Wednesday, 1 January 2025

Malaysia Syurga Arkeologi Dasar Laut

Sumber: 446 > 1 January 2025

Salah satu aset pelancongan atau aset penyelidikan arkeologi Malaysia yang masih belum diteroka sepenuhnya ialah khazanah yang terbenam di dasar laut berupa tinggalan kapal-kapal yang melalui Selat Melaka juga Laut Melayu di sebelah Pantai Timur.
Setakat ini sebanyak 153 tapak kapal karam direkodkan dengan 66 daripadanya sudah menjalani survei dan kajian menurut sumber dari Jabatan Warisan Negara.
Ia merangkumi kapal karam bermula dari abad ketiga Masihi sehingga kurun ke-19 dan kapal karam era Perang Dunia Kedua dalam bentuk tapak kapal perang, kapal selam dan kapal terbang milik pihak bersekutu dan Jepun selain kapal yang karam di bawah 100 tahun.
Ia termasuk penemuan kapal jenis enjin wap di Penjom, Kuala Lipis; kapal besi jenis enjin wap Paloh Hinai, Pekan serta artifak dan serpihan kayu di Kuala Pahang, Pekan. Di Melaka, kapal karam Kesultanan Melaka ditemui di Pulau Melaka serta artifak dan serpihan kayu di Syah Bandar, manakala satu lagi kapal karam ditemui di Pulau Bidong, Terengganu.
Antara artifak objek bersejarah yang ditemukan ialah pecahan kayu dan peralatan badan kapal, wang Kesultanan Melaka zaman pemerintahan Sultan Mahmud (1488 hingga 1511), pecahan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Ming, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis. Turut ditemui ialah seramik Sawankhalok dari kurun ke-16 hingga 17, seramik celadon dari Dinasti Song, porselin dari Dinasti Ming, duit syiling China dari Dinasti Tang, Song dan Ming serta syiling Kesultanan Pahang.
Namun ini masih sedikit daripada jumlah sebenarnya. Berdasarkan rekod perkapalan dan sumber Portugis, Belanda dan British terdapat lebih 6000 buah kapal dipercayai karam pada kedalaman antara 5 hingga 65 meter di perairan negara.
Mana tidaknya, Malaysia yang dikelilingi perairan seperti selat, laut dan lautan malah terletak berdekatan laluan perdagangan maritim antarabangsa serta berdekatan selat paling sibuk dalam dunia pastinya memiliki khazanah yang banyak dan tak ternilai harganya.
Selain dari cabaran utama bidang arkeologi maritim yang memerlukan belanja besar kerana peralatan saintifik bagi mengesan dan menyelidik kapal karam itu agak mahal, negara kita kekurangan pakar arkeologi laut.
Sebab itu Srikandi sering menyatakan bahawa bidang maritim di negara kita perlu disegarkan kembali (revival). Selain bidang maritim atau kelautan yang berkaitan dengan perdagangan, perikanan, pembuatan kapal, logistik, kurier, pesta laut, sukan air atau seni ukir perahu tradisional, di sana juga ada segmen arkeologi laut.
Tapi bila melihat kerajaan celum-celam (tak stabil) beberapa tahun kebelakangan ini yang menyaksikan dasar-dasar kerajaan yang flip-flop sebab kerap bertukar tangan, amatlah payah negara ini mahu membangunkan bidang arkeologi laut ini. Malahan, jika pentadbiran kerajaan tidak nampak keperluan arkeologi laut ini, maka tiadalah mereka nak arahkan dibuka kursus berkaitan atau membuka pengambilan. Pelajar-pelajar pun tidak berminat sebab tiada prospek masa depan.
Mungkin selepas segala-galanya stabil, negara kembali ke landasannya maka insya Allah aset-aset negara dalam bidang maritim ini akan dimajukan.
~Srikandi
sejarah tidak pernah melupakanmu

Copy and paste:
1/1/2025: 3.31 p.m

No comments: