Tuesday, 21 January 2025

LANGSUIR

SUMBER: 446

SEKITAR November pada 2015, penduduk Kampung Penaga Putar di Jerteh, Terengganu mendakwa terserempak dengan hantu langsuir yang terbang merayau sambil mengilai dengan suara menyeramkan di kawasan mereka.
Cerita kewujudan hantu itu pantas mencetuskan ketakutan dan rasa seram dalam kalangan masyarakat setempat sehingga menyebabkan mereka tidak berani keluar rumah pada waktu malam.
Penduduk yang melihat sendiri kelibat hantu itu menggambarkan makhluk halus terbabit dengan tinggi separas pinggang, berambut panjang, memiliki dua taring di bibir bawah dan badan berwarna merah serta menampakkan isi daging manusia. Hantu itu juga mampu terbang terawang sambil mengilai sehingga menyebabkan bulu roma sesiapa yang mendengarnya meremang.
Selain Kampung Penaga Putar, kelibat langsuir itu turut menakutkan penduduk Kampung Tasek dan tiga kampung daerah sempadan Pasir Puteh, Kelantan iaitu Kampung Gong Pasir, Kampung Gong Tinggi dan Kampung Gong Lapang.
Selepas beberapa hari cerita mistik itu mencetuskan rasa takut dan seram dalam kalangan penduduk, akhirnya akhbar tempatan melaporkan seorang bomoh berjaya menangkap empat langsuir terbabit. Menurut laporan, semua makhluk halus itu akan dihantar kembali ke alam mereka selepas 40 hari dipasung.
Kisah kewujudan langsuir di Jerteh itu bukanlah kali pertama diceritakan di negara ini kerana kepercayaan masyarakat terhadap pelbagai jenis hantu sudah berakar sejak ratusan tahun lalu. Malah, pegawai British di Tanah Melayu suatu ketika dulu, Sir William Maxwell, pernah merekodkan kepercayaan masyarakat Melayu silam terhadap langsuir dan kaedah khurafat untuk menanganinya seperti catatan beliau (terjemahan):
"Jika seorang wanita mati akibat melahirkan bayi sama ada sebelum atau selepas bayi itu dilahirkan dan sebelum tamat 40 hari tempoh pantang, dia akan menjadi langsuir iaitu hantu terbang berupa wanita putih atau roh perempuan.
"Bagi mengelakkan perkara ini terjadi, beberapa biji tasbih kaca diletakkan dalam mulut jenazah, telur ayam diletak di celah ketiak dan jarum diletak di telapak tangan. Perbuatan itu dipercayai dapat mengelakkan jenazah wanita itu menjadi langsuir kerana dia tidak dapat membuka mulut untuk mengilai atau menggerakkan lengan dan tangannya untuk terbang".
Dalam kepercayaan lama masyarakat Melayu, hantu langsuir berbeza dengan pontianak kerana pontianak atau turut disebut sebagai `matianak' atau `kuntilanak' adalah jelmaan hantu bayi perempuan yang mati ketika dilahirkan. Dengan erti kata lain, langsuir adalah hantu ibu kepada pontianak.
Pontianak dapat berubah daripada makhluk halus kepada jasad kekal dengan memaku lehernya dan ia berubah menjadi hantu sundel bolong yang berupa seperti gadis.
Selain langsuir dan pontianak, masyarakat Melayu lama turut mempercayai kewujudan pelbagai lagi jenis hantu, antaranya penanggal (hantu kepala perempuan yang menghisap darah wanita bersalin); pocong (hantu mayat berbalut kain kafan); toyol (hantu janin bayi), hantu air, hantu galah, hantu kumkum, hantu kubur dan pelbagai lagi. Ada juga hantu menjadi `makhluk suruhan' bomoh atau dukun ilmu hitam seperti polong, saka, pelesit dan hantu raya.
Pengasas Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Ladzim AlAzhari, berkata hantu dalam alam Melayu sememangnya wujud tetapi hakikat sebenarnya, makhluk itu adalah jin.
"Tiada manusia boleh melihat wajah jin yang sebenar tapi jin boleh bertukar daripada rupa asal mereka untuk muncul di hadapan manusia. Ia dikenali sebagai jelmaan dan jelmaan inilah mewujudkan hantu seperti pontianak, pocong, langsuir dan sebagainya," katanya.
Sumber: Berita Harian & JAGAT IMPAK

Copy and paste:
21/1/2025: 10.20 a.m

No comments: