Oleh: Megat Hisemudin Megat Kasim
Chih Tu (赤土) adalah sebuah kerajaan Melayu kuno yang dikatakan pernah memerintah di selatan Thailand hingga ke Kelantan di abad ke 2 hingga ke 7 Masehi.
赤 chi bermakna merah, 土 tu bermakna tanah. Jadi Chi Tu atau Chih Tu bermakna tanah merah. Maka adakah Chih Tu itu adalah Tanah Merah di Kelantan?
Seperti dalam artikel-artikel saya terdahulu yang mencatatkan kerajaan-kerajaan Melayu kuno seperti Langkasuka dan Sri Vijaya diperolehi sumbernya dari catatan China. Kerana sumber China punyai catatan bertulis yang lebih lengkap.
Di manakah sebenarnya kedudukan kerajaan Chih Tu itu? Sehingga kini ahli-ahli sejarah masih bercanggah pendapat dan ada yang mengaitkan kerajaan Chih Tu itu dengan permulaan kerajaan Sri Vijaya yang memerintah di Palembang, Sumatera.
Pendapat ini diasaskan dari sumber Hindu melalui Bahasa Sanskrit, Raktamrittika yang mengaitkan Kalathana (Kelantan) di mana raja ke empatnya bernama Sri Wijaya Mala yang kemudian menukar nama kepada Sri Wijaya. Mengikut pendapat ini, Sri Wiyaja inilah yang membuka kerajaan Sri Wijaya.
Bagaimanapun saya lebih mempercayai sumber catatan China dari Dinasti Sui 隋朝 (581 – 618) melalui teks sejarah Liang Shu 梁书 iaitu rekod sejarah semasa Dinasti Utara Selatan (Northern and Southern Dynasties) @ 南北朝 dimana China masih belum disatukan lagi dan peperangan antara negeri-negeri (diistilahkan sebagai negara) masih berterusan. Kemudiannya China disatukan oleh Dinasti Tang 唐朝 yang lebih kuat.
Rekod kedua ialah dari 通典 tong dian yang merupakan buku sejarah terulung di China yang mencatatkan dengan lengkap mengenai pemerintahan semasa Dinasti Tang. Bagaimanapun catatan tentang Chih Tu yang terdapat dalam Tong Dian diyakini disalin daripada Liang Shu 梁书. Oleh itu bolehlah dianggap catatan dalam Tong Dian sebagai pengesahan kepada catatan Liang Shu.
《隋书·南蛮传·赤土》记载:“赤土国,扶南之别种也,在南海中,水行百余日而达所都,土色多赤,因以为号。
Catatan Chih Tu dari Liang Shu, “negara Chih Tu adalah sama bangsanya dengan orang Funan (dalam ayat asal bermaksud tidak berbeza dengan bangsa Funan). Terletak di Nan Hai (Laut Selatan), dengan perjalanan air (laut) ratusan hari maka sampailah ke ibu kotanya. Tanahnya banyak yang berwarna merah, maka sebab itulah diambil namanya (Chih tu = tanah merah)”.
Funan mengikut istilah sejarah China ialah orang-orang Khemer yang memerintah negara-negara Indochina sekarang iaitu Vietnam, Laos dan Kemboja.
Dalam catatan sami Buddha, 法显 Faxian yang pergi ke India untuk mempelajari ugama Buddha dan sekembalinya dari India telah singgah selama setengah tahun di Chih Tu. Beliau menulis, “其俗敬佛,尤重婆罗门” yang bermakna mereka amat menghormati Buddha dan lebih-lebih lagi Brahmin iaitu ugama Hindu.
[Nota: Brahmin juga, bermaksud golongan ugamawan tertinggi dalam kasta ugama Hindu].
隋炀帝于大业三年(607年)曾派遣屯田主事常骏、虞部主事王君政出使赤土国,受到赤土国王盛大欢迎.
Semasa tahun ke 3 pemerintahan Maharaja Sui Yang (隋炀帝) iaitu di tahun 607 pernah menghantar Chang Chun @ Jun (常骏) ke Chih Tu. Beliau mendapat sambutan yang amat meriah oleh raja Chih Tu.
Dalam catatan Sui juga menyebut, 国都为僧祇城,也叫师子城 yang bermakna ibukotanya ialah Kota Seng Zhi juga dinamakan sebagai Kota Singa. Ada yang membunyikan Seng Zhi sebagai Seng Ha. Ini kerana sebutan bahasa asing tidak semestinya boleh ditulis sama bunyi mengikut huruf China. Mengikut Bahasa Sanskrit, “seng” bermakna singa.
Mengikut ahli-ahli sejarah Kota Seng Zhi @ Kota Singa itulah Singgora iaitu Songkhla sekarang. Sing Ha juga dikaitkan dengan daerah Singhanakhon dalam wilayah Songkhla.
Mengenai di mana letaknya Chih Tu, Sui Shu mencatatkan seperti berikut:
東波羅刺國,西婆羅娑國,南訶羅旦國,北拒大海,地方數千里。
Di timurnya ialah negara Po Lo Ci, di baratnya ialah negara Po Lo Suo, di selatannya ialah negara He Lo Dan @ Ho Lo Tan. Di utara menghadap laut luas dan kawasannya ribuan li. Li ialah pengiraan jarak iaitu “batu” atau mungkin “batu nautika”.
Po Lo Ci mungkin sekali ialah Po Lo (波羅) yang merujuk kepada Borneo. Kerana dalam bahasa Cina menyebut Borneo ialah 波羅洲 Po Lo Zhou. Po Lo Suo mungkin sekali Po Lu Shi atau Barus yang merupakan sebuah kerajaan terawal di utara Sumatera. Ho Lo Tan ialah Kelantan sekarang ini.
<Nota:> terdapat perbezaan huruf Cina dalam teks yg berlainan yg mungkin kesilapan menulis atau salinan (typo error) bagi 波羅刺 Po Lo Ci. Dalam teks yang lain menulis 波羅剌 Po Lo La. Ini kerana huruf Cina 刺 ci, 剌 la hampir sama. Hanya dibezakan dengan satu stroke. Bagaimanapun ia tetap merujuk tempat yang sama.
Lebih lanjut dalam catatan Chang Chun menyebut, “其年十月,駿等自南海郡乘舟,晝夜二旬,每值便風。至焦石山而過,東南泊陵伽缽拔多洲,西與林邑相對,上有神祠焉。又南行,至師子石,自是島嶼連接, 又行二三日,西望見狼牙須國之山,於是南達雞籠島,至於赤土之界, 月餘至其國都”.
Pada bulan 10 tahun itu (bermakna bulan Oktober di mana bermulanya angin monson timur laut), Chang Chun dan ahli rombongan menaiki kapal menghala ke selatan. Siang dan malam selama 20 hari (二旬) mengikut tiupan arah angin lazim.
Sehingga melalui bukit berbatu (mungkin dimaksudkan terumbu karang) dan singgah berlabuh di tenggara Pulau Ling Jia Bo Ba Duo (dikatakan sebuah pulau di tenggara Vietnam sekarang). Di barat bertentangan dengan Lam Ap 林邑 (sebuah negara di tengah Vietnam sekarang). Di atas adalah dewan Tuhan.
Belayar lagi ke selatan sampai ke batu singa, ia adalah sekumpulan pulau-pulau yang bersambungan (mungkin sekali pulau-pulau sekitar Koh Samui).
Kemudian belayar lagi selama 2, 3 hari nampaklah pada pandangan gunung negara Langkasuka di bahagan barat. Akhirnya sampailah ke selatan iaitu Pulau Ji Long, maka di sinilah sempadan Chih Tu. Sebulan lebih barulah sampai ke ibu kota Chih Tu.
Jika kita melihat kepada peta selatan Thailand sekarang, mungkin dari batu singa iaitu pulau-pulau Koh Samui belayar 2, 3 hari boleh nampak gunung negara Langkasuka bermakna ketika itu mereka berada di sekitar Nakhon Si Thammarat yang mungkin sekali sempadan utara Chih Tu.
Satu persoalan, jika Singgora @ Songkla dikatakan sebagai ibukota Chih Tu tetapi Chang Chun menyebut "sebulan lebih baru sampai ke ibukota".
Ini bermakna ibukota Chih Tu bukanlah Singgora. Ia juga menunjukkan ibu kota Chih Tu berada di pendalaman darat. Mereka perlu berjalan kaki, menaiki gajah atau mudik ke hulu dari kuala Sungai Kelantan untuk sampai ke ibu kota.
Perjalanan ini mungkin mengambil masa lebih sebulan. Jadi adakah Tanah Merah sekarang ibu kota Chih Tu?
Sayang sekali dalam catatan China tidak menyebut sempadan di selatan Chih Tu. Selepas itu tiada lagi catatan China yang diperolehi semasa Dinasti Tang.
Chih Tu dikatakan ditakluki oleh Sri Vijaya pada abad ke 7-8 Masehi. Tiada catatan tepat atau catatan silang yang boleh mengesahkannya. Cuma ketika itu Sri Vijaya telah meluaskan pengaruhnya ke utara Semenanjung Tanah Melayu.
Nota:
Penulis beranggapan:-
1. Ke utara daripada Nakhon Si Tammarat adalah Langkasuka yang berpandukan catatan Chang Chun mengatakan 2,3 hari belayar dari batu singa @ kumpulan pulau-pulau Koh Samui mereka nampak gunung negara Langkasuka. Walaupun gunung itu mengunjur dari utara boleh dilihat dari pantai namun kapal mereka belayar dari arah timur laut yakni ke selatan pulau Koh Samui. Jadi kali pertama boleh dilihat gunung itu mungkin sekali di sekitar Nakhon Si Tammarat.
2. Ke selatan daripada Nakhon Si Tammarat sehingga ke pendalaman Kelantan sekarang ialah letaknya negara Chih Tu.
3. He Lo Dan @ Ho Lo Tan iaitu Kelantan terletak di selatan Chih Tu.
4. Ketiga-tiga negara ini, Langkasuka, Chih Tu dan Kelantan wujud pada era yang sama.
5. Tidak dapat dipastikan sempadan antara Chih Tu dengan He Lo Dan @ Kelantan.
6. Dalam bahasa Cina 雞籠 Ji Long bermakna sangkar ayam. Terdapat juga sebuah pulau di China bernama Ji Long. Keadaannya adalah bulat menyerupai sangkar ayam. Kemungkinan Pulau Ji Long ini terletak dalam teluk yang berada di luar pantai Nakhon Si Thammarat.
7. Adalah logik sempadan selatan Langkasuka di penghujung bahagian yang rendah bagi Banjaran Nakhon Si Thammarat. Kerana ia menjadi laluan darat yang penting untuk perdagangan dan laluan ketenteraan.
8. Bahagian lebih ke selatan Banjaran Nakhon Si Thammarat adalah negara Chih Tu.
Copy and paste:
6 Ogos 2025: 5.01 p.m
No comments:
Post a Comment