Posted on FB : 24 Oktober 2024
Sarah Zakariya > Kisah Sejarah Melayu
Oleh Ahmat Adam
Di Terengganu, batu bersurat yang ditemui di Sungai Tersat, Kuala Berang oleh S. Husin Ghulam al-Bukhari pada tahun 1887, adalah bukti terang kedatangan Islam di negeri itu. Batu yang mempunyai empat muka ini adalah warisan sejarah yang sangat penting bagi Malaysia. Tulisan pada ke-empat2 muka batu itu sangatlah menarik bagi kaum sejarawan, ahli bahasa dan pengkaji agama komparatif. Untuk makalah di facebook ini saya hanya membicarakan tulisan Jawi pada muka satu batu bersurat itu.
Pada tahun 1924 dua orang peneliti batu bersurat Terengganu meragukan tarikh 702 Hijrah yang terdapat pada baris terkhir muka pertama batu itu.
1. H. S. Patterson menduga ada angka yang lengkap (integer) pada 702 Hijrah. Namun, dia merasakan tarikh itu tidak lengkap.
2. Seorang lagi peneliti, C. O. Blagden, juga mempertikaikan tarikh 702 H. Dia menduga angka itu mungkin “dualapan” (708) iaitu lengkapnya pada kata “dua”. Ataupun, katanya, boleh jadi angka itu 702, 708, 720-729, atau 780 – 789.
Kata “saratan”
Selain itu, Blagden juga melihat ada perkataan “saratan” [ سرطان ] di penghujung muka pertama batu itu. Blagden menterjemahkannya sebagai tahun ketam/kepiting (Cancer).
Tulisan yang terukir pada batu bersurat itu ialah: اد حمعه دٮولں رحٮ دٮاهں سرطاں “… adi Jumaat di bulan Rajab di tahun Saratan …”
Oleh sebab ada keraguan yang ditimbulkan maka saya pun membuat penilaian ilmiah terhadap bacaan guru saya pada sekitar tahun 1970. Maka saya pun mula membaca apa saja yang berkaitan dengan batu bersurat Terengganu itu. Saya juga membaca tulisan Jawi pada batu itu secara lebih teliti.
Kata “syaratan” sebetulnya tidak ada pada batu bersurat itu. Yang ditulis ialah “saratan”. Guru saya itu tersilap baca. Ini telah saya semak sendiri.
Mengapakah orang tersalah baca kandungan batu bersurat itu?
Kata-kata pada batu itu pada dasarnya tidak memakai vokal dan kebanyakan hurufnya tiada dibubuh titik. Semua pengkaji sebelum ini menyangka tulisan Jawi pada batu itu adalah dalam bahasa Melayu (termasuk Kuno) dan Sanskrit sahaja. Bahkan seorang ahli linguistik terkenal pun mengatakan tiada perkataan Jawa digunakan. Tiada sesiapa pun menyangka kata-kata pada batu itu terdiri daripada perkataan Melayu (termasuk yang Kuno), Sanskrit, Jawa Kuno/ Pertengahan atau Kawi, dan sedikit Arab.
Oleh yang demikian, kesalahan membaca Jawi menjadi punca utama kesalahan memberi tarikh yang betul.
Kesalahan tarikh ini tidak pernah dibetulkan atau dikritik oleh mana-mana sarjana sebelum ini. Walaupun setiap tahun (sebelum 2017) telah diadakan persidangan anjuran kerajaan negeri Terengganu yang membincangkan batu bersurat itu tetapi mereka terus-menerus membincangkan hal-hal yang berasaskan kesalahan dalam pembacaan teks batu tersebut.
Tulisan Jawi pada batu berusrat di muka 1 adalah seperti berikut:
رسول الله دعٮ ىع اورح سٮابي مرٮﮎ سﮎ
(Rasul Allah dengan nan(g) uwaran(g) santabya mereka saka)
اسا ڡدا دیوٮ ﻤلٮا رای ٮری همبا مٮكهكٮ اكاما اسلام
(asa pada Dewata Mulya Raya beri hamba meneguhkan agama Islam)
دعںﯨﯨرٮحارا درما مرٯسا بكی سكلیں همٮا دٮوت ملی رای
(dengan benar bicara dharma meraksa bagi sekalian hamba Dewata Mulya Raya)
دبنوا كو اين فننتواكاما رسول الله وسلالله عليه وسلم راج
(di benua ko ini, penantu-a agama Rasul Allah wa SalalLahu ‘alayhi wasallam raja)
مندلىكا يع ٮٮر ٮحارا سله دٮوٮ ملىا راى ددالم
ٮهومۍ
(mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulya Raya di dalam bhumi)
ɷٯٮٮٮوا اٮٮو ڡرﺽ فدا سكلىں راح مٮد
(Penantu-a itu fardu pada sekalian raja manda- )
لٮكا اسلم مٮورٮ سٮٮه دٮوت ملىا راى دعں ٮٮر
(-lika Islam menurut sa-titah Dewata Mulya Raya dengan benar)
ٮحارا ٮرٮاحىكي ٮٮوا ٯٮٮٮوا اٮٮو ﻤﮎ ٮٮٮه سری ٯا دوﮎ
bicara berbaciki benua penantu-a itu. Maka titah Sri Paduka)
ٮهں مدودڡكں ٮامرا اىں دٮٮوا ٮرٮكاٮو اد ڡرٮاما اد
(Tuhan ma-dudukkan tamra ini di benua Tranggano adi pratama, adi)
دسسٮكال ٮكٮدا رسول الله تله لالو ٮوحهراتس دو
(de Sasanakala Baginda Rasulu’lLah telah lalu tujuh ratus dua [lapan]).
Makna istilah
(de (Kawi) bererti hal, sebab, oleh, maksud).
Contoh perkataan Jawa Kuno/Tengahan/Kawi.
Muka 1:
santab(w)ya = ampun, sabar, ma’af
nan(g) = demikian
uwara(ng) = mengumumkan (menguwar-uwar)
saka= demi, dari, kerana
Raya = agung, besar
bener / benar (Melayu) = benar, lurus
Jawa Kuno/Tengahan/Kawi
berbaciki (daripada “becik”/bacik) = baik; (ke/bajik/an)
tuhan = tuan, pembesar, penguasa
ma-dudukan/pidudukan = mempersiapkan untuk upacara
Wanua/benua = tempat atau daerah yang dihuni, desa, perkampungan
Kata-kata asal Sanskrit
asa = ingin, kehendak, hasrat, harapan
pada = alam, daerah, syorga, tempat, kedudukan
Dewata = dewa
Mulya = harga, nilai, jasa
bicara / wicara = pertimbangan yang mendalam
Pengaruh Sanskrit
meraksa = penjagaan, perlindungan
Raja mandalika = raja yang memerintah wilayah
bhumi = (bumi), dunia, tanah, negeri, daratan
tamra = tembaga, perunggu
dharma = undang-undang, hukum atau kanun kewajipan, hukum atau doktrin agama Buddha, aturan dewa dan diturunkan dalam hukum agama
Traŋgana = trangano = bintang/kumpulan bintang
adi = pertama
pratama = yang pertama
Sasanakala = waktu pelaksanaan ajaran, kanun hukum atau doktrin agama Buddha
Kata-kata Arab
saratan = udang kara. Rasul Allah SalalLahu ‘alayhi wasallam
Jumaat, Rajab
Lantaran salah baca
Pengkaji terdahulu telah tidak mentransliterasi kata /Saratan/ dengan betul; dia juga sengaja mengabaikan ungkapan “Adi pratama”; dan kata “adi Jumaat” dibacanya “ada Jumaat”.
Yang paling dikesalkan pengkaji terdahulu tidak nampak kata “lapan” [ لاڡان ] yang tertulis di bahagian atas batu itu. Huruf /nun/ juga diletakkan di atas huruf /l/a/p/a/ [ لافا ]. Justeru kerana itu pengkaji-pegkaji sebelum ini silap memberi tarikh dan silap mentafsirkan tulisan Jawi pada batu bersurat Terengganu itu secara keseluruhannya.
Bahagian II
Tarikh yang betul harus boleh diuji. Sesuatu nama pusingan tahun yang berkaitan dengan windu itu boleh diuji sama ada betul-betul cocok atau tidak sesuai dengan sesuatu tarikh. Misalnya tarikh yang diberikan oleh pengkaji terdahulu ternyata tidak cocok dengan Tahun Adi. Cara mengujinya ialah dengan mempastikan apakah tahun 702H itu setara dengan tahun Ҫaka Jawa/Hindu.
Tahun Ҫaka
Dalam sistem kalendar Jawa & Hindu, nama tahun Ҫaka telah dipakai sebelum kedatangan Islam. Pengiraan tahun Ҫaka yang diambil dari India bermula pada Tahun 78 Masihi. Apabila Islam sudah bertapak, kedua-dua kalendar Hijrah dan Ҫaka telah digunakan di Jawa.
Kalendar Ҫaka mengandungi 12 bulan dan mengamalkan sistem luni-solar (syamsiyah-kamariyah).
Dengan berpandukan kaedah menukar tahun dalam satu sistem kalendar kepada yang lain, didapati tahun 702H adalah sejajar dengan tahun Ҫaka 1224. Tetapi tahun Ҫaka ini bukan jatuh dalam windu Adi, tetapi windu Sancaya.Juga harus diketahui ialah: Betulkah penggunaan nama “saratan” itu memang benar-benar menurut kebiasaan menamakan tahun berasaskan nama haiwan? Tidak mungkin kata “syaratan” digunakan kerana ia bukan nama haiwan. Syaratan juga bukan nama tahun. Ia adalah nama manzil.
Nama haiwan sebagai nama tahun dan bulan
Sebelum Islam bertapak di Nusantara sistem kalendar yang dipakai di pulau menamakan satu-satu tahun & bulan berasaskan nama haiwan. Pengaruh ini datangnya daripada calendar Hindu. Misalnya ada tahun/bulan udang (makara), tahun kepiting/ketam (karkata), tahun lipan (wrischika atau was), tahun singa (singha) dan lain-lain. Selain diamalakan di India, budaya menggunakan nama-nama haiwan ini pun telah diamalkan di benua China sejak abad kedua Masihi.
Kalendar untuk tujuan melihat “rasi”
Penduduk Asia Tenggara (termasuk Kamboja (abad ke-10), Siam (akhir abad ke-13), dan Jawa (abad ke-9) menggunakan sistem kalendar yang menggunakan nama-nama haiwan mereka untuk tujuan “divination” (tilik) dan untuk mengetahui rasi astrologi (ilmu bintang atau zodiac).
Tidak benar sama sekali bahawa penduduk Asia Tenggara sudah menguasai ilmu falak (“astronomy”) (termasuk di Terengganu)
Apa pedomannya untuk menentukan tarikh dan tahun haiwannya betul?
Pastikan hari apa tanggal 1 Muharam jatuh. Jika 1 Muharam untuk tahun tertentu jatuh pada hari Selasa (Anggara) maka tahun itu dinamakan tahun Ketam.
Jadi, walaupun mendiang Prof. de Casparis (1967) menamakan tahun 702 H. tahun Ketam (Cancer), namun 1 Muharam bagi 702 H. bukan jatuh pada hari Selasa, sebaliknya hari Ahad. Tetapi apabila 1 Muharam tahun 708 H. diselidiki, ternyata ia jatuh pada hari Jumaat. Tarikh 708 dan hari Jumaat memang terukir pada batu bersurat Terengganu.
Penggunaan kalendar pusingan lapan tahun atau Windu
Satu daripada penemuan bagi saya ialah bahawa sistem kalendar pribumi yang berasaskan pusingan 8-tahun telahpun bermula di Terengganu pada awal abad ke-14. Pada abad ke-17 sistem ini dipanggil “windu” di Jawa. Menurut sistem “windu” Jawa, nama-nama haiwan adalah seperti: 1. mengakara (udang kara); 2. menda (biri-biri jantan); 3. wrischika (halipan); 4. wicitra (cacing); 5. kala jengking; 6. maisha (kerbau); 7. karkata (ketam); 8. mina (ikan).
“Adi pratama” adalah pusingan pertama dalam 4 siklus (putaran tahun-tahun)
Empat putaran tahun-tahun itu masing-masing dinamakan: 1. Windu Adi (ertinya yang pertama), 2. Windu Kunthara (akal, tingkah laku), 3. Windu Sengara (ertinya “tak mungkin”), dan 4. Windu Sancaya (menghimpunkan).
Setiap pusingan ini mengandungi 8 tahun. Jadi, jika empat pusingan maka ada 32 tahun dalam semua windu.
Apakah yang dapat kita tafsirkan daripada unsur-unsur Jawa itu?
Bukan sahaja bahasanya, tetapi sistem kalendarnya pun berpunca daripada Jawa.
Tetapi Jawa pada ketika batu bersurat itu ditegakkan belum dikenali sebagai daerah Islam; jadi mungkinkah? Kerajaan Jenggala (1042-1130an) beragama Sivais; dan Kediri (1042-1222), Buddhis. Namun sumber Jawa memperlihatkan kerajaan di Jawa mempunyai “mandala” (wilayah bawahan) di luar Jawa pada zaman Singhasari dan Majapahit.
Tarikh yang betul bagi batu bersurat ialah 6 Rajab 708 Hijrah (20 Dec. 1308)
Tarikh baru yang saya temui pada batu bersurat Terengganu itu tidak boleh diragukan oleh sesiapapun. Ini kerana entah macam mana ramai pengkaji, sejak dimulakan oleh C. O. Blagden 94 tahun dahulu dan oleh Prof.al-Attas sejak 48 tahun dahulu, telah tidak nampak kehadiran perkataan “lapan” [ لافان ] pada batu itu (dengan huruf nunnya terletak di atas).
Sekian, WalLahua’lam
Ahmat Adam
Copy and paste:
3/1/2025 : 8.27 p.m
No comments:
Post a Comment