Sunday, 12 January 2025

AMUK - SIFAT MELAYU

SUMBER: JAGAT IMPAK

Perkataan "amuk" sudah digunakan di dalam tulisan Sejarah Melayu yang bertarikh tahun 1614 dan ia diulang beberapa kali di antaranya seperti berikut;
“Beramuk-amukan, terlalu sabur, rupa kilat cahaya senjata seperti kilat dilangit, sabung-menyabung, gemuruh bunyi bahana tempik hulubalang, dan gemerencing bunyi senjata seperti akan sampai ke langit.”
Amuk merupakan perkataan yang selalu muncul dalam manuskrip Melayu lama. Ini kerana orang Melayu dikatakan selalu “amuk” untuk mendapatkan sesuatu perkara contohnya untuk mempertahankan diri serta tanah air jika diserang. Selain itu, amuk juga dilakukan untuk menuntut bela atas kematian seseorang ataupun kerana maruahnya tercabar. Amuk ini bukan sahaja mengerunkan kita orang Melayu tetapi turut digeruni oleh penjajah.
Jono de Barros dalam Decada IV ada menyebutkan;
"Dan mereka menganggap sangat tidak dimaafkan apabila dahi mereka disentuh dengan tangan, mereka menamakan balas dendam ini dengan amuk".
Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa amuk orang Melayu itu boleh berlaku dalam perkara yang cukup kecil namun menggores maruah. Dengan hanya menyentuh dahi sudah cukup untuk orang Melayu melakukan amuk.
Frank Swettenhem dalam bukunya Malay Sketches menghuraikan perihal amukan orang Melayu;
“ Orang Melayu pantang menerima sebarang penghinaan, padanya hal ini harus dihapuskan sekalipun dengan pertumpahan d4rah. Jika dia merasa maruahnya dicemarkan, sama ada hal itu betul atau tidak, dia menyimpan perasaan itu dalam hatinya sehingga dia betul-betul dihantui dengan niat untuk menuntut bela.”
Sejarah Melayu menceritakan amuk yang berlaku semasa perang antara Melaka dengan Kelantan. Dan amuk turut digunakan semasa perang antara Melaka dengan Siam. Dalam Perang Melaka-Siam II, Tun Omar anak kepada Tun Hamzah telah melakukan amuk seorang diri ke atas perahu angkatan Siam sehingga menyebabkan Siam merasa gerun dengan kekuatan tentera Melaka. Dalam Perang Musuh Bisik pula, serangan mengejut 7000 tentera Siam telah mengejutkan pembesar dan pahlawan Kedah yang tidak bersedia bersama ratusan lagi penduduk Kedah telah melakukan amuk sehingga berjaya membunuh ramai tentera Siam, walaupun akhirnya mereka terkorban kerana mempertahankan tanah air.
Itulah amukan Melayu, iaitu satu sifat tindak balas jika mereka merasakan maruah dan air muka mereka tercalar, agama mereka diperlekeh atau tanah air mereka diinjak-injak.
Sumber: The Patriots

Copy and paste:
12/1/2025: 8.59 p.m

No comments: