Sunday, 12 January 2025

AWANG KENIT

Sumber: JAGAT IMPAK

(1969) "Orang Kenit" atau "Awang Kenit" dianggap oleh masyarakat Melayu sekadar cerita hikayat dan dianggap tahyul, namun suatu ketika dahulu sering keluar berita tentang penemuan makhluk bersaiz kenit di dalam negara. Pada Julai 1969 sekitar jam 10.00 pagi, beberapa orang murid yang sedang bermain di padang Sekolah Rendah Temenggong Abdul Rahman, Johor Bahru, ternampak sebuah objek terbang bersaiz kecil melayang turun dari langit lalu mendarat di pinggir padang di situ. Objek berwarna perak tersebut dikatakan sebesar penutup tempayang. Sebaik saja ia mendarat, pintu terbuka dan lima sosok makhluk asing setinggi 7 inci muncul.
Pada Mei 1979 di Sekolah Rendah Jit Sin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, turut dilaporkan kejadian lebih kurang sama. Kali ini, ada saksi dari kalangan orang dewasa. Pelajar tahun tiga, Khor Boon Chew ketika itu sedang bermain dengan lima orang rakannya di bawah pohon apabila mereka ternampak beberapa makhluk asing setinggi tiga inci. Boon Chew cuba menangkap makhluk aneh tersebut. Namun, sebelum sempat dia menghampirinya serta merta tangan Boon Chew terasa pedih.
Pada Jun 1990, dua orang pelajar berumur 14 tahun, Kuzilan dan Murali mendakwa mereka nampak beberapa ‘manusia kenit’ berdekatan dengan Sekolah Menengah Tapah di Perak. Menurut mereka, tinggi makhluk tersebut sekitar enam inci dan mempunyai paras rupa seperti manusia. Walau bagaimanapun makhluk tersebut mempunyai sepasang mata yang merah bersinar serta bertelinga bujur. Tiga bulan kemudian, makhluk spesies yang sama dilaporkan turut ditemui di Pelabuhan Kelang. Menurut cerita, pada September 1990, sebuah piring terbang bersaiz kecil telah mendarat di sebuah padang.
Di Miri dan Sarekei, Sarawak, juga pernah diceritakan tentang kemunculan makhluk ini, termasuk kisah penampakan di Sentul, Kuala Lumpur pada September 1992. Makhluk ini juga dikatakan pernah dilihat di Butterworth, Pulau Pinang, Alor Setar dan Kulim di Kedah, Ipoh dan Lumut di Perak, Selayang Baru dan Kampung Pandan di Selangor, dekat Kota Bharu di Kelantan, Kuala Terengganu dan Paka di Terengganu serta di Kuantan, Pahang. Selepas itu, kisah makhluk kenit ini mula dilupakan apabila tiada catatan laporan penemuan terbaru makhluk tersebut.
Memang sukar hendak dipercayai. Namun, kemunculan Orang Kenit ini di Malaysia banyak dilaporkan antara tahun 1950 hingga 2010. Dalam jangka masa tersebut, lebih kurang 60 insiden dilaporkan berkaitan penemuan makhluk ini. Mungkin ada juga kes yang tidak dilaporkan.
Sumber: Utusan TV

Copy and paste:
12/1/2025: 7.20 p.m

No comments: