Dr. Ahmad Sanusi
1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah membayangkan tentang kemunculan golongan pendakwah yang menyeru manusia ke pintu neraka. Mereka mengajak manusia melakukan kejahatan yang bercanggah dengan ajaran Rasulullah.
2. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah ketika ditanya oleh Saidina Huzaifah. Huzaifah bertanya tentang apakah perkara yang lebih buruk dari kaum yang tidak mengamalkan sunnah Rasulullah. Lalu Rasulullah menjawab:
دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمِ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا
“Pendakwah di pintu neraka Jahannam. Barangsiapa yang menyahut panggilan mereka, mereka akan mencampaknya ke dalam neraka.” (HR al-Bukhari)
3. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan tentang apa yang dimaksudkan dengan pendakwah ke pintu neraka. Kata Ibn Hajar:
أَي يدعونَ النَّاس إِلَى الْعَمَل بِمَا يولج فِيهَا
“Iaitu golongan pendakwah yang menyeru kepada melakukan amalan yang membawa manusia masuk ke dalam neraka.” (Fath al-Bari)
4. Manakala al-Imam al-Nawawi memberikan perincian yang lebih halus. Beliau seakan menafsirkan golongan ini ditujukan kepada pemimpin yang rosak. Kata al-Nawawi:
هَؤُلاءِ مَنْ كَانَ مِنَ الأُمَرَاءِ يَدْعُو إِلَى بِدْعَةٍ أَوْ ضَلالٍ آخَرَ
“Mereka ini adalah golongan pemimpin yang menyeru kepada bid’ah atau kesesatan yang lain.” (al-Nawawi, Sharah Muslim)
5. Menurut Sheikh Musa Shahin, golongan ini digelarkan sebagai pendakwah yang berada di pintu neraka Jahannam kerana sifat mereka yang mengajak manusia melakukan kejahatan yang mengheret mereka ke neraka. Kata beliau:
ووصفهم بكونهم على أبواب جهنم باعتبار ما يؤول إليه حالهم، كما يقال لمن يقرب من فعل محرم، وقف على شفير جهنم
“Pendakwah tersebut disifatkan berada dipintu neraka kerana sifat mereka mengajak kepada kejahatan sepertimana mereka yang mendekati perlakuan yang diharamkan, maka mereka disifatkan berada ditebing neraka Jahanam.” (Fath al-Mun’im)
6. Sangat benar hadis Rasulullah ini. Hari ini kita bimbang akan kewujudan pendakwah yang menyeru kepada kebatilan, kerosakan isu akidah dan pemikiran liberal. Malah yang lebih membimbangkan lagi andai wujud golongan yang menggunakan agama sebagai topeng melakukan maksiat.
Nasihat buat diri saya sendiri.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Copy and paste from FB
6/12/2020 : 20 Rabiulakhir 1442H: 10.27 am
No comments:
Post a Comment