DARI FB LEGASI ZHENG HE
Tatkala anda membaca ayat ini, duta Khalīfah ʿUthmān ibn ʿAffān telahpun selamat tiba di ibu kota China hari ini, 1,369 tahun lalu.
Setelah sekian menghadapi pelbagai rintangan perjalanan dari Madinah, pada hari ini juga Maharaja Taizong 太宗 wangsa Dinasti Tang 唐朝 akan menerima mengadap duta Khalīfah tersebut di Balairung Istana, ibu kota Chang'an (kini Xi'an).
Detik ini juga menjadi tonggak sejarah kepada umat Islām terutamanya kepada masyarakat Hui minoriti, kerana inilah pertama kali pertemuan antara kuasa besar antarabangsa secara tidak langsung. Penyaksian ini oleh ahli pencatat istana dirumuskan dalam kitab Jiu Tang Shu 旧唐书 :
“...八月乙丑大食国始遣使朝献。” ²
(…Hari Yichou³ bulan lapan, kerajaan Dashi mula mengutuskan dutanya ke balairung Istana untuk mempersembahkan ufti.)
Ayat dua belas patah perkataan ini nampak ringkas, namun admin lebih tertarik dengan satu perkataan situ, iaitu Shǐ 始 (mula). Perkataan itu adalah tanda jelas rombongan diplomatik ini adalah julung-julung kali dalam sejarah kedua-dua negara. Adakah Dinasti Tang juga sebenarnya telah lama menjangkakan kehadiran wakil Daulah Islamiyah Khulafāʾ ar-Rāsyidin?
Melihat kepada tarikh, dinyatakan 4 (yichou) haribulan 8, dan kenyataan ini berada dalam perenggan tahun ke-2 era Yonghui 永徽. Ini bersamaan dengan 2 haribulan Muharram tahun 31 Hijrah (25 Ogos 651 M).
Istilah Dashi 大食 dalam ayat ini merujuk kepada Tanah Arab. Istilah nama ini dipercayai berasal daripada sebutan Tayyi, yakni Banu Tayy atau nisbahnya At-Ta’i ٱلطَّائِي . Banu Tayy berketurunan Qahtani قَحْطَانِي yang berasal dari Yaman. Disebabkan keturunan ini begitu ramai pada abad ke-5 di Gurun Syria, masyarakat Mesopotamia yang bertutur Bahasa Aramia Syria menggunakan nama kaum ini khususnya dalam merujuk kepada orang Arab umum dengan sebutan Tayyaye. Istilah ini kemudian meresap ke dalam Bahasa Parsi Sasaniyyah sebagai Tāzīg dan kemudian Tāzī. Dalam tulisan Cina, selain Dashi 大食, terdapat beberapa versi ejaan dalam mewakili nama Tayyi, antaranya Dashi 大寔 (oleh sami Korea bernama Hyecho 慧超) dan Duoshi多氏 (oleh sami China bernama Yijing/I-Ching 义净).
Prof. Haji Yusuf Chang pula berpendapat, duta Khalīfah ʿUthmān diutuskan ke China demi menyampaikan risalah Islām, kerana Mushaf Al-Qur'ān juga siap disusun oleh Khalīfah ʿUthmān pada masa yang sama.⁴
Bertitik tolak daripada hari ini, Daulah Islām Khulafāʾ ar-Rāsyidin terus menerus mengutuskan dutanya ke China -menurut catatan China- lebih daripada 30 kali, sekali dalam setahun dua. Demikianlah dinyatakan dalam kitab Jiu Tang Shu 旧唐书 dan encyclopedia Cefu Yuangui 册府元龟.
Walaupun lawatan julung-julung kali ini tidak pula menyebut nama duta tersebut, namun berbanggalah baginya diizinkan Allāh untuk menjadi duta pertama ke China!
Kepada semua pembaca Muslim, Selamat Maal Hijriah & Jumuah Mubarak!
祝穆斯林大家回历元旦和主麻快乐!
[Nota/Rujukan]
[1] Zaman pemerintahan Khalīfah ʿUthmān ibn ʿAffān daripada 11 November 644 M sehingga 20 Jun 656 M.
[2] Jiu Tang Shu, Bab 4, Catatan ke-4 Maharaja Gaozong jilid 1
(旧唐书,卷4,本纪第4 高宗上)
[3] Yichou adalah nama bagi hari ke-4, menurut sususan sistem Ganzhi 干支 (Heavenly Stems & Earthly Branches). Ayat penuh tarikh ini menurut kalendar Cina ini ialah:
永徽二年八月乙丑(初四).
[4] Prof. Hajji Yusuf Chang, Chinese Islam And The Hui Minority: Past, Present And Future; Presented to: The Conference of The Legacy of Islam in China, 1989: hlm 3
Copy and paste: 2/12/2020 @ 16 Rabiulakhir 1442H: 3.21 pm
No comments:
Post a Comment