Oleh : Rodly Fadly - HARIAN METRO
Kesempatan berkunjung ke rumah yang pernah didiami penulis tersohor Amerika Syarikat, Agnes Newton Keith bersama suaminya, Harry Keith dan anak mereka, George benar-benar mencetuskan keterujaan dalam diri.
Rumah agam Agnes Keith yang terletak di Jalan Istana, Sandakan, Sabah, antara destinasi menarik yang perlu dikunjungi sekiranya ke bandar itu.Keunikan seni bina, dekorasi rumah dan sejarah yang terkumpul di dalamnya menambahkan lagi keinginan penulis untuk menjejakkan kaki ke situ.
Dari luar, rumah dua tingkat yang dibina berasaskan kayu itu menggamit kedatangan pengunjung.
Walaupun suatu ketika dulu rumah itu terbiar dan hampir musnah, namun pemuliharaan yang dilakukan oleh Muzium Negeri Sabah pada 2001 berjaya mengekalkan reka bentuk asalnya.
Ditambah pula dengan lokasinya yang berada di atas bukit, dikelilingi pepohon menghijau menjadikan suasana di situ begitu nyaman dan damai.
Melangkah masuk ke dalamnya membuatkan penulis terpana seketika dengan hiasan dalaman yang mengekalkan konsep asal dekorasi rumah berkenaan yang dilengkapi perabot zaman kolonial.
Meskipun susun aturnya kelihatan sangat ringkas namun penggunaan perabot kayu di setiap sudut rumah itu sama ada katil, almari, meja hias mahupun meja makan membuatkan hiasan dalaman rumah berkenaan berada pada kelas tersendiri pada zamannya.
Barang-barang antik seperti pasu, tembikar, cawan, peti ais, mesin jahit, alat pemain piring hitam, lampu, mesin taip, gong, tempayan, pinggan mangkuk, telefon dan lain-lain turut melengkapkan dekorasi rumah berkenaan.
Dindingnya pula dihiasi keterangan mengenai Agnes berserta gambar keluarga dan pemandangan sekitar Sandakan pada zaman silam dengan sendirinya mengimbau sejarah keluarga itu dan bandar berkenaan.
Di tingkat bawah, terdapat ruang tamu serta dapur dengan ruang makan yang sangat luas. Sementara itu di tingkat atas, terdapat bilik tidur utama dan bilik tamu yang kini dijadikan ruang teater selain bilik bacaan dan galeri mini bergambar memaparkan perjalanan hidup Agnes terutama ketika menetap di Sandakan.
Kunjungan ke rumah yang juga dikenali sebagai Newlands itu memang berbaloi kerana di sebalik keunikan seni bina serta dekorasinya, ia menyimpan banyak khazanah sejarah terutama mengenai Agnes, wanita yang diabadikan namanya pada rumah berkenaan.
Malah, ramai yang tidak tahu rumah agam di atas bukit itu turut menyimpan cerita misteri. Hanya mereka yang berkunjung ke rumah itu akan mengetahuinya!
Mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah Agnes Keith? Apakah istimewanya wanita itu sehingga namanya diabadikan pada rumah berkenaan sedangkan mengikut senarai yang dipaparkan, rumah itu pernah dihuni 26 individu lain.
Agnes dilahirkan pada 6 Julai 1901 di Illinois, Amerika Syarikat. Sejak zaman remaja, dia gemar menulis cerita fiksyen menggunakan pelbagai nama samaran. Karyanya banyak disiarkan dalam beberapa majalah terkemuka termasuk Reader’s Digest.
Malah, selepas menamatkan pengajian di University Of California, Berkeley, dia bertugas sebagai wartawan dengan The San Francisco Examiner pada 1924.
Selepas berkahwin dengan Harry Keith, Pegawai Konservasi Hutan yang bertugas di Sandakan pada 1934, Agnes mengikut suaminya ke Sandakan. Pada awalnya mereka tinggal di rumah bujang yang disediakan untuk Harry tapi akhirnya berpindah ke sebuah rumah lebih selesa di atas bukit.
Walaupun mereka adalah penghuni kedua tinggal di rumah itu selepas M M Clark, namun rumah itu lebih sinonim dikaitkan dengan Agnes kerana dalam rumah itu dia menghasilkan buku ‘Land Below The Wind’ pada 1939 yang menceritakan mengenai kehidupan masyarakat tempatan Sabah serta alam semula jadinya.
Buku itu turut mengalahkan 600 buku lain untuk memenangi pertandingan kategori bukan fiksyen anjuran majalah Atlantic Monthly.Malah gelaran Negeri Di Bawah Bayu yang diberikan kepada Sabah adalah inspirasi daripada karya Agnes itu sehinggakan dia dianggap sebagai ‘duta’ negeri berkenaan.
Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Agnes dan keluarganya pulang ke Amerika Syarikat. Namun, apabila kembali ke Sandakan pada 1946, mereka mendapati rumah itu musnah.
Ia kemudian dibina semula untuk didiami keluarga Keith di mana Agnes menamakannya sebagai Newlands. Di dalam rumah itulah terhasilnya dua lagi buku karangan Agnes berjudul ‘Three Came Home’ pada 1946 dan ‘White Man Returns’ (1951).
Pasangan itu pulang ke tanah air mereka pada 1952 namun nama Agnes terus kekal dalam ingatan masyarakat Sabah khususnya Sandakan sehinggakan apabila Muzium Negeri Sabah membina semula rumah itu, ia dinamakan Rumah Agnes Keith sebagai satu penghargaan kepadanya.
Antara catatan Agnes iaitu tinggal di rumah itu memang menjadi idamannya dan dia sangat gembira sepanjang menjadi penghuninya.
Namun Agnes tidak lupa mencatatkan pengalaman seram yang sering dilalui sepanjang tinggal di rumah berkenaan.
Agnes menulis: “Saya tidak percaya pada hantu. Tetapi setiap hari saya melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang.”
Malah, pengalaman seram turut dialami seorang lagi penghuni, Rosemary, isteri kepada G L Carson yang menetap di situ selama 12 tahun (1955-1967). Rosemary tinggal seorang diri ketika suaminya bertugas di Kota Kinabalu.
Menurut Rosemary, dia terbangun pada waktu Subuh dan terdengar pintu di bilik hujung rumah ditutup beberapa kali, diikuti bunyi orang berjalan menuju ke biliknya.
Apabila dia membuka mata, Rosemary mendapati satu lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil memerhati ke arahnya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kerana selepas itu dia pengsan.
Seorang pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967 hingga 1968 pula terserempak dengan wanita sedang berdiri di anak tangga.
Banyak lagi catatan dalam bentuk makalah yang dipamerkan di satu sudut rumah itu yang menceritakan kejadian seram dialami penghuni rumah berkenaan.
Ia membuktikan di sebalik keunikan serta sejarahnya, Rumah Agnes Keith turut menyimpan cerita misteri yang pastinya menjadikan ia lebih menarik untuk dikunjungi.
Mungkinkah suatu hari nanti, cucu cicit Agnes akan kembali ke sana untuk menyaksikan sejarah yang ditempa oleh ahli keluarganya? Tiada siapa yang tahu.
No comments:
Post a Comment