Friday, 1 August 2025

BAGAIMANA PASPORT MALAYSIA JADI ANTARA TERKUAT DUNIA?


Oleh: Helmi Effendy
1 Ogos 2025

Ini ialah bintang Kpop dari Malaysia yang pertama. Nama dia Lingling dan hari tu, dia jadi viral sebab flex pasport dia kat Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. Ramai yang kata dia tengah flex pasal salah satu pasport terkuat di dunia (ranking ke-8 dunia) iaitu Pasport Malaysia yang membolehkan rakyat negara kita masuk ke lebih 122 buah negara tanpa Visa. Orang Indonesia sendiri jeles kat X tentang kekuatan pasport kita.
Persoalannya ialah, kenapa kita boleh ada kekuatan pasport? Banyak faktornya, dan salah satu daripadanya ialah pada Dasar Luar Malaysia yang Neutral dan Mesra Semua Pihak. Malaysia sejak merdeka mengamalkan dasar luar berkecuali dan pragmatik. Malaysia bukan sekutu NATO, bukan boneka China, bukan pengikut Amerika. Dasar berkecuali Malaysia membolehkan bebas ke serata dunia.
Kita kena tahu bahawa rakyat Malaysia tidak terdesak untuk keluar dari negara mereka. Tidak seperti sesetengah negara di mana rakyatnya melarikan diri untuk mencari suaka atau pekerjaan gelap, warga Malaysia melancong dengan tiket pergi dan balik. Kita ke luar negara untuk belajar, berniaga, bercuti, bukan melarikan diri. Ini memberi reputasi baik kepada pasport kita. Ia bukan pasport pelarian, bukan pasport berisiko tinggi.
Malaysia bukan terlalu kaya hingga menjadi pesaing, dan bukan terlalu miskin hingga menjadi beban. Kita ialah negara middle powerm dengan pendapatan sederhana tinggi, infrastruktur moden, dan rakyat yang terpelajar. Sebaliknya, jika negara lain yang memiliki pasport lemah, jika visa dibuka bebas, negara lain bimbang berlakunya lonjakan migrasi besar-besaran. Malaysia pula tidak menimbulkan kebimbangan sedemikian.
Berbeza dengan negara-negara yang rakyatnya melarikan diri untuk bekerja secara haram atau memohon suaka, rakyat Malaysia jarang terlibat dalam pelanggaran visa. Kita melancong, belajar, berniaga, dan pulang dengan rela. Sebaliknya, sebagai contoh, terdapat sebahagian warga negara luar yang menyalahguna visa kerja di UK, Hong Kong dan Korea. Ini menjadikan sesetengah negara lebih berhati-hati dalam membuka visa kepada rakyat dari negara seperti mereka. Malaysia pula dilihat sebagai negara yang rakyatnya tahu batasan dan menghormati undang-undang.
Pasport Malaysia bukan sahaja cantik macam Lingling dok pegang, tetapi antara paling canggih dan sukar dipalsukan di dunia. Ia dilengkapi sistem biometrik, rekod digital, dan standard keselamatan tinggi. Negara lain tahu, bila mereka menerima pemegang pasport Malaysia, mereka tidak menerima pemalsu identiti atau pelarian terancang. Ini berbeza dengan beberapa negara yang pernah berdepan skandal pemalsuan pasport berskala besar, termasuk Pakistan, Nigeria, dan beberapa negara Afrika, menyebabkan kepercayaan global terhadap dokumen rasmi mereka menurun.
Malaysia bukan negara yang menunggu simpati. Kita aktif merundingkan akses visa bebas melalui diplomasi perdagangan, pelaburan dan pendidikan. Jepun, Korea Selatan, EU, UK, semuanya membuka pintu kepada Malaysia kerana kita juga membuka pintu kepada mereka. Negara luar melihat Malaysia sebagai pasaran yang menarik, rakan dagang strategik, dan pusat pendidikan serta pelancongan serantau.
Kita juga kena tahu yang Malaysia juga mengekalkan imej sebagai negara stabil dan bebas daripada konflik keganasan. Walaupun pernah muncul kes terpencil berkaitan ISIS, ancaman itu kecil dan terkawal. Malaysia tidak dikenali sebagai ‘lubuk militan’. Sebaliknya, sesetengah negara lain pernah terpalit dengan insiden besar, contohnya seperti Indonesia yang terbabit dengan tragedi pengeboman Bali 2002 dan jaringan Jemaah Islamiyah. Dalam era pasca-9/11, pasport tidak lagi dilihat sebagai dokumen, ia dilihat sebagai simbol tahap risiko seseorang kepada keselamatan negara. Jadi, mereka sangat-sangat pandang dari mana pemegang pasport itu datang sebelum memberikan ruang untuk negara kita masuk.
Dan dah tentu, kekuatan diplomasi negara kita. Macam yang saya selalu cakap, saya memandang Malaysia ialah pewaris sebenar kepada ketamadunan Melayu. Dari zaman Srivijaya hingga ke Melaka, dunia mengenali bangsa Melayu sebagai bangsa yang pelabuhan agung, bangsa yang tidak memacak senjata, tetapi membuka pelabuhan untuk kapal dagang dari India, Arab, China dan Eropah. Di tangan mereka, diplomasi bukan sekadar pertuturan, tetapi sebuah peradaban.
Utusan dan pedagang Melayu dahulu mengembara membawa surat daripada raja, bukan amaran perang. Mereka datang membawa lada, rempah, dan budi bahasa, bukan peluru, penjajahan atau ideologi ekstrem ke serata dunia. Mereka tinggalkan jejak yang masih boleh kita baca pada hari ini. Jadi, warisan diplomasi itu diwarisi pula oleh negara kita Malaysia. Diplomasi hebat yang membolehkan negara kita memiliki keistimewaan sebagai pasport terkuat dunia.
Dan untuk meneruskan legasi diplomasi yang hebat, kita kenalah ada ilmu geopolitik yang cukup. Untuk itu, saya nak cadangkan buku Adikuasa, tulisan sahabat saya Ayman Rashdan Wong yang anda boleh beli di Shopee The Patriots Studios. Anda akan tahu kedudukan negara-negara di dunia dalam permainan geopolitik yang sangat licik. Pautan pembelian: https://s.shopee.com.my/3VXuLGO14n

Copy and paste:
1 Ogos 2025: 8.54 p.m


No comments: