Monday, 25 August 2025

SEPANJANG JALAN KENANGAN : JOHOR DARUL TAKZIM

Johor merupakan negeri ketiga terbesar di Malaysia terletak di selatan Semenanjung Malaysia dan bersempadan darat dengan negeri Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Sempadan maritim Johor merupakan sempadan Malaysia dengan Singapura di selatan dan Indonesia di kedua-dua barat dan timur.

Pertama kali saya menjejak ke Negeri Johor ialah pada tahun 1981, ketika berkhidmat dengan Tentera Laut DiRaja Malaysia. Setelah menamatkan latihan Asas Komunikasi TLDM di KD Pelandok, Lumut, Perak, saya telah mendapat arahan bertugas di Kapal KD Ganas dari 1st Squadron Fast Attack Craft (Missile), yang berpengkalan di Woodlands, Singapura. Kami menaiki keretapi dari Ipoh, Perak ke Stesen Keretapi Johor Bahru, sebelum dibawa menaik terak TLDM ke Woodlands, Singapura. 


Johor Bahru atau singkatnya JB adalah ibu Negeri bagi negeri Johor Darul Ta'zim. Dibuka pada tahun 1855 sebagai Tanjung Puteri dan ditukar menjadi Johor Bahru pada 1866. 

Stesen Keretapi Lama di Johor Bahru dibuka pada 1932 dan telah beroperasi sehingga tahun 2010. Banyak kenangan saya dengan stesen keretapi ini kerana saya sering pulang ke Kuala Lumpur menaiki keretapi kerana perjalanan dengan keretapi lebih menyeronokkan dari perjalanan dengan bas. 

Flat Lumba Kuda di Johor Bahru adalah rumah pangsa pertama dibina di Johor. Ia telah dirasmikan pada 1965 dan terletak berhampiran stesen Keretapi Johor Bahru. Flat ini bagaimanapun telah dirobohkan pada tahun 2003 untuk pembinaan Komplek CIQ (Customs, Immigration and Quarantine). 

JOHOR 1981/82
KD RAJA JAROM, PASIR GUDANG, JOHOR
Selepas 6 bulan menjalani Latihan di Laut (On Job Training) di KD Ganas, saya telah diarahkan bertugas di kapal KD Raja Jarom dari 32nd Sealift Squadron juga berpengkalan di Woodlands, Singapura. 
Namun ketika itu KD Raja Jarom sedang dibaikpulih di Malaysian Shipyard and Engineering (MSE) di Pasir Gudang, Johor. 


JOHOR 2008
ZENXIN ORGANIC PARK, JOHOR BAHRU
Pada 1 November 2008, ketika bekerja dengan The Institution of Engineers Malaysia, saya telah menguruskan Sesi Lawatan untuk ahli-ahli Mineral Engineering Technical Division ke Zenxin Organic Park yang terletak di Kluang, Johor. Ianya adalah merupakan ladang organik terbuka yang pertama di Malaysia. Ladang seluas 100 hektar mempunyai pelbagai ladang buah-buahan tropika antaranya buah markisa, betik, nenas dsb. Juga terdapat lebih 100 jenis herba di ladang ini. 


JOHOR 2012
JUSCO TEBRAU CITY, JOHOR BAHRU
Ketika bekerja dengan Yayasan Jantung Malaysia, saya dan setaf Awareness Team telah menjalankan Pemeriksaan Kesihatan di JUSCO Tebrau City, Johor Bahru (sekarang AEON Mall Tebrau City) dari 21 - 26 Februari 2012. 


JUSCO Tebrau City (Sekarang AEON Tebrau City) sebuah pusat membeli belah di Desa Tebrau, Johor dibuka pada 4 Januari 2006, sekarang ini dimiliki oleh AEON Retail Malaysia. 


Dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, kami singgah rehat di Hentian rehat Machap di Daerah Kluang, Johor.
Di Johor Bahru kami menginap di Hotel Chek Inn yang terletak di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru. 

KLUANG, JOHOR
Kluang sebuah bandar di Johor, terletak 105 km di utara Johor Bahru, tenggara Batu Pahat, Barat Mersing dan Selatan Segamat. 
Pada 10 Mei 2012, saya dan team Awareness Yayasan Jantung Malaysia telah menghadiri mesyuarat Penyelarasan Program dengan Pejabat Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Johor di Bangunan Persekutuan di Kluang, Johor. 



Pada 9 Jun 2012, kami telah melaksanakan kempen "Go Red for Women" dan juga Pemeriksaan kesihatan di SJK (Cina) Chong Hwa II di Kluang, Johor dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Johor. Seramai 94 orang telah menjalani pemeriksaan kesihatan sepanjang hari tersebut. 


Kami telah menginap di Chinatown Hotel yang terletak di Jalan Lambak, Kampung Masjid Lama, Kluang, Johor.

JOHOR 2013
TAMAN RINTING, MASAI, JOHOR
Pada 14 April 2013, kami telah melaksanakan Pemeriksaan Kesihatan di SJK (Cina),Masai, Johor. Seramai 85 penduduk Taman Rinting, Masai telah hadir untuk menjalani pemeriksaan Kesihatan. 
Masai adalah sebuah bandar terletak di timur Daerah Johor Bahru dan dianggap antara bandar tertua di Johor Bahru. Terletak 25 km dari Johor Bahru. 



Semasa di Masai, kami menginap di T.S. Hotel yang terleta di Taman Rinting, Masai, Johor Bahru. 

MAKTAB SULTAN ABU BAKAR, JOHOR BAHRU
Pemeriksaan Kesihatan di Maktab Sultan Abu Bakar yang terletak di Jalan Sungai Chat, Seri Gelam, Johor Baru telah diadakan pada 16-17 April 2013. Seramai 275 murid dan guru telah menjalani pemeriksaan kesihatan selama 2 hari ianya diadakan. Kami turut dibantu oleh Jururawat dari Puteri Specialist Hospital Johor Bahru


Maktab Sultan Abu Bakar dikenali juga dengan nama English College ditubuhkan pada 21 Mac 1914. English College telah ditukar nama kepada Maktab Sultan Abu Bakar pada tahun 1960. 


Semasa Program kami menginap di Hotel CIQ yang terletak di Jalan Lumba Kuda, Tanjung Puteri, Johor Bahru, Johor. 

Foto diambil dari Hotel CIQ

AEON BUKIT INDAH, JOHOR BAHRU
Program Minggu Jantung Johor tahun 2013 diadakan di AEON Bukit Indah, Johor Bahru dari 7 - 9 Jun 2013. Seramai 611 orang telah menjalani pemeriksaan Kesihatan sepanjang program dijalankan. Turut membantu ialah Jururawat-jururawat dari Puteri Specialist Hospital JB dan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru. 


AEON Bukit Indah Shopping Centre yang terletak di Bukit Indah, Johor Bahru telah dibuka pada Disember 2008.  Bangunan 3 tingkat ini hanya beberapa minit sahaja dari Johor Bahru bersaing dengan Sutera Mall dan Nusa Bestari di JB. 


Kami menginap di Princeton Hotel di Jalan Indah 15/2, Bukit Indah, Johor Bahru sepanjang program di AEON Bukit Indah yang terletak 500 meter sahaja dari Hotel. 

MAKTAB RENDAH SAINS MARA, MUAR
Program Peringkat Sekolah 2013 diadakan di Maktab Rendah Sains MARA pada 22 Oktober 2013. Seramai 106 murid dan 3 guru telah menjalani ujian Kesihatan yang dijalankan. 


MRSM Muar terletak kira-kira 10 km dari bandar Maharani,Muar di mukim Bakri daerah Muar, Johor. Ia dibuka pada tahun 1980 dengan pengambilan pelajar seramai 149 orang.


Hotel penginapan kami sepanjang di Muar ialah di PPT Muar Hotel yang terletak di Jalan Bakri, Taman Orkid, Muar, Johor. 


Daerah Muar terletak di Barat Laut negeri Johor. Daerah Muar terdiri daripada daerah Muar itu sendiri (lebih dikenali dengan nama Bandar Maharani) dan juga daerah kecil Tangkak. Muar bersempadan dengan negeri Melaka (Sungai Rambai) di utara, Segamat di Timur dan Batu Pahat di Selatan. 

KLUANG MALL, KLUANG, JOHOR
Yayasan Jantung Malaysia bersama Kluang Mall Management menganjurkan Program Minggu Jantung Kluang 2013 pada 8 hingga 10 November 2013 bertempat di Ruang Legar, Kluang Mall, Kempen ini mendapat kerjasama dari Lions Club of Kluang dengan bantuan tenaga jururawat dari Kluang Utama Specialist Hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah Kluang.
Seramai 321 orang telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan selama 3 hari kempen ini dijalankan. 



Kami menginap di Extreme Boutique Hotel di Jalan Intan 1/1, Taman Indah, Kluang, Johor. 


Kluang adalah merupakan sebuah Bandar di Johor yang terletak kira-kira 105 km dari utara Johor Bahru. Kluang merupakan Bandar ketiga terbesar di Johor selepas Johor Bahru dan Batu Pahat.
Nama Kluang berasal dari perkataan Melayu “Keluang” iaitu sejenis kelawar besar atau kelawar buah. Haiwan ini dikatakan wujud dengan banyak di daerah Kluang beberapa dekad yang lalu.

JOHOR 2014
AEON MALL KULAI JAYA
Johor Heart Week 2014 diadakan pada 28 Mei hingga 1 Jun 2014 telah dihadiri oleh 514 orang sepanjang program dijalankan. 


SJK (CINA) CHEOW MIN, PONTIAN , JOHOR
Kempen "Go Red For Women 2014" diadakan di SJK (Cina) Cheow Min terletak berhampiran dengan bandar Pontian, Johor. Kempenini adalah kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Nasional dan Integrasi Negeri Johor dengan bantuan Jururawat dari Hospital Pontian. Seramai 92 orang telah hadir menjalani ujian Kesihatan yang dijalankan. 



Semasa program kami menginap di Hotel Pontian yang terletak di Jalan Delima, Pusat Perdagangan Pontian, Johor. 


Pontian terletak di selatan Johor bersempadan dengan Batu Pahat di Barat Laut, Kluang di Utara, Kulai di Timur Laut dan Johor Bahru di Timur. 


Tanjung Piai merupakan kawasan tarikan pelancongan terkenal di Malaysia. Ia adalah merupakan penghujung Selatan Benua Asia, terletak di Mukim Kukup, Daerah Pontian, Johor. 


Sedenak merupakan sebuah mukim di daerah Kulai, Johor. Kami singgah di Sedenak dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur untuk membeli Nenas yang terkenal manis dan sedap. 

KOLEJ POLY-TECH MARA, BATU PAHAT, JOHOR
Pada 24 September 2014, saya bersama Hj Salehudin Malik, pengurus Program Yayasan Jantung Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Program di Kolej Poly-Tech MARA yang terletak di Bangunan Tabung Haji di Jalan Timah Sari,Batu Pahat, Johor. Kami menginap di BP Hotel di Batu Pahat.  



Batu Pahat atau Bandar Penggaram (BP) terletak di barat Negeri Johor serta dikelilingi oleh daerah Muar, Segamat, Pontian dan Kluang. 
Batu Pahat merupakan bandar ke-16 terbesar di Malaysia dari segi jumlah penduduknya. Ia juga bandar kedua terbesar dalam negeri Johor selepas bandaraya Johor Bahru.

SJK (CINA) KAHANG, JOHOR
Program Komuniti 2014 Yayasan Jantung Malaysia telah diadakan di SJK (Cina) Kahang pada 21 Disember 2014 dengan kerjasama The Lions Clubs of Kluang, Johor. Seramai 109 orang pelajar dan guru telah membuat pemeriksaan kesihatan pada hari tersebut.


Kahang adalah sebuah pekan di KluangJohorMalaysia. Ia terutamanya terkenal sebagai perhentian yang akhir sebelum menuju pada Taman Negara Endau-Rompin. Taman Negara terletak dua jam dari bandar, dihubungkan oleh satu unjuran panjang jalan raya. Kahang terkenal dengan makanan eksotik restoran-restoran yang menyediakan daging haiwan yang dilindungi, termasuk daging harimau.



Semasa program di Kahang, Johor kami telah menginap di Hotel Mega 68 yang terletak di Jalan Tasik 1, Pusat Perniagaan Tasik di Kluang, Johor. 

JOHOR 2016
SUNWAY COLLEGE JOHOR BAHRU
Program Peringkat Sekolah, Kolej & Universiti tahun 2016 melibatkan Sunway College Johor Bahru yang terletak di Taman Mount Austin, Johor Bahru. 
Program yang dijalankan pada 20 April 2016 telah dihadiri oleh seramai 137 pelajar dan setaf kolej. 


Sunway College Johor Bahru ditubuhkan pada tahun 2004 adalah sebahagian daripada Sunway Education Group. 


Taman Mount Austin (atau Austin Heights) ialah kawasan yang popular dan meriah di Johor Bahru, Johor, yang terkenal dengan pelbagai pilihan kafe estetik, restoran, kedai teh gelembung, dan pusat hiburan seperti karaoke.
Semasa berada di Johor Bahru saya telah berpeluang bertemu kembali dengan rakan - rakan seperjuangan TLDM Intake 139/80 berhampiran hotel saya menginap di Hotel Vistaria di Jalan Austin Heights, JB. 

 
Semasa Program kami menetap di Hotel Vistaria yang terletak hanya di hadapan Sunway College Johor Bahru. 

TAMAN PLENTONG UTAMA
Program Peringkat Komuniti 2016 diadakan pada 15 Oktober 2016 di Taman Plentong Utama yang terletak di Masai, Johor. Pemeriksaan Kesihatan di Taman Plentong Utama telah dihadiri oleh seramai 90 orang penduduk sekitar taman tersebut. 




Semasa program di sini kami menginap di Rooms Boutique Hotel di Jalan Ros Merah 2/16, Johor Jaya,Johor Bahru.

JOHOR 2017
SUNWAY COLLEGE JOHOR BAHRU
Program kali kedua di Sunway College Johor Bahru diadakan pad 8 Februari 2017. Program kali ini telah dihadiri oleh 116 pelajar dan setaf kolej. 



Kali ini saya menginap di Prince 33 Hotel yang terletak di Taman Mount Austin, tidak jauh dari Sunway College JB. 

Di AEON Mall Tebrau City Johor Bahru untuk meninjau Program-Program seterusnya. 

AEON MALL PERMAS JAYA, MASAI, JOHOR
Program "Minggu Jantung Johor Bahru 2017" berlansung di AEON Mall Permas Jaya, Masai, Johor dari 1-5 November 2017. 
Turut membantu kami dalam program kali ini ialah jururawat-jururawat dari Klinik Kesihatan Masai, Klinik Kesihatan Tebrau, KPJ Puteri Specialist Hospital dan KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital.
Sepanjang program selama 5 hari, seramai 629 orang telah menjalani Ujian Pemeriksaan kesihatan. 



Kami menginap di Lavender Inn Permas yang terletak di Jalan Permas Utara, Permas Jaya, Masai, Johor sepanjang program ini. 


Semasa program di Johor Bahru ini, kami berkesempatan untuk berkunjung ke sebuah tempat yang terkenal di Johor Bahru iaitu Cafe Kilang Bateri yang terletak di Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru. Kenapa dinamakan Kilang Bateri?
Asalnya bangunan ini adalah Kilang Bateri Eveready yang beroperasi sekitar tahun 1960'an. Namun ianya telah ditutup dan pada tahun 2013 ianya telah diubahsuai menjadi tempat membeli belah, kedai makanan dan tempat untuk lepak. 

JOHOR 2018
SUNWAY COLLEGE JB
Program Pemeriksaan Kesihatan Peringkat Negeri Johor tahun 2018, YJM telah memilih Sunway College Johor Bahru sebagai lokasi. Program dijalankan pada 11 Mac 2018. 


Hotel yang biasa kami menginap iaitu Hotel Vistaria


Kata orang sambil menyelam minum air.  Setelah seharian bertungkus lumus menjayakan progam kesihatan, diwaktu kelapangan kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di sekitar Johor Bahru yang banyak meninggalkan kenangan buat diri saya yang pernah bertugas di Woodlands, Singapura pada tahun 1981 - 82 dulu. Johor Bahru menjadi tempat lepak saya dan kawan-kawan ketika hari Minggu dan hari kelepasan. 
Kami singgah di Kilang Bateri yang terletak di Kawasan Perindustrian Tampoi. Ia adalah bekas tapak Kilang Bateri yang telah diubahsuai menjadi tempat beriadah dan membeli belah sambil menikmati hidangan masakan digerai-gerai dalam Kilang Bateri ini. 
Disini juga saya berkesempatan bertemu dengan sahabat lama saya, sama skot intake 139/80 dan juga pernah berkhidmat satu kapal di KD Raja Woodlands, Singapura pada 1981/82.


Selesai Makan di Kilang Bateri, saya dan rakan-rakan bersiar-siar di sekitar JB dan akhirnya singgah sekejap di Danga Bay sebelum balik ke Hotel. 
Danga Bay juga adalah suatu tempat yang pernah meninggalkan kenangan manis buat saya, dulunya dikenali sebagai Pantai Lido, adalah merupakan tempat beriadah dan bersiar-siar di waktu lapang. Dulu semasa dalam Navy, tempat ini menjadi tempat lepak kami di waktu cuti dan hujung minggu.

ERICA HOTEL & JB SENTRAL JOHOR BAHRU
Pada 16 April 2017, saya bersama 2 orang kakak saya telah menaiki Tren dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk menziarah Bapa Saudara kami di Clementi Avenue, Singapura. 
Kami mengambil keputusan untuk menginap di Johor Bahru kerana ianya lebih menjimatkan daripada kami menginap di Singapura, nanti terpaksa tukar duit Singapura dengan jumlah yang banyak. 

Menaiki ETS Train dari Kuala Lumpur ke Gemas

Sambung Perjalanan dari Gemas ke Johor Bahru menaiki Train Biasa


Erica Hotel Johor Bahru terletak di Tanjung Puteri, Johor Bahru dimana kami menginap sebelum meneruskan perjalanan kami ke Singapura keesokan harinya. 


Tanjung Puteri adalah nama asal Johor Bahru, diasaskan pada tahun 1855 oleh Temenggong Daeng Ibrahim, bapa kepada Sultan Abu Bakar Johor. 
Untung menginap di Erica Hotel ini kerana dihadapan hotel ada Truck Food yang menjual pelbagai makanan untuk makan malam kami. 


JB Sentral atau Johor Bahru Sentral merupakan stesen keretapi utama JB. Dibuka pada tahun 2010 menggantikan stesen Keretapi Lama JB yang sekarang dijadikan Muzium KTMB.

AEON PERMAS JAYA, JOHOR BAHRU
Program Minggu Jantung Johor 2018 diadakan di AEON Permas Jaya, Johor Bahru dari 14-18 November 2018. 
Permas Jaya adalah sebuah bandar dibawah Daerah Pasir Gudang, Johor dan ditadbir oleh Majlis Bandaran Johor Bahru.


Hotel penginapan kami yang terletak hanya dibelakang AEON Permas Jaya. 

Begitulah serba serbi secebis kenangan saya di Negeri Johor Darul Takzim. Sebenarnya ada banyak lagi tempat di Johor ini yang saya pernah sampai, cuma sayangnya tiada sebarang foto Kenangan untuk saya abadikan seperti Gunung Ledang, Pagoh, Kota Tinggi dan banyak lagi.

Namun, Johor memang banyak meninggalkan kenangan buat saya.

Oleh:
Hj Zulheimy Bin Maamor
Lembah Keramat, K.L
25 Ogos 2025: 1.09 p.m








































































































 






No comments: