Monday 13 March 1995

SKTLDM KUANTAN 1991 - 1995

STESEN KOMUNIKASI TLDM KUANTAN
MARKAS WILAYAH LAUT 1
TG.GELANG, KUANTAN, PAHANG
4.12.1991 - 13.3.1995


SKTLDM Kuantan ditubuhkan pada 4 Dis 83 dan diletakkan di bawah pemerintahan Pegawai Kanan Stesen Komunikasi TLDM yang berpangkalan di Markas Armada. Pada 1 Apr 89, SKTLDM Kuantan diletakkan di bawah pemerintahan Panglima Wilayah Laut 1 (PANGWILLA 1) bersama unit-unit lain yang telah sedia ada di MAWILLA 1. Tugas dan fungsi utama yang diamanahkan adalah untuk menyediakan saluran komunikasi kepada kapal-kapal yang berada di perairan pantai timur semenanjung Malaysia dan kapal-kapal di bawah pemerintahan PANGWILLA 1 serta unit-unit di bawah naungan. Selain daripada itu, SKTLDM Kuantan ditubuhkan untuk bertindak sebagai penyalur sekunder (back-up) jaringan komunikasi TLDM sekiranya jaringan komunikasi utama TLDM di Pangkalan TLDM Lumut (SKTLDM Lumut, SKTLDM Parit dan SKTLDM Sitiawan). Ianya lebih kepada jaringan strategik komunikasi TLDM.
Pegawai Memerintah pertama SKTLDM Kuantan ialah Lt Kdr Mohd Sharif bin Kalam TLDM N/400329. 

SKTLDM Kuantan merupakan pengkalan TLDM yang paling lama saya dapat bertugas. Kalau sebelum ini paling lama saya pernah bertugas di Pengkalan hanyalah 2 tahun sahaja, lepas tu balik ke kapal semula. Sebenarnya selepas setahun lebih bertugas di SKTLDM Kuantan, saya telah mendapat arahan untuk bertukar tugas ke KD Musytari. Oleh kerana terasa bosan asyik bertugas di Kapal, saya telah berjumpa Pegawai Bahagian saya minta pertukaran saya tu dibatalkan kerana saya dah mengambil keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan dan tak berminat lagi nak bertugas di Kapal. Syukur Alhamdullillah atas budi bicara dan jasa baik Pegawai Bahagian saya itu (seorang Pegawai Wanita yang saya tak ingat namanya).. pertukaran saya ke kapal telah dibatalkan dan saya terus berkhidmat di sini sehingga tiba waktu untuk Kursus Peralihan. Terima kasih Puan... maaf saya tak ingat nama puan... cuma kalau tak silap saya ialah Lt Halimah...
Pegawai Memerintah SKTLDM Kuantan ketika saya berkhidmat di sini ialah Lt Kdr Mohamad Halim bin Maulud TLDM N/401374. 
Semasa bertugas di Pengkalan inilah saya telah mendirikan rumahtangga dengan Norziah bt Ahmad, namun saya tak bawa isteri saya bersama kerana isteri saya ketika itu bekerja di Kuala Lumpur. Jadi setiap hujung minggu saya akan berulang alik ke Kuala Lumpur... kerana sebab itu jugalah saya tak berniat untuk menyambung perkhidmatan dengan TLDM... cukuplah 16 tahun bertarung dengan gelombang dan badai...  disinilah berakhirnya perjalanan saya sebagai seorang PELAUT...