Sabah adalah salah satu wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia bersama Sarawak, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu pada 16 September 1963. Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu yang dulu dikenali sebagai Jesselton.
Pengalaman pertama saya menjejak kaki ke bumi Sabah ialah pada tahun 1981 ketika berkhidmat dengan kapal KD Raja Jarom yang ketika itu ditugaskan untuk Ops Terumbu di Pulau Layang Layang di perairan Sabah.
Dengan KD Raja Jarom kami telah merapat ke beberapa buah pelabuhan di Sabah dan Sarawak seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Kuching, Bintulu dsb.
1997 - SABAH
PERCUTIAN KELUARGA KE KOTA KINABALU, SABAH
Pada 1 Jun 1997 saya dan keluarga bersama Ibu dan keluarga kakak-kakak saya telah berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah untuk berkunjung ke rumah Abang Sulong kami Norajelan Maamor yang ketika itu bekerja sebagai Pengurus di SIME Bank Kota Kinabalu.
Kami menginap di rumah Abang kami yang terletak di Graceville, Kota Kinabalu, Sabah, lebih kurang 6.5 km dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Tidak jauh dari rumah Abang saya, terdapat sebuah tugu peringatan iaitu Tugu Peringatan Double Six, sebuah memorial untuk mengingati tragedi kemalangan pesawat pada 6 Jun 1976 dikenali sebagai Tragedi Double Six yang telah meragut nyawa Ketua Menteri Pertama Sabah, Allahyarham Tun Fuad Stephen beserta 6 menteri Sabah.
BERSIAR-SIAR DI KOTA KINABALU
Pada hari pertama Abang Sulong kami membawa kami bersiar-siar di sekitar bandar Kota Kinabalu.
Antara yang kami lawati ialah Pusat Warisan Tumbuhan Sabah, Pusat Kraftangan Sabah, Pasar Filipina, Muzium Sabah dan banyak lagi.
Antara yang cukup terkenal di Kota Kinabalu ialah Pantai Tanjung Aru yang terletak lebih kurang 2.7 km dari Grace Ville.
Kami mengambil kesempatan untuk berkelah di Pantai ini yang sangat cantik dan indah..... Kata Abang Sulong saya orang ramai lebih suka datang ke Pantai ini waktu menjelang senja untuk melihat dan mengabdikan foto waktu matahari terbenam di pantai ini.
Pada 2 Jun 1997, kami bertolak dari Kota Kinabalu menuju ke Kundasang, sabah yang jarak perjalanan adalah 94.7 km dan mengambil masa 2 jam 7 minit.
Dalam perjalanan kami singgah di Kg. Nabalu untuk membeli cenderahati. Kg. Nabalu ialah sebuah pekan kecil yang sering menjadi tumpuan pengunjung ke Sabah. Ianya dahulu asalnya adalah menjadi "Toilet shop" untuk para pelancong yang menuju ke Taman Kinabalu.
Kundasang yang dikenali sebagai Historical town of Kundasang merupakan sebuah pekan kecil yang paling hampir dengan Gunung Kinabalu, lebih kurang 6 km dari Taman Negara Kinabalu.
.jpg)
Di Kundasang kami menginap di Sri Intan Resort (milik TM Resort) terletak di Kampung Sinisian, lebih kurang 6 km dari Taman Kinabalu.
Dari Sri Intan Resort ini kita boleh melihat puncak Gunung Kinabalu, iaitu Gunung yang tertinggi di Asia Tenggaran.
Tugu Peringatan Perang Sandakan dibina di bekas kawasan bekas Kem Sandakan di Sabah. Ia dibina sebagai memperingati tawanan perang yang terkorban dalam Sandakan Death March ketika Perang Dunia Kedua.
Jambatan Air Panas Poring terletak lebih kurang 35 km dari Kundasang.Ianya terletak di dalam daerah Ranau, Sabah.
Poring adalah nama Kadazan-Dusun untuk sejenis spesis buluh yang tumbuh di kawasan itu. Taman Air Mata Panas Poring terkenal dengan kolam air pans dan Jambatan Gantung sepanjang 157.8 m dan setinggi 41 meter di atas pokok.
Pondok Timpohon adalah tempat permulaan untuk mendaki ke Gunung Kinabalu. Udara di sini segar, dingin dan nyaman.
Untuk ke Taman Kinabalu, ada 2 laluan iaitu satu melalui Timpohon Gate dan satu lagi melalui Mesilau.
Dari Pondok Timpohon kami menuju ke Menggatal, Sabah untuk makan malam. Perjalan dari Timpohonke Menggatal adalah lebih kurang 78.2 km dan memakan masa perjalanan selama 1 jam 22 minit.
Menggatal sebuah pekan kecil terletak di daerah Pantai Barat Sabah. Nama Menggatal adalah nama sejenis pokok mangga yang apabila dimakan buahnya boleh menyebabkan kegatalan.
Apa yang menariknya nama Menggatal ini telah menjadi bahan gurauan buat suami kepada isteri, contoh "Sayang, abang nak pergi Menggatal sekejap"...
2013 - SABAH
SURIA SABAH, KOTA KINABALU
17-22 AUGUST 2013
Minggu Jantung Kota Kinabalu 2013 telah diadakan di Komplek Beli Belah Suria Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. Seramai 530 orang telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan manakala 129 menjalani Ujian Elektrokardiagram sepanjang kempen dijalankan.
Suria Sabah Shopping Mall di buka kepada orangramai pada 3 Disember 2009. Terletak di tengah-tengah pusat bandar dan pusat perniagaan Kota Kinabalu berhadapan bangunan Wisma Sabah.
Kota Kinabalu atau "KK", dulunya dikenali sebagai Jesselton, ialah ibu negeri Sabah yang terletak di Malaysia Timur. Bandar ini juga merupakan destinasi pelancongan utama dan pintu masuk yang popular bagi pelancong yang melawat Sabah dan Borneo.
Sepanjang program dijalankan, kami menetap di Best Western Kinabalu Daya Hotel yang terletak di Jalan Pantai, kira-kira 10-15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan tidak jauh dari Suria Sabah Shopping Mall (walking distance). Oleh kerana hotel ini berdekatan dengan Suria Sabah, ia memudahkan kami untuk pergi dan balik dari Hotel ke Suria Sabah.
Pada 23 Ogos 2013, kami bertolak dari Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu yang terletak sejauh 119 km dengan perjalanan mengambil masa 2 jam 13 minit.
Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu, kami telah melalui beberapa buah pekan kecil di Sabah seperti Inanam, Telipok, Tamparuli, Tuaran dan Kota Belud.
KOTA MARUDU, SABAH
24-25 OGOS 2013
Kempen "Go Red for Women" telah berlansung di Dewan Komuniti Kota Marudu dari 24-25 Ogos 2013. Seramai 182 orang telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan sepanjang program dijalankan.
Kota Marudu adalah daerah yang terletak di Bahagian Kudat, Sabah. Kota Marudu mula dipetakan oleh seorang ahli pelayaran Belanda pada tahun 1595 yang belayar dari Brunei melalui Marudu menuju ke Palawan dan seterusnya ke Pulau Sulu.
Sepanjang program di Kota Marudu, kami menginap di Hotel Season 2 yang terletak berseberang dengan Dewan Komuniti Kota Marudu.
LAIN-LAIN KENANGAN DI SABAH
Banjaran Crocker adalah sebuah banjaran gunung yang terletak di Bahagian Pantai Barat negeri Sabah. Puncak tertinggi banjaran ini adalah Gunung Kinabalu.
Kalabakan ialah sebuah daerah baharu di selatan Sabah terletak di Barat Bahagian Tawau, Jaraknya dari Bandar Tawau adalah kira-kira 106 kilometer. Antara Sejarah Kalabakan ialah pada 29 Disember 1963 apabila Tentera Nasionalis Indonesia (TNI) telah menyerang Pos Kawalan Tentera Malaysia yang telah mengorbankan 18 anggota daripada Batalion ke 3 Rejimen Askar Melayu DiRaja. Sebuah tugu telah dibina bagi memperingati peristiwa tersebut.
Maliau Basin atau Lembangan Maliau terletak di susuran Sungai Maliau dan Sungai Kinabatangan. Lembangan ini merupakan kawasan semula jadi yang masih menjadi misteri sehingga kini.
Tawau merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan. Bandar ini dihubungkan dengan Kota Kinabalu melalui jalan raya sejauh 500 km.
Keningau sebuah bandar di pendalaman Sabah, bersempadan dengan daerah Ranau dan Tambunan di sebelah Utara,Nabawan dan Tenom di sebelah Selatan, Tongod di sebelah Timur.
Semporna sebuah pekan di Daerah Semporna, dalam bahagian Tawau, manakala Lahad Datu terletak di Pantai Timur Sabah adalah bandar keempat terbesar di Sabah.
Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok terletak di Hutan Simpan Sepilok, 24 km dari Sandakan, Sabah. Pusat ini dikhususkan untuk memelihara dan mengkaji spesies orang utan yang semakin pupus di dunia ini.
Demikian secebis kenangan di Negeri Sabah, banyak kenangan manis saya di bumi Sabah ini. Orang Sabah baik-baik dan berbudi bahasa.
Nukilan:
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
31 Ogos 2025: 9.22 p.m
.jpg)
.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)

.jpg)
No comments:
Post a Comment