Oleh: Firdaus Wong Wai Hung
Beberapa tahun lepas, Majlis Agama Islam Selangor Jabatan Mufti Negeri Selangor menjemput saya untuk hadir dalam satu pembentangan berkaitan dengan sambutan masyarakat Cina seperti Tahun Baru Cina, Perayaan Ching Ming, Kuih Bulan dan macam-macam lagi.
Turut dijemput seorang wakil dari MACMA Malaysia yang menyertai menerusi panggilan video selain dari wakil dari Jabatan Agama Islam Selangor - Rasmi & Bahagian Undang-Undang MAIS.
Majlis dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr Khadijah Hambali dari Jabatan Akidah & Pemikiran Islam UM.
Saya membentangkan semua hasil kajian saya dan kemudian wakil dari MACMA memberikan pandangan yang berbeza dalam beberapa aspek.
"Saya tak percaya macam apa yang dibentangkan oleh Bro Firdaus. Kami anggap semua tu hanya budaya sahaja."
Prof Madya Dr. Khadijah bertanya kepadanya;
"Saudara sebagai ahli akademik, ada sebarang rujukan untuk apa yang saudara sebutkan itu?"
Wakil MACMA menjawab; "Tiada. Tapi saya tak percaya begitu kerana..."
Belum sempat dihabiskan ayatnya, Dr. Khadijah bertanya lanjut,
"Saudara tak bawa rujukan untuk apa yang saudara sebutkan tetapi Bro. Firdaus bagi rujukan dari pakar sejarah dengan sumber rujukan dari bahan akademik bukannya dari pandangan peribadi dia. Sebagai ahli akademik mesti saudara tahu nilai sumber rujukan dalam mengemukakan pandangan."
Wakil MACMA tidak membalas.
Selesai mesyuarat, saya dimaklumkan bahawa mana-mana NGO, surau atau masjid yang ingin menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina atau Perayaan Kuih Bulan, permohonan mereka tidak akan diluluskan.
Kalau perasan, pasca COVID19, tiada lagi sambutan Tahun Baru Cina atau Pesta Kuih Bulan dianjurkan oleh NGO, surau atau masjid di Selangor.
Apa yang saya bentangkan di dalam majlis itu?
Sambutan Tahun Baru Cina adalah sambutan kebudayaan yang didasari dengan kepercayaan. Tarian singa & Yee sang mempunyai unsur-unsur kepercayaan khurafat.
Saya tidak buat fatwa. Tugas saya hanya bentangkan kajian, berikan rujukan dan mereka buat keputusan.
Tanyalah mana-mana Cina Belum Muslim yang jujur adakah semua itu ada kepercayaan tertentu?
Tanyalah mereka dan minta mereka bagi rujukan kalau mereka jujur. Kenapa tarian singa mesti buat 'eye-dotting' ceremony untuk 'membuka' mata singa?
Tanyalah mereka apakah benar tarian singa tu bukan sekadar budaya tetapi juga dipercayai boleh halau roh jahat dan bawa 'ong' (tuah). Kenapa awal persembahan mesti ketuk gendang 3 kali tak boleh kurang atau lebih?
Kenapa bila diketuk 3 kali gendang, 'singa' tersebut mesti seolah-olah mengangguk/menyembah 3 kali seiring dengan ketukan gendang?
Tanyalah kepada mereka kenapa 'Yee Sang' mesti 7 warna dan 7 jenis? Kenapa tak boleh kurang atau lebih? Kenapa mesti lambung? Tanya mereka tentang Dewi Nuwa dan penciptaan manusia menurut mitologi Cina.
Saya mencadangkan kepada pihak JAIS & MAIS ketika itu bahawa adalah lebih baik kita menganjurkan program Rumah Terbuka Aidilfitri & Aidiladha di surau & masjid kerana kerana kedua-duanya adalah syiar Islam.
Tiada keperluan untuk surau & masjid anjurkan sambutan bukan Islam kononnya atas alasan dakwah tetapi waktu lain, masjid tidak mesra dakwah kepada Belum Muslim.
Latih AJK Masjid/Surau laksanakan dakwah secara konsisten bukan hanya pada waktu perayaan bukan Islam.
*Disertakan fakta Tarian Singa & Yee Sang dari buku Cina Kiasu Atau Kiasi beserta rujukannya.
Copy and paste:
28/1/2025: 7.03 p.m
No comments:
Post a Comment