Wednesday, 2 December 2020

“Aku Kesal Lambat Kembali Kepada Islam…”

By Editor YADIM
Susunan: KHALEED RIDZQEEN


“Assalamualaiki, ya amatallah.” (Semoga anda bahagia, wahai hamba Allah).

“Waalaikassalam, ya akha Abi Darda” (Dan semoga anda bahagia jua, wahai sahabat Abu Darda), jawab isteri kepada tuan rumah setelah melihat sahabat baik suaminya datang berkunjung.

"Anakah sahabatku Abu Darda?” Abdullah, sahabat suaminya bertanya.

“Suamiku ke kedainya, tidak lama lagi pasti dia pulang,” jawab Ummu Darda. Abdullah meminta izin untuk masuk lalu dipersilakan oleh isteri sahabatnya itu.

Dalam perjalanan ke kedai, Abu Darda terpaksa menempuh kesesakan luar biasa di jalan menuju Kota Yathrib. Hairan dengan keadaan itu, Abu Darda cuba menyelidik. Rupa-rupanya, kesesakan itu berpunca daripada keberangkatan pulang angkatan tentera Rasulullah SAW dari peperangan Badar. Abu Darda segera mencari-cari sahabat baiknya yang diketahuinya turut menyertai angkatan Muhammad SAW itu.

Walaupun beliau dengan sahabatnya berlainan pegangan agama, namun tali persahabatan tidak sekali-kali diputuskan sementelah persahabatan mereka sudah lama terjalin sebelum Islam bertamu di hati sahabatnya itu lagi. Abu Darda akui, sahabatnya memang tidak pernah jemu dan berputus asa untuk memujuk dan memperlihatkan keindahan Islam, tetapi hatinya masih tidak bersedia untuk memeluk agama yang dibawa kekasih Allah, Muhammad SAW itu.

Abu Darda tiba di kedainya sambil melakukan rutin biasa dengan melayan pelanggan yang berkunjung tanpa mengetahui sahabat baiknya, Abdullah bin Rawahah sudahpun tiba di rumahnya.

Di rumah Abu Darda, isterinya meminta izin dari tetamunya untuk kembali mengerjakan rutin suri rumah selepas mempersilakan tetamunya itu masuk. Kesempatan itu diambil oleh Abdullah untuk melihat-lihat sekeliling rumah. Sebuah bilik di dalam rumah itu telah menarik perhatian Abdullah. Di dalam bilik dengan wangian mengisi segenap ruang itu tersergam berhala sembahan yang dibaluti dengan kain sutera mahal.

Dihampirinya patung itu, lalu dipecahkannya hingga hancur berderai seraya berkata, “Ketahuilah, setiap yang disembah selain Allah adalah batil!” Setelah selesai menghancurkan patung itu, Abdullah bin Rawahah terus pergi meninggalkan rumah sahabatnya Abu Darda tanpa sempat bersua.

Hidayah Dari-Nya

Melihatkan patung sembahan mereka telah hancur, Ummu Darda mula menangis. Tidak lama kemudian, suaminya Abu Darda pulang dari kedai lalu mendapati isterinya sedang menangis di pintu bilik yang menempatkan patung sembahannya.

“Mengapa engkau menangis?” tanya Abu Darda kepada isterinya.

“Sahabatmu, Abdullah bin Rawahah sebentar tadi telah datang bertanyakan keberadaanmu. Dia telah menghancurkan patung sembahanmu, lihatlah sendiri,” jawab Ummu Darda.

Abu Darda masuk ke bilik itu lalu mula mengutip sisa serpihan patung sembahan seraya berkata, “Celakalah kamu, mengapa tidak dilarang! Mengapa kamu tidak membela dirimu sendiri?”

Pada mulanya, Abu Darda memang ingin mencari sabahatnya Abdullah, tetapi setelah kemarahannya beransur reda, dia memikirkan kembali peristiwa yang telah berlaku dan berkata, “Seandainya patung itu Tuhan yang boleh memberikan manfaat atau membela seseorang, sudah tentu Dia boleh mempertahankan dirinya sendiri dan dapat memberi manfaat.” Saat itulah benih-benih keimanan mula berputik dalam diri Abu Darda. Akhirnya, bersama sahabat baiknya, Abdullah bin Rawahah, beliau menyatakan keislamannya di hadapan Rasulullah SAW.

Abu Darda Sesudah Islam

Abu Darda adalah salah seorang sahabat yang terakhir kembali kepada Islam. Abu Darda menyesali dirinya yang lewat memeluk Islam kerana melihatkan sahabat-sahabat lain yang telah memperoleh hidayah telah mendapat kefahahaman mendalam dan nikmat agama. Oleh itu, beliau sentiasa beribadat dan bertekad untuk mengejar ketinggalannya dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira waktu. Untungnya, Abu Darda dapat mempelajari ilmu agama terus daripada Rasulullah SAW.

Beliau menekuni al-Quran dan menghafal setiap bait ayat-ayatnya serta menggali pengertian dan pengajaran yang terkandung di dalam kitab agung itu. Hatinya telah dipenuhi cinta terhadap agama dan Hari Akhirat. Hari-harinya dipenuhi dengan beribadat, lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah, malah Abu Darda juga selalu mengimamkan solat. Beliau juga sentiasa membuka majlis-majlis taklim dan mengajarkan agama selain melakukan kerja-kerja pengumpulan al-Quran.

Setelah memeluk Islam, Abu Darda memandang perniagaannya sebagai suatu ibadah. Katanya, “Sebelum kedatangan Rasulullah, aku telah berdagang. Maka, setelah kembali kepada Islam, saya ingin menggabungkan perdagangan untuk beribadat. Demi Allah, yang jiwa Abu Darda dalam kuasa-Nya, aku akan menggaji penjaga pintu masjid supaya aku tidak ketinggalan solat berjemaah. Kemudian aku berjual beli dan berlaba setiap hari 300 dinar. ‘Aku tidak mengatakan, Allah Ta’ala mengharamkan berniaga. Tetapi aku ingin menjadi pedagang, bila perdagangan dan jual beli tidak mengangguku untuk zikrullah (berzikir).”

Keperibadian Unggul

Abu Darda ternyata bersedia meninggalkan segala kesenangan dan kemegahan dunia demi beribadat kepada-Nya. Baginya, cukuplah hidup hanya dengan sesuap makanan untuk menggerakkan anggota badan dan sehelai pakaian untuk menutupi tubuhnya.

Sehinggakan diriwayatkan bahawa pada suatu malam yang dingin, beliau menerima tetamu yang ingin bermalam dirumahnya. Beliau mempersilakan mereka dan menyambut mereka dengan senang hati. Mereka dihidangkan dengan makanan yang hangat tetapi ketika hendak tidur, mereka tidak dibekalkan dengan selimut. Maka mereka memutuskan untuk bertanyakan tentang selimut, takut-takut Abu Darda terlupa mengenainya. Lalu ketika mereka pergi ke bilik tidur Abu Darda, dilihatnya Abu Darda sedang baring tanpa sebarang selimut dan hanya memakai pakaian nipis yang tidak mungkin dapat melindunginya daripada kedinginan malam.

Lantas orang itu bertanya kepada Abu Darda, “Aku melihat kamu sama sahaja dengan kami yang kedinginan tanpa selimut. Ke mana saja kekayaan dan harta benda kamu?”

Jawab Abu Darda, “Kampung kita nun jauh di sana (akhirat). Untuk di sana nanti, kita mengumpul bekal dan ke sana kita akan kembali. Kita akan berangkat ke sana dan beramal untuk bekal di sana nanti. Seandainya masih ada yang tinggal di sini, sudah tentu kami telah memberikannya kepada kalian.”

Begitu juga ketika Abu Darda berada di Syam. Amirul Mukminin Umar al-Khattab telah mengunjunginya di malam hari. Ketika Khalifah Umar membuka pintu rumah Abu Darda, ternyata pintu tidak berkunci manakala rumah gelap-gelita tanpa sebarang cahaya. Ketika Abu Darda mendengar suara Umar, beliau menyambut sahabatnya itu dengan mesra lalu mempersilakannya duduk. Kedua-dua sahabat itu telah berbual dan berbincang mengenai perkara-perkara penting dalam kegelapan sehinggakan masing-masing tidak nampak akan satu sama lain.

Khalifah Umar al-Khattab meraba-raba bantal alas tempat duduk Abu Darda dan mendapati tempat duduk sahabatnya itu adalah pelana kuda. Dirabanya pula tempat tidur sahabatnya dan mendapati tilamnya hanya berisi pasir. Dirabanya pula selimut, ternyata yang ada hanya pakaian-pakaian nipis yang tidak dapat menghangatkan tubuh ketika kedinginan.

Sedih dengan keadaan sahabatnya itu, Khalifah Umar berkata, “Semoga Allah SWT melimpahi rahmat-Nya kepada kamu. Mahukah kamu aku bantu? Mahukah kamu aku kirimkan sesuatu untuk melapangkan hidupmu?”

Jawab Abu Darda, “Ingatkah kamu wahai sahabatku Umar, sebuah hadis yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada kita?”

“Apakah hadisnya wahai sahabat?” tanya Umar.

“Bukankah Rasulullah SAW telah bersabda, ‘Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau bahkan seperti orang yang sekadar bermusafir (iaitu secukup dan seadanya).” (HR Bukhari no. 6416)

“Ya, aku masih ingat!” jawab Umar.

“Lalu apa yang telah kita usahakan sepeninggalan Rasulullah, wahai Umar?” pertanyaan Abu Darda itu membuatkan Umar menangis lalu kedua-dua sahabat itupun menangis bersama sehingga subuh.

Saat Kematian

Ketika saat kematiannya, Abu Darda yang gering telah dikunjungi oleh para sahabat. Mereka sempat bertanya kepadanya, “Apa yang kamu keluhkan?”

“Dosa-dosaku,” jawab Abu Darda.

Maka sahabat bertanya lagi, “Apa yang kamu inginkan?”

“Ampunan dari Tuhanku.” Jawab Abu Darda. Kemudian beliau memohon para sahabat mengulangi kalimah syahadah; laa ilaha illallah, Muhammad Rasulullah…

Kemudian dia berkata kepada orang-orang yang hadir di sekitarnya, “Ulangkanlah kepadaku kalimah, Laa ilaaha illallah, Muhammad Rasulullah.”

Nama lengkapnya adalah Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Anshari al-Khazraji. Abu Darda berasal dari kalangan Ansar dari suku Khazraj. Beliau wafat pada tahun 32 H di Damaskus, Syiria.

ARTIKEL DARIPADA MAJALAH DAKWAH TERBITAN YADIM

Copy and paste:
2/12/2020 @ 17 Rabiulakhir 1442H: 7.22 pm

No comments: