Sumber: The Patriots
2/1/2025
Oleh: Azizul Farhan
Bayangkan seorang budak kecil dari Penang, membesar di bengkel kasut bapanya, tangan kecilnya penuh debu kulit dan alatan. Siapa sangka budak itu bakal menjadi legenda dunia fesyen dan mencipta kasut yang dipakai oleh Puteri Diana serta selebriti Hollywood?
Inilah kisah luar biasa Jimmy Choo, seorang anak Malaysia yang melakar sejarah di pentas dunia.
Langkah Pertama: Dari Bengkel Bapa Ke London
Jimmy Choo atau nama asalnya Zhou Yang Jie dilahirkan pada 15 November 1948 di George Town, Penang. Berasal daripada keluarga Hakka yang serba sederhana, ayahnya ialah seorang pembuat kasut tradisional.
Namun, satu kesilapan kecil pada sijil kelahirannya mengubah nama keluarganya dari “Chow” ke “Choo.” Siapa sangka kesilapan itu menjadi nama yang bakal dikenali di seluruh dunia?
Sejak kecil, dia sudah akrab dengan seni pembuatan kasut. Sebelum bapanya memberi peluang untuk membuat kasut, dia perlu tengok dan belajar dari bapanya terlebih dahulu.
Pada usia 11 tahun, Jimmy mencipta kasut pertamanya, sepasang selipar kulit untuk ibunya. Itu adalah titik permulaan kepada perjalanan panjangnya dalam dunia fesyen.
Setelah tamat sekolah, Jimmy memutuskan untuk melanjutkan pelajaran ke Cordwainers Technical College di Hackney, London walaupun keluarganya bukan dari golongan berada.
Beliau bekerja keras dengan mencuci lantai dan menjadi pembuat kasut sambilan demi membayar yuran dan menyara hidup di London.
Pintu Rezeki Terbuka
Pada tahun 1986, Jimmy membuka bengkel kecil di sebuah bangunan hospital lama di East End, London. Di sini, dia menghasilkan kasut-kasut mewah secara manual.
Namun, semuanya berubah pada tahun 1988 apabila rekaan kasutnya dipaparkan dalam majalah Vogue dalam sebuah rencana lapan halaman. Dari situ, namanya mula disebut-sebut dalam dunia fesyen.
Tak lama selepas itu, Puteri Diana, yang dikenali dengan gaya anggun dan memukau menjadi pelanggannya.
Jimmy sering ke Istana Kensington untuk bertemu dengan Diana bagi membincangkan rekaan kasut.
Kasut-kasut ciptaannya menjadi kegemaran Diana dan ini melonjakkan popularitinya di peringkat antarabangsa.
Jimmy Choo Ltd: Kejayaan Yang Bergolak
Pada tahun 1996, Jimmy bekerjasama dengan Tamara Mellon, bekas editor aksesori di majalah Vogue untuk melancarkan jenama Jimmy Choo Ltd.
Dengan modal £150,000, mereka membuka butik pertama di London dan kemudian mengembangkan jenama itu ke New York dan Los Angeles.
Namun, di sebalik kejayaan ini, ada percanggahan pendapat yang besar antara Jimmy dan Tamara. Jimmy mahu mengekalkan keaslian dan kualiti pembuatan kasut secara manual, manakala Tamara mahu memfokuskan kepada pengeluaran besar-besaran.
Akhirnya, Jimmy menjual sahamnya dalam syarikat itu pada tahun 2001 dengan harga £8.8 juta.
Kembali Ke Akar
Selepas meninggalkan Jimmy Choo Ltd, Jimmy tidak pernah berhenti berkarya. Beliau menubuhkan jenama miliknya sendiri menggunakan nama asalnya, Zhou Yang Jie.
Kini, beliau menghasilkan kasut eksklusif secara tempahan khas untuk pelanggan VIP.
Beliau juga menjadi mentor kepada pereka kasut muda di JCA London Fashion Academy yang ditubuhkannya pada 2021.
Kini, walaupun jenama Jimmy Choo bukan lagi miliknya, nama itu tetap menjadi simbol kemewahan dan gaya.
Jimmy Choo Ltd telah berkembang menjadi empayar fesyen dengan 237 butik di seluruh dunia dan pendapatan tahunan ratusan juta.
Pengiktirafan Dan Warisan
Sepanjang kerjayanya, Jimmy telah menerima pelbagai pengiktirafan, antaranya ialah tiga gelaran Datuk iaitu daripada Sultan Pahang pada tahun 2000, kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2004, dan Yang di-Pertuan Agong pada 2013.
Kemudian, beliau dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) pada tahun 2003 daripada Ratu Elizabeth II.
Dan ditambah lagi dengan Freedom of the City of London pada tahun 2006 serta pelbagai anugerah pencapaian seumur hidup dalam industri fesyen.
Mengapa Kisah Jimmy Choo Penting?
Kisah Jimmy Choo adalah bukti bahawa semangat, ketekunan dan keinginan untuk mencapai sesuatu yang luar biasa boleh membawa kejayaan.
Dia tidak pernah melupakan asal usulnya dan terus menyumbang kepada dunia fesyen sebagai pendidik dan mentor.
Jimmy Choo adalah lambang kehebatan anak Malaysia yang membuktikan bahawa impian besar boleh dicapai walaupun bermula dari langkah kecil.
___
Nak tahu bagaimana prinsip kecil boleh mencipta kejayaan besar?
THE DIARY OF A CEO yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ini ialah buku yang mendedahkan strategi dan falsafah hidup usahawan berjaya.
Pra-tempah sekarang dan ketahui rahsia di sebalik menjadi usahawan empayar berjaya.
Copy and paste:
3/1/2025: 3.18 p.m
No comments:
Post a Comment