Friday, 3 January 2025

Za’ba tidak menghadkan kemiskinan kepada harta benda sahaja

Posted on FB by:
Sarah Zakariya > Kisah Sejarah Melayu
29 Disember 2024

Saya kongsikan di sini satu perenggan di dalam rencana tulisan Za’ba yang diterbitkan oleh Al Ikhwan di dalam tahun 1927 berdasarkan rencana asal di dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan di dalam tahun 1923:
“Bahawa kemiskinan perangai yang mulia-mulia seperti rajin usaha, jimat, cermat, tekun, tinggi hemat, kuat kemahuan, teguh cita-cita, benar, kepercayaan, menepati janji, menghargakan waktu, ada kehormatan diri sendiri, biasa menjalankan akal dan berfikir sendiri, merdeka hati, tiada tertunduk-tunduk dan tersembah-sembah, gemar faedah ramai, menjauhi perkara-perkara yang cemar dan merosakkan maruah dan beberapa yang lain lagi pada kebanyakan orang Melayu itu telah terjadi ia oleh beberapa sebab yang banyak, tetapi di antara sebab-sebab itu dua perkara tiadalah sekali-kali boleh dibilangkan kecil: iaitu pertama dan terutama, keadaan agama Islamnya dan iktikad-iktikad kepercayaannya yang telah jatuh beberapa rendahnya daripada ketunggalan dan kebersihannya yan asli, pada hal iktikad-iktikad agama itulah yang memerintahkan segala jalannya dan gerak-gerinya hidup di dalam dunia ini”.
Saya tertarik kepada perenggan ini kerana bagi Za’ba, kemiskinan dari segi perangai dan sikap yang boleh menjadikan satu bangsa itu kompetitif dan maju ialah kerana kecelaruan di dalam kefahaman mereka kepada Allah dan kaedah mereka beragama.
Untuk menghargai kritikan Za’ba ini, kita kena membawa diri kita balik ke 100 tahun yang lalu dan membayangkan bagaimana masyarakat di kala itu memahami agamanya. Adakah ianya sama dengan apa yang dijadian oleh Nabi Muhammada SAW atau ianya sekadar apa yang diperturunkan oleh orang tua-tua yang dijadikan ikutan semata-mata?
Satu persoalan yang kita kena tanya dan jawab dengan jujur ialah “adakah selepas lebih 100 tahun, kita semua sudah bebas dari kemiskinan perangai-perangai yang mulia ini?
Ada satu peranggan yang bagaimana perangai menyalahkan kerajaan sudah berakar umbi dari dahulu lagi “Kebanyakan orang berfikir ialah kita mesti berhadap dan meminta akan dia daripada kerajaan. Bahkan sesungguhnya sangatlah senangnya (walau siapa pun boleh) menyalahkan kerajaan pada serba-serbinya; maklumlah pemerintah daripada bangsa lain! Akan tetapi mengapa tidak disalahkan diri sendiri dahulu?”.
Jika diperhatikan di pelbagai media sosial selepas 100 tahun dari artikel asal Za’ba, menyalahkan orang lain selain dari diri sendiri ini masih kuat, malah dianggap sebagai satu perkara yang sudah menjadi seperti satu hak keistimewaan.
Besok saya akan kongsikan pula cadangan-cadangan Za’ba untuk menyelesaikan masalah kemiskinan orang Melayu ini.
Nik Hasyudeen

Copy and paste:
3/1/2025: 6.21 p.m

No comments: