Thursday, 10 December 2020

Khazanah Kesultanan Melaka

Oleh Yusrin Faidz
Dari FB Neo-Melayu

Istana Melaka lengkap dibina Sultan Mansur Shah dengan sebuah 'Kota Wang'. Tidak dapat dipastikan tentang dimensi dan lokasinya. Apa yang pasti ianya adalah bangunan berasingan dalam kawasan Istana yang kini dipercayai terletak di lereng sebelah barat Bukit St Paul.
Seperti pembinaan mana-mana bilik kebal, terdapat unsur kerahsiaan dalam pembinaan Kota Wang tersebut. Menurut Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), ianya adalah satu-satunya struktur yang didirikan oleh orang Semenanjung Tanah Melayu iaitu tukang-tukang dari Muar. Manakala bangunan dan struktur lain dalam Istana iaitu Istana Besar, 3 Istana Kecil, Balairong, Penanggahan, Balai Penghadapan, Balai Apit Kiri & Kanan, Balai Jawatan, Balai Kendi, Pemandian, Masjid, bangsal gajah dan pagar didirikan orang-orang dari Kepulauan Jawa, Sumatera, Sulawesi dan Maluku. Keseluruhan bangunan Istana termasuk Kota Wang dikatakan siap dalam masa satu bulan.
Menurut catatan Alfonso de Albuquerque, Sultan Mahmud Shah dan pengikut-pengikutnya berjaya menyelamatkan lebih kurang 1/3 dari kekayaan Melaka. Nilai harta rampasan (nisbah 2/3 darinya) telah dikira dan dinilaikan dalam kadar matawang Portugal iaitu cruzados.
Setelah dikumpul, harta rampasan tersebut telah dibahagi-bahagikan dengan cara berikut:-
1) nilai 200,000 cruzados diberi kepada Raja Portugal, Manuel I. Sebahagian besar dalam bentuk 60 tan emas dan 200 tong batu permata (bernilai semasa USD2.5 billion) dikatakan tenggelam bersama Flor de la Mar pada November 1511;
2) Setiap askar mendapat 4,000 cruzados (anggaran: 1000 askar x 4,000 cruzados = 4,000,000 cruzados);
3) Setiap Kapten mendapat 30,000 cruzados (anggaran: 16 kapten x 30,000 cruzados = 480,000 cruzados).
Dari segi perbandingan nilai, ketika itu 1,000 cruzados adalah dikatakan anggaran pendapatan tahunan bagi seorang aristokrat berstatus 'Count' di Portugal.
Dirumuskan nilai keseluruhan harta alih Melaka pada sekitar Julai 1511 adalah lebih kurang 7,020,000 cruzados iaitu bernilai semasa USD87.75 billion. 1/3 darinya yang bernilai 2,340,000 cruzados (nilai semasa USD29.25 billion) selamat dilarikan pengikut-pengikut Sultan. Manakala 2/3 darinya yang bernilai 4,680,000 cruzados (nilai semasa USD58.5 billion) dirampas Portugis.
Sumber:
1) Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
2) Comentários de Afonso de Albuquerque, (1557), t. A Bailo, Combra (1923).
3) Lendas da Índia, Gaspar Correia, (introduction and review by M. Lopes de Almeida). Porto: 1975.)

Copy and paste:
10/12/2020: 24 Rabiulakhir 1442H: 7.05 pm

No comments: