. Peperangan tersebut terjadi kerana pakatan antara Raja LIGOR dan Raja JAYA untuk menjatuhkan kekuasaan Raja keturunan SRIWIJAYA di negeri-negeri itu. (hlm 26). Permusuhan ditambah pula dengan rasa benci raja-raja Ligor dan Jaya itu terhadap orang-orang Jawa dan Sumatera.
46. Pada masa ini orang Melayu sudah ramai beragama Islam. (hlm 23, 26). Dengan itu sering pula terjadi perselisihan antara Melayu Islam dengan Melayu Buddha. (hlm 23)
47. Pada masa itu Raja Ligor dan Jaya sedang berusaha membangunkan sebuah kuil (’kanisah’) agama Buddha yang sangat besar. (hlm 26).
48. Pakatan Raja-Raja Ligor dan Jaya telah berjaya menjatuhkan kekuasaan Raja Sriwijaya di sana. Akibatnya, Maharaja Sriwijaya terpaksa berundur lari ke Patani. (hlm 27)
49. Berikutnya, Raja Ligor dan Jaya telah dapat membangunkan sebuah kerajaan baru di situ yang dinamakan TAMBRALINGGA (Sheikh Faqih Ali menulisnya sebagai ‘Tamanga Singa’).
50. Walau pun ramai rakyat sudah Islam, tetapi raja-rajanya masih menggunakan nama-nama / gelaran dalam bahasa Sanskrit dan Pallava (Bali). (hlm 23).
51. Bahasa harian yang dituturkan di kawasan Pantai Timur / Patani ialah bahasa Melayu, mengikut orang Sriwijaya, tetapi telah bercampur sedikit dengan bahasa Jawa apabila kawasan ini telah dikuasai oleh keluarga Sailendra. Dengan itu bahasa di sini bercampur aduk kerana sebelum ini di sini telah pun dipengaruhi oleh bahasa Hindi dan juga bahasa Langkasuka (disebut ‘bahasa Langkawi’). (hlm 23)
KESIMPULAN:
1. Kedah dikenali sebagai Langkasuka kira-kira 550 tahun lamanya, iaitu antara tahun 200-750 Masihi. Langkasuka kemungkinan mula ditubuhkan di sebelah Pantai Timur. Setelah itu ia berkembang keseluruh kawasan Segenting, dari Pantai Timur hingga ke Pantai Barat. Antara abad ke-3 hingga 6 Masihi, sebelah Pantai Timur banyak dipengaruhi oleh kekuatan kerajaan Funan. Pada masa itu, Langkasuka lebih berpusat di Pantai Barat, khasnya Kedah.
2. Ketika Langkasuka masih berpusat di Kedah, telah datang pembesar-pembesar dari tanah Parsi ke sini, yang dapat diterima dengan baik oleh masyarakat tempatan. Pada masa inilah berlaku assimilasi pemerintah sehingga menghasilkan dinasti baru Kedah-Parsi. Langkasuka terus berpusat di Kedah.
3. Apabila kerajaan Funan telah lemah, kekosongan kuasa segera diambil oleh kerajaan Sriwijaya, yang mula masuk ke Semenanjung dalam sekitar tahun 750 Masihi. Apabila Sriwijaya dapat menguasai Semenanjung, assimilasi pemerintah berlaku lagi antara keluarga Sriwijaya dengan keluarga di Kedah. Keturunan keluarga inilah yang akhirnya dihantar menjadi pemerintah di negeri-negeri naungan Sriwijaya di seluruh Semenanjung. Seterusnya, Sriwijaya telah mengubah pusat pemerintahannya di Semenanjung ke Ligor. Semenjak itu Kedah kembali sebagai negeri naungan dan panggilan Langkasuka di Kedah sudah tidak dipakai lagi. Namun, nama Langkasuka terus digunakan di Pantai Timur, sebelum wujudnya nama Kerajaan Patani.
4. Keluarga raja yang memerintah di sebelah Pantai Timur berasal dari dinasti di Kedah, hasil assimilasi antara keluarga raja Kedah-Parsi dengan keluarga raja Sriwijaya, yang terus menggunakan gelaran keluarga MAHAWANGSA.
‘Wa-l-Lahu a’lamu bi-s-sawab. Wa ilaihi-l-marji’u wa-l-maab’
Selesai: 11 Ogos, 2007.
RUJUKAN:
1. Siti Hawa Salleh, 1970. Hikayat Merong Mahawangsa, University of Malaya Press, Kuala Lumpur-Singapura.
2. Muhammad Hassan bin To’ Kerani Muhammad Arshad, 1968. At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Edisi Rumi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
3. Ali Al-Fathani, Sheikh Faqih, ca. 1450. Tarikh Fathani, Versi Salinan oleh Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani, ditransliterasi dan disunting oleh Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah, 2000, terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur.

Copy and paste:
12 Disember 2020 : 26 Rabiulakhir 1442H: 1.45 pm

No comments: