Thursday, 28 August 2025

Buku Cendekiawan Islam Jadi Inspirasi Niccolo Macchiavelli

Oleh: Moustapha Abbas
THE PATRIOTS

Sebut saja nama Niccolo Macchiavelli, ramai membayangkan mahakarya beliau iaitu ‘The Prince’. Siapa sangka, buku tersebut sebenarnya diinspirasikan daripada sebuah buku yang dikarang seorang cendekiawan Islam dari Sicily.
Secara ringkas, ‘The Prince’ ialah sebuah buku yang dihasilkan Macchiavelli sebagai garis panduan buat pemerintah atau pewaris takhta. Buku tersebut menyebut pelbagai bab dari kebijaksanaan pemerintah hinggalah ciri yang patut dimiliki seorang pemerintah.
Buku tersebut memberi impak besar kepada para pemerintah terutama di Eropah bila ia diterbitkan di Eropah pada 1532. Malah, ia turut memberi impak kepada perkembangan politik zaman moden di timur dan barat.
Ada yang mengatakan falsafah ‘The Prince’ dicedok Macchiavelli daripada kelompok filsuf Yunani seperti Xenophon, Democritus dan Epicurus. Walau bagaimanapun, saintis politik Itali, Gaetano Mosca mengesyaki beliau sebenarnya menjadikan karya Sulwan yang dikarang Ibnu Zafar al-Siqqili sebagai inspirasinya.
Jadi, siapa Ibnu Zafar ini?
Beliau ialah seorang cendekiawan Islam yang berada di Sicily ketika wilayah itu diperintah kerajaan Norman pada abad ke-12 Masihi. Lahir pada awal abad ke-12, Ibnu Zafar dikatakan dibesarkan dan belajar di bumi Makkah al-Mukarramah.
Salah satu nama gelarannya ialah Si Pengembara. Ini disebabkan Ibnu Zafar gemar mengembara ke serata tempat untuk menuntut ilmu. Beliau pernah mengembara hingga ke Mesir, Tunisia dan Aleppo, Syria. Semasa di Aleppo, Ibnu Zafar menjadi tenaga pengajar sebuah madrasah di bawah naungan Safi al-Din pada 1046.
Lapan tahun selepas itu, beliau kembali ke kampung halamannya dan menabur bukti di Sicily. Meskipun begitu, kekacauan yang tercetus di Sicily mendorongnya kembali ke Syria dan kekal di situ sebelum meninggal dunia antara 1170 atau 1172.
Jadi, apa kena-mengena Ibnu Zafar dengan Macchiavelli?
Mosca percaya cendekiawan berdarah Florence itu menjadikan kitab Sulwan sebagai inspirasi kepada ‘The Prince’. Ini kerana hampir kebanyakan bab yang disentuh dalam buku tersebut turut muncul dalam kitab Sulwan.
Apa yang membezakan karya kedua-dua cendekiawan itu ialah Ibnu Zafar menjadikan agama sebagai teras kepada nasihat dan panduan kepada para pemerintah. Ini sama sekali berbeza dengan Macchiavelli yang memilih pendekatan realpolitik yang patut dijadikan sebagai panduan golongan pemerintah.
Edisi pertama kitab Sulwan didedikasikan kepada seorang raja yang tidak diketahui. Raja tersebut berkemungkinan merujuk kepada pemerintah Damsyik yang diusir oleh Nuruddin Mahmud Zengky. Edisi kedua pula didedikasikan kepada penaung beliau, Abu’l-Qassim ibnu Hammud ibnu al-Hajjar.
Tidak mustahil kitab ini menjadi inspirasi kepada para pemerintah Islam seterusnya termasuk pengasas Dinasti Ayubiyah, Salahuddin Yusuf Al-Ayubi. Meskipun begitu, nama Ibnu Zafar langsung tidak dikenali di dunia Barat.
Malah, terjemahan pertama kitab Sulwan dalam Bahasa Itali dibuat pada 1851 oleh pejuang Sicily, Michele Amari. Terjemahan Amari turut mengandungi biografi Ibnu Zafar. Terjemahan kitab Sulwan dalam Bahasa Inggeris pula dibuat setahun selepas itu oleh Richard Bentley.
___
Persamaan antara The Prince dan Kitab Sulwan menunjukkan betapa besarnya impak saintis Islam kepada karya yang menjadi bahan kajian ahli politik sehingga hari ini.
Ini baru sedikit pasal Saintis-Saintis Agung Islam. Nak tahu lagi, dapatkannya di Shopee sekarang: https://s.shopee.com.my/9znuNw3u44

Copy and Paste:
28 Ogos 2025: 11.36 p.m

No comments: