Oleh: Sharifah Faizurah Albukhari
PUSAKA NUSANTARA OFFICIAL ORI (PNOO)
8 Ogos 2025
Awal abad ke-18.
Di pelabuhan Melaka, bau rempah, kopi dan kapur barus memenuhi udara. Kapal-kapal Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) berlabuh, membawa rempah dari Maluku, kain dari tanah Hindustan, porselin dari Zhongguo yang pulang dengan pelbagai cerita.
Salah seorang yang mencatat cerita itu ialah François Valentijn (1666–1727), seorang pastor Calvinis Belanda, penulis, dan pengembara yang pernah bertugas di Ambon, Batavia, dan sempat singgah ke Melaka. Beliau bukan sekadar menulis peta dan sejarah, tetapi juga memerhati budaya dan warisan kulinari orang tempatan.
Dalam karya besar beliau Oud en Nieuw Oost-Indiën (1724–1726), ada satu gambaran manisan kukus yang seperti Kuih Talam Tepung Beras yang ada hari ini.
Valentijn menyebut tentang "rijsttaart" kek beras yang dikukus dalam bekas leper dengan santan di atasnya (gestoomd in schalen met kokosmelk). Beliau tidak menulis “talam beras gula melaka/beras pandan”, mungkin kerana itu bukan istilah dalam bahasa beliau atau nama yang digunakan oleh oramg tempatan ketika itu. Tetapi deskripsi itu jelas: lapisan bawah dari tepung beras yang manis, lapisan atas putih dari campuran perahan santan kelapa.
Bayangkan pandangan seorang Belanda di dapur Nusantara ketika itu. Di atas dapur kayu, talam tembaga berisi adunan tepung beras bercampur gula merah pekat dari nira kelapa sedang dikukus atau perahan pati hijau pandan. Lapisan bawahnya berwarna perang keemasan, harum seperti karamel tropika atau hijau yang menyegarkan. Lapisan atasnya putih bersih, santan pekat yang diberi sedikit garam, rahsia rasa seimbang antara manis dan lemak.
Bagi Valentijn, ia mungkin sekadar kek kukus yang pelik dari timur. Bagi orang kita, inilah talam tepung beras, kuih yang menjadi identiti rasa Nusantara. Ia bukti bahawa sejak 300 tahun lalu, masyarakat kita sudah menguasai seni kontras rasa dan tekstur. Lembut tetapi padat, manis tetapi ada lemak masin, sederhana dari segi rupa tetapi mewah dari segi rasa.
Catatan Valentijn ini penting kerana ia rekod asing terawal yang menggambarkan kuih dua lapisan beras dan santan di Nusantara.
Ia mengesahkan bahawa pada awal 1700-an, makanan seperti talam tepung beras bukan sekadar wujud, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada budaya harian di pelabuhan Melayu.
Hari ini, kuih talam ini masih setia di meja kenduri, pasar pagi, dan gerai tepi jalan.
Bezanya, kita mungkin memotongnya dengan pisau keluli moden, bukan pisau buluh; mengukusnya dalam kukusan elektrik, bukan dapur kayu. Tetapi setiap kali kita makan lapisan "bawah manis dan lapisan atas lemak masin itu, kita sedang menyambung rasa yang pernah mengembara jauh dari dapur Nusantara ke mata seorang pengembara Belanda, lebih 300 tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment