Monday, 25 August 2025

Akhirnya, Artifak Nenek Moyang Kita di Belanda Pulang ke Tanah Air

Oleh: Azizul Farhan

Lebih 100 tahun artifak purba kita disimpan di Belanda. Tulang rangka manusia dari Zaman Neolitik yang digali di Guar Kepah, Pulau Pinang sejak abad ke-19 akhirnya akan dibawa pulang ke tanah air.
Bukan satu dua, tapi 41 rangka manusia! Mungkin moyang kepada nenek moyang kita akan kembali ke tempat asal mereka lepas lebih satu abad jadi “tetamu muzium” di Eropah.
Kalau orang luar boleh hargai warisan kita sampai simpan elok-elok lebih 100 tahun, takkan kita sendiri nak terus lupa yang kita pun ada sejarah silam yang sangat tua dan berharga?
Menurut kenyataan rasmi, proses pemulangan rangka-rangka ini dijangka berlaku minggu depan atau selewatnya awal September.
Proses ini merupakan satu kerjasama antara Jabatan Warisan Negara Malaysia, kerajaan Belanda dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang kini bertanggungjawab mengendalikan pemuliharaan tulang-tulang purba itu.
Apa yang ramai tak tahu, Guar Kepah ni merupakan tapak arkeologi pertama di Malaysia yang pernah menarik perhatian pengkaji barat sejak tahun 1851 lagi.
Dari tahun tersebut hingga 1936, pelbagai kajian dijalankan di sana, termasuk penemuan tulang manusia, alat batu, manik, sisa makanan dan tembikar semuanya membuktikan wujudnya kehidupan prasejarah yang kompleks di tanah air kita sendiri, jauh lebih awal dari apa yang biasa kita belajar di sekolah.
Tetapi seperti biasa, zaman kolonial bukan hanya tentang rampasan kuasa politik dan ekonomi, ia juga tentang rampasan budaya dan warisan. Rangka-rangka nenek moyang kita itu dihantar jauh ke Leiden, disimpan di Naturalis Biodiversity Centre dan kemudian ke Collection Centre Netherlands di Amersfoort seolah-olah kita tiada hak ke atas sejarah kita sendiri.
Segalanya berubah pada tahun 2017, bila sekumpulan ahli arkeologi tempatan menjumpai satu lagi rangka manusia yang sangat istimewa iaitu rangka “Penang Woman” berusia lebih 5,000 tahun yang masih terpelihara dalam timbunan cangkerang kuno (shell midden).
Penemuan itu bukan saja menggegarkan dunia arkeologi tempatan, tetapi membakar semula minat dan kesedaran terhadap pentingnya Guar Kepah dalam memahami tamadun awal Asia Tenggara.
Kini, berkat usaha berterusan USM melalui Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) yang diketuai Prof Dr Stephen Chia Ming Soon, tulang-tulang yang lama terasing itu akan ditempatkan di Galeri Arkeologi Guar Kepah, sebuah galeri baharu yang dibangunkan khas sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan pelancongan berasaskan warisan.
Galeri ini juga lengkap dengan ruang pameran interaktif, makmal penyelidikan, kemudahan seminar dan stor pemuliharaan. Siap dengan kafe dan gerai cenderamata untuk pikat pelancong dan bantu ekonomi penduduk setempat.
Apa yang lebih membanggakan, Guar Kepah secara rasmi telah digazet sebagai tapak Warisan Kebangsaan sejak April lalu. Dengan usia dianggarkan antara 5,000 hingga 6,000 tahun, ia bukan sahaja tapak tertua di Malaysia yang menyimpan rangka manusia, malah satu-satunya tapak shell midden yang direkodkan di negara ini menjadikannya jendela penting untuk faham cara hidup manusia purba di rantau kita.
Mungkin selama ini kita sibuk bangga dengan sejarah tamadun luar seperti Mesir, Rom, Yunani sedangkan tulang-belulang nenek moyang kita sendiri disimpan di muzium asing.
Tapi sekarang, sejarah sedang berpatah balik. Kita bukan hanya dapat semula artifak fizikal, tapi juga semangat dan maruah warisan kita sendiri.
Selamat kembali ke kampung halaman, moyang Guar Kepah! Dah terlalu lama kalian dirantau orang.
Copy and paste:
25 Ogos 2025: 11.02 a.m

No comments: