Sunday, 12 January 2025

MELATAH - SIFAT KHAS ORANG MELAYU

SUMBER: JAGAT IMPAK

(1895) Sifat "melatah" masyarakat Melayu telah menjadi pemerhatian yang unik oleh Frank Swettenham, yang kemudiannya dibukukan di dalam buku Malay Sketches pada tahun 1895, terbitan Perpustakaan Universiti California. Swettenham yang mahir berbahasa Melayu memulakan karier di Tanah Melayu pada tahun 1872. Beliau bermula dari bawah sebagai pegawai muda Inggeris di Pulau Pinang kemudian Penolong Residen di Perak. Karier beliau meningkat naik sehingga menjawat jawatan Residen Inggeris di Selangor dan pada tahun 1901 dilantik sebagai Gabenor Jeneral Negeri-Negeri Selat.

Ketika berkhidmat di Perak, Swettenham memasuki kawasan Kerian dan berjumpa dengan ramai orang Melayu yang kuat melatah. Pada mulanya, beliau mungkin beranggapan hanya orang Kerian sahaja yang berperangai sedemikian. Namun apabila Swettenham menetap bersama 25 orang askar Melayu di Langat, beliau mendapati ada dua orang askar begitu kuat melatah. Swettenham pelik sebab dua orang askar tersebut berasal dari Melaka dan tiada kaitan langsung dengan Perak. Akhirnya setah beberapa pemerhatian, beliau berpendapat melatah adalah sifat khas orang Melayu, terutamanya di luar bandar.
Bagi penulis buku American Normal: Hypestartle Syndrome, Lawrene Osborne, penyakit latah memang terkenal dalam kelompok bangsa Melayu. Keadaan itu seakan sama dengan penyakit anoreksia yang popular di kalangan orang-orang Barat. Begitu juga dengan orang Nigeria yang mengalami masalah kepenatan minda. Sebenarnya, sindrom ini boleh juga berlaku di kalangan masyarakat bukan Melayu. Cuma bilangannya tidak begitu ketara berbanding orang-orang Melayu. Misalnya, dalam komuniti Baba Nyonya serta Chetti. Latah dalam kedua-dua kelompok masyarakat ini juga popular. Mungkin faktor sejarah, percampuran dan penyerapan budaya menyebabkan mereka sebati dengan perkara itu.
Latah ini boleh diklasifikasikan kepada tiga jenis iaitu latah daripada segi bahasa, latah daripada segi tingkah laku dan latah daripada kedua-duanya sekali. Latah daripada segi bahasa biasanya berlaku melalui percakapan spontan atau menyebut sesuatu perkataan itu secara tanpa sedar. Manakala latah perbuatan pula berlaku apabila pelatah beraksi melakukan sesuatu perbuatan spontan mengikut arahan orang yang mengagahnya dan latah peringkat ketiga pula berlaku secara kedua-duanya sekali.
Sumber: The Patriots dan Utusan TV

Copy and paste:
12/1/2025: 7.26 p.m

No comments: