Oleh: Megat Hisemudin Megat Kasim
Kisah Sejarah Melayu : 22 Ogos 2025
Sebenarnya catatan yang selalu kita gunakan untuk merujuk Kedah Tua pernah diperintah oleh Chola adalah berdasarkan dari sumber prasasti atau batu bersurat serta catatan Tamil. Namun dalam catatan China tidak langsung menyebutnya begitu.
天禧元年,其王霞迟苏勿吒蒲迷遣使蒲谋西等奉金字表,贡真珠、象牙、梵夹经、崐崘奴,诏许谒会灵观,游太清寺、金明池。及还,赐其国诏书、礼物以慰奖之。Pada tahun pertama era 天禧 Tiān xǐ semasa pemerintahan Maharaja Sòng zhēnzōng (1017), raja Srivijaya 霞迟苏勿吒蒲迷 Xiá chí sū wù zhā pú mí telah menghantar utusan yang diketuai oleh 蒲谋西 Pú móu xī dan yang lain-lain dengan membawakan hadiah mutiara, gading gajah, kitab Buddha bahasa Sanskrit, hamba Kunlun. Diperkenankan untuk mengunjungi tempat roh, melawat 太清寺 Candi Tài qīng dan 金明池 Jīnmíng chí (sebuah taman perhutanan Di Raja yang terkenal semasa Dinasti Sung utara). Apabila pulangnya diberikan 诏书 Zhàoshū (mungkin dimaksudkan watikah pelantikan raja baru) dan hadiah iringan.
天圣六年八月,其王室离叠华遣使蒲押陀罗歇及副使、判官亚加卢等来贡方物。旧制远国使人贡,赐以间金涂银带,时特以浑金带赐之。Pada bulan 8 tahun ke 6 era 天圣 Tiān shèng semasa pemerintahan Maharaja 宋仁宗 Sòng rénzōng (1028), raja Srivijaya 室离叠华 Shì lí dié huá telah menghantar utusan 蒲押陀罗歇 Pú yā tuó luó xiē bersama penolong utusan dan pegawai 亚加卢 Yà jiā lú dengan menghadiahkan barangan. Mengikut sistem lama para utusan negara-negara yang datang dari jauh akan dihadiahkan tali pinggang selang-seli antara saduran emas dengan perak tetapi istimewanya masa itu diberikan tali pinggang saduran emas.
Dalam penulisan sejarah tempatan sering menyebut Srivijaya telah pun musnah akibat diserang oleh Dinasti Chola dari selatan India pada tahun 1025 namun faktanya serangan Chola tidak pun memusnahkan Srivijaya sebaliknya di tahun 1028 Srivijaya masih menghantar utusan ke istana Sung. Catatan yang kita perolehi dari sumber prasasti dan catatan Tamil amatlah sedikit untuk mengaitkannya.
Tidak dijumpai sebarang rekod yang menyebut Srivijaya pernah diserang oleh Dinasti Chola dalam catatan rasmi Sung, apatah lagi menyebut Kedah Tua diperintah oleh Chola. Dalam catatan Sung yang menyebut utusan Srivijaya 蒲押陀罗歇 Pú yā tuó luó xiē yang dihantar oleh raja Srivijaya 室离叠华 Shì lí dié huá di tahun 1028 tidak langsung menyebut tentang serangan Chola ke atas Srivijaya. Begitu juga buku 嶺外代答 Lǐng wài dài dá tulisan 周去非 Zhōu qù fēi yang diterbitkan dalam tahun 1178 dan buku 诸蕃志 Zhū fān zhì karya Chau Ju-kua yang diterbitkan dalam tahun 1225 tidak pun menyebutnya.
Dengan ini mengesahkan bahawa serangan Chola adalah bersifat "touch n go" yang bertujuan melemahkan infrastruktur pelabuhan Srivijaya sahaja berbanding mahu menguasainya maka dengan itu ia tidak dicatatkan dalam mana-mana buku Sejarah China. Bagaimanapun raja Srivijaya 霞迟苏勿吒蒲迷 Xiá chí sū wù zhā pú mí atau Sri Sangrama Vijayatunggavarman ditawan oleh Chola yang ketika itu ibu kota Srivijaya di Jambi yang dipercayai ialah sekitar Kota Jambi sekarang terletak jauh dari pantai. Manakala Palembang dan pelabuhan Jambi yang terletak di kuala Sungai Kampar adalah dua pusat maritim dan pertahanan Srivijaya yang menjadi sasaran Chola. Mengikut catatan Tamil mengatakan angkatan Chola melalui Selat Sunda yakni bergerak dari belakang yang menyebabkan pertahanan Srivijaya di Palembang dan Pelabuhan Jambi mengalami kerosakan teruk.
Sebaliknya 宋史 Sòng shǐ hanya menyentuh tentang Chola dalam satu catatan, "注辇役属三佛齐,故熙宁中敕书以大背纸,缄以匣襆." Chola (注辇) adalah negara naungan Sān fó qí maka ketika era 熙宁 Xī níng (1068 - 1077) yakni semasa pemerintahan Maharaja 宋神宗 Sòng shénzōng telah menghantar warkah menggunakan kertas 大背纸 Dà bèi zhǐ (yakni seperti kertas bungkusan yang menunjukkan kualiti yang rendah) dan warkah dimasukkan ke dalam kotak. Berdasarkan jenis kertas yang digunakan bolehlah ditakrifkan kedudukan sesebuah negara itu sama ada sebuah negara besar atau hanya sebuah negara naungan.
Bagaimanapun yang dimaksudkan Chola (注辇) dalam konteks ini bukanlah keseluruhan empayar Chola. Dipercayai ia merujuk kepada 细兰 Xì lán (Ceylon/Sri Lanka) seperti yang dicatatkan dalam 诸蕃志 Zhū fān zhì karya Chau Ju-kua yang diterbitkan dalam tahun 1225. Berdasarkan catatan ini menunjukkan yang 细兰 Xì lán atau Ceylon telahpun mula dikuasai oleh Srivijaya antara tahun 1068 - 1077. Ini kerana Ceylon asalnya adalah milik Chola. Mungkin ketika catatan dalam Sòng shǐ belum wujud lagi nama 细兰 Xì lán atau Ceylon sebab itulah masih dituliskan sebagai 注辇 iaitu Chola. Catatan ini sekaligus bertentangan dengan pendapat setengah ahli-ahli sejarah yang mengatakan Srivijaya telahpun lenyap sebaliknya menunjukkan kekuatan Srivijaya bertambah kuat dengan menawan Ceylon.
熙宁十年,使大首领地华伽啰来,以为保顺慕化大将军。Pada tahun ke-10 era 熙宁 Xī níng semasa pemerintahan Maharaja 宋神宗 Sòng shénzōng (1077), utusan utama Srivijaya 地华伽啰 De huá jiā luō datang menghadap ke istana dan dianugerahkan 保顺慕化大将军 Panglima Bǎo shùn mù huà.
元丰中,使至者再,率以白金、真珠、婆律薰陆香备方物,二年,赐钱六万四千缗、银一万五百两,官其使群陀毕罗为宁远将军,官陀旁亚里为保顺郎将。Pada era 元丰 Yuán fēng semasa pemerintahan Maharaja 宋神宗 Sòng shénzōng (1078-1085), Srivijaya menghantar utusan sekali lagi dengan menghadiahkan emas putih, mutiara, kapur barus dan barangan lain. Tahun kedua (1079) istana China menghadiahkan duit tembaga 64,000 缗 Mín (unit satu cucuk duit tembaga) dan perak 10,500 tahil. Utusannya 群陀毕罗 Qún tuó bì luó dianugerahkan 宁远将军 Panglima Níngyuǎn dan pegawainya 陀旁亚里 Tuó páng yà lǐ sebagai 郎将 Láng jiāng.
Sebagai rujukan, dicatatkan dalam satu lagi catatan Sung menyebut, "宋神宗元丰二年 (1079) 三佛齐占卑使群陀毕罗、陀旁亚里来贡方物." Ketika pemerintahan Maharaja Sòng shénzōng bagi era 元丰 Yuán fēng yang ke 2 (1079) utusan Sān fó qí dari Jambi, 陀毕罗 Tuó bì luō dan 陀旁亚里Tuó páng yà lǐ telah datang menghadap ke istana bersama barangan hadiah. Fakta ini mengesahkan yang utusan ini adalah "utusan Sān fó qí dari Jambi", ia menafikan setengah pendapat yang menyebut utusan yang datang ke China adalah dari kerajaan Jambi yang merdeka pasca kejatuhan Srivijaya dengan mengatakan ketika itu telah tertubuh Kerajaan Melayu yang menguasai Srivijaya.
Nota:
Ini adalah sedutan daripada artikel yang lebih panjang bertajuk "Catatan Srivijaya dari Song shi".
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim
Copy and paste:
22 Ogos 2025: 11.47 a.m
No comments:
Post a Comment