Monday, 11 August 2025

MELAYU ATAU INDIA SAMPAI DULU DI SEMENANJUNG - PERSOALAN MEDIA ANTARABANGSA

SUMBER: THE PATRIOTS

Persoalan siapa yang sampai dulu di sini bukan harus bergantung kepada orang Melayu atau India seperti mana cuba dibawa oleh media antarabangsa, South China Sea Press ini.
Tetapi ia bergantung pada soal sejarah. Segelintir kaum India mendakwa bahawa Rajendra Chola I daripada Empayar Chola di Selatan India yang membina kerajaaan Kedah Tua di Lembah Bujang dan sekitarnya.
Yang tidak mengetahui, Kedah Tua dapat ditakrifkan sebagai gabungan sekumpulan penempatan pesisir pantai dan pinggir sungai yang terletak di Lembah Bujang dan berfungsi sebagai pusat pertukaran komoditi dengan struktur berkerajaan.
Penempatan-penempatan ini dihuni oleh masyarakat pribumi Melayu, dan juga komuniti pedagang yang tinggal dalam jangka masa pendek sementara menunggu pertukaran angin monsun.
Lembah Bujang pula satu terminologi yang diperkenalkan pada 1970-an untuk merujuk kepada kawasan di sekitar lembah Sungai Merbok-Muda tempat ditemui jumpaan arkeologi seperti monumen, seramik, arca dan prasasti yang dapat dikaitkan masyarakat Kedah Tua.
Kedah Tua mula wujud dan dikenali masyarakat asing sejak kurun kedua Sebelum Masihi dan posisinya sebagai pusat entrepôt berterusan sehingga kurun ke-14 Masihi. Sebab itu Kedah Tua masyur dalam catatan-catatan luar seperti Syair Tamil, sastera Sanskrit, dan syair Prakit.
Karya Sanskrit iaitu Kaumudimahotsava dan Kathasaritsagara yang dikarang sekitar kurun kelapan Masihi adalah sastera epik yang sering menggunakan Kedah sebagai latar dalam plot ceritanya.
Syair Sillappadikaram (kurun kedua Masihi) menyatakan bahawa wu­jud hubungan dagang antara Kedah (Kidaravan) dengan Madurai, manakala syair Pattinappalai (kurun kedua Masihi) pula menyebut bahawa komoditi dari Kedah (Kazhagam) telah diperdagangkan di Kaveripattinam.
Syair Paruŋkathai pula menyatakan bahawa Kaṭāraththu irumpu yang bermakna “besi dari Kaṭāram” merupakan salah satu bahan yang digunakan untuk membuat kereta kuda Puteri Vācavathaththai. Kaṭāram diketahui merujuk kepada Kedah Tua.
Syair ini membuktikan bahawa Kedah Tua dah wujud awal sebelum Rajendra Chola I (1014-1044 Masihi) yang memerintah Selatan India pada yang menyerang Kedah yang didakwa sebagai pembina kerajaan-kerajaan di Semenanjung yang beragama Hindu-Buddha menyerang pada tahun 1025 Masihi!
Kerajaan-kerajaan yang wujud di semenanjung ini semuanya dapat dijejak seawal abad pertama Masihi, walaupun ada kajian yang masih diperdebatkan, meletakkan usia Sungai Batu pada 783 SM. Berapa pun usia kerajaan-kerajaan ini, ia masih lagi jauh lagi tua daripada KEDATANGAN RAJENDRA CHOLA yang datang pada 1025 Masihi.
Sebab tu kami orang Melayu agak terasa apabila kerajaan-kerajaan purba ini didakwa sebagai kerajaan milik orang India hanya apabila ada dalam helaian sejarah, Rajendra Chola menyerang kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara pada tahun 1025 Masihi.
Ya, ada kerajaan purba ni beragama Hindu-Buddha. Tetapi agama ini tidak eklusif milik orang India. Kami orang Melayu tidak ada masalah mengaku bahawa kami dalam sejarah pernah mengganut agama animism dan kemudian, Hindu-Buddha. Dalam sejarah, kita ada orang Khmer di Kemboja, serta orang Cham di Vietnam mengganut agama Hindu. Kita ada orang Thai, Burma malahan orang Melayu sendiri ialah pengganut agama Buddha.
Nama-nama raja ini memakai nama berbaur Sanskrit, dan menggunakan tulisan seperti Pallava yang datang dari Selatan India. Ini fenomena biasa yang kita dapat lihat di Asia Tenggara. Fasa ini dikenali sebagai fasa Indianisasi, merujuk kepada besarnya pengaruh India pada perkembangan tamadun-tamadun pribumi Asia Tenggara.
Ini yang tidak dapat difahami oleh segelintir orang India di Malaysia. Sebab tu ada sebahagian kecil daripada mereka yang mendakwa mereka dah tiba di tanah ini seawal 2500 tahun yang lalu. Ya, memang ada pedagang-pedagang India yang sampai ke tanah ini seawal zaman itu, memandangkan orang Melayu dah lama membuka pelabuhan antarabangsa mereka.
Tetapi percayalah, orang India yang tiba 2500 tahun lalu dah bermaustatin di tanah ini dah berasmilasi menjadi orang Melayu selepas bergenerasi, dan generasi yang datang hari ini mustahil datang daripada generasi terdahulu ini.
Oleh: Helmi Effendy

Copy and paste:
11 Ogos 2025: 2.25 p.m