Monday 29 October 2012

Koleksi telefon bimbit (2000 - 2014)

SEJARAH TELEFON BIMBIT

Sejarah telefon bermula apabila Alexander Graham Bell berjaya mencipta telefon pada tahun 1876 yang membolehkan masyarakat seluruh dunia berhubungan antara satu dengan lain walaupun berjauhan.
Teknologi Telekomunikasi mengalami perubahan mendadak dan berkembang dengan begitu pesat sekali.
Sistem Telefon tidak berwayar analog (ETACS) mula diperkenalkan di Malaysia pada 1989. Walaubagaimanapun Telekom Malaysia telah mula memperkenalkan perkhidmatan telefon bergerak ATUR 450 (Automatic Telephone Using Radio) pada Mei 1985.  Sejak teknologi telefon bimbit mengalamai evolusi yang begitu pantas dari segi teknologi dan reka bentuk. Dua sistem digital yang pertama mula beroperasi pada 1992, iaitu GSM (Global System for Mobile Communications) di Eropah dan D-AMPS (Digital Advanced Mobile Phone Service) di Amerika Utara.
Telefon bimbit pertama yang membolehkan sambungan internet dan e-mail tanpa wayar adalah Nokia Communicatior yang dikeluarkan pada 1996.

Sejarah lanjut mengenai telefon bimbit boleh dirujuk di halaman berikut:

Kali pertama saya menggunakan telefon bimbit ialah pada 22 Februari 2000. Berikut adalah senarai jenama-jenama telefon bimbit yang pernah saya gunakan sehingga kini.

NEC 90 - 22.2.2000


NEC 90 adalah merupakan model telefon bimbit pertama yang saya gunakan. Ketika itu (tahun 2000) belum ramai orang menggunakan telefon bimbit. Malah di pejabat saya ketika itu (Institution of Engineers Malaysia) saya adalah orang pertama menggunakan telefon bimbit di pejabat. 
Telefon ini hanya mempunyai 3 nada dering.. jadi tak banyak pilihan... yang menjadi masalah ialah telefon ini agak berat dan tidak boleh disimpan dalam kocek seluar atau baju. Kena bimbit sepanjang masa (sebab itu dipanggil telefon bimbit). Jadi jika berjalan ke mana-mana , telefon ini akan digenggam ditangan dan ia menjadi perhatian orang sekeliling ketika itu..maklumkan ketika itu belum ramai yang menggunakan telefon bimbit. Bila telefon berdering semasa di restoran.. ramai orang akan menoleh...(kembanglah hidung masa tu...hehe)...
Bagaimanapun telefon ini sempat saya gunakan dalam masa sebulan sahaja (maklumlah second hand) dan tak tahan lama. 
Model NEC 90 ini sehingga kini masih lagi saya simpan di rumah untuk dijadikan kenangan buat generasi akan datang... 

ERICSSON A1018S - 30.3.2000


Telefon Model Ericsson A1018s merupakan telefon bimbit kedua saya gunakan dan kali ini saya beli baru (bukan second hand). Dibeli dengan harga hanya RM450.00 ketika itu. 
Telefon 2G Network (GSM 900/1800). Telefon ini menggunakan monophonic  ringtone.  Perkhidmatan SMS mula digunakan dengan telefon ini. Antara ciri-ciri kelebihan telefon ini ialah ia mempunyai own melody composer dimana kita boleh mencipta sendiri irama ringtones kita. Namun saya tak pernah menggunakannya kerana susah juga nak cipta lagu sendiri...

NOKIA 3260

Telefom Bimbit Jenama Nokia yang pertama saya gunakan adalah Nokia 3260 yang saya beli pada 7.9.2000. Namun tak lama saya gunakan lebih kurang 2 bulan kerana ianya telah dicuri. Saya tak menemui sebarang detail atau Spesifikasi mengenai HP ini ...dah puas Google tapi tak jumpa.... cuma ada fotonya saja saya ambil dari Google.

NOKIA 5110


Nokia 5110 adalah merupakan telefon bimbit jenama Nokia seterusnya saya gunakan pada tahun 2000. Rekabentuknya yang agak menarik menyebabkan saya trade in Ericsson A1018s kerana ingin memilikinya. 

Ciri-Ciri : 2G Network (GSM 900) / Downloadable monophonic ringtones /6 Ringing tone levels / Xpress-on covers.

Nokia 5110 juga adalah telefon bimbit yang pertama yang covernya boleh diganti-ganti. Ia menjadi kegilaan anak-anak muda ketika dengan menukar ganti covernya dari yang asal..

NOKIA 3210


Satu lagi telefon bimbit Nokia yang sangat saya minati dan sangat popular sekitar tahun 2000 ialah Nokia 3210. Ia menjadi salah satu model telefon bimbit paling popular dan paling berjaya dalam sejarah. 

Model 3210 merupakan salah satu telefon bimbit terawal yang menampilkan antena dalaman. Ia berbeza dengan kebanyakan telefon bimbit pada masa tersebut yang menampilkan antena yang besar. Isyarat penerimaan masih lagi sangat bagus, walaupun tidak sebagus pendahulunya iaitu 3110.
Model 3210 merupakan model pertama yang membenarkan pengguna menggubah nada dering sendiri, satu bentuk manfaat memandangkan sebelum ini nada dering hanya boleh dihantar menggunakan SMS dan dikenakan bayaran.
Model 3210 asalnya direka dengan ciri getaran. Nokia mengambil keputusan untuk tidak meletakkan ciri tersebut pada sesetengah telefon bimbit. Beberapa bulan selepas dilancarkan bagi pasaran UK, sesetengah kedai telefon bimbit menawarkan naik taraf telefon bimbit kepada pelanggan untuk menambah ciri penggetar dengan mengenakan sedikit bayaran.

NOKIA 3310


Telefon dwijalur GSM900 / 1800 ini diperkenalkan pada tahun 2000. Saya menggunakan telefon ini sekitar tahun 2002 menggantikan Nokia 3210. Rekabentuk yang agak  simple tapi mudah dibawa. 

NOKIA 8250


Telefon bimbit Nokia 8250 ini aku guna sekitar tahun 2003. Telefon ini bersaiz agak kecil dan ringan dan mudah dibawa... boleh disimpan di kocek seluar atau baju. 
Ciri-cirinya tidak banyak berbeza dengan telefon bimbit terdahulu cuma ditambah beberapa ciri seperti games dan ringing tones. 

NOKIA 2100


Nokia 2100 adalah telefon mudahalih dual band, jenis candy bar styled model dan bersaiz agak kecil. Saya menggunakan telefon jenis ini pada 2004.  Antara ciri-ciri menarik ialah seperti T9 predictive text input,  Animation screensaver, vibration alert, jam dan tarikh, penggera, kalkulator dan currency converter.  Mempunyai skrin LCD monokrom, lebih ringtone dapat dimuat turun menggunakan telefon bimbit ini. 

PHILIP 535


Philips 535 adalah dual band candy bar shaped phone.  Ini adalah smartphone yang pertama saya gunakan. Mempunyai keupayaan GPRS dan WAP bagi membolehkan untuk melayari internet melalui telefon bimbit.  Dilengkapi juga dengan Kamera Bersepadu Digital dengan zoom 4 x dengan skrin paparan 128 x 128 piksel resolusi dan sokongan warna 65,536. Satu lagi cirinya ialah BeDJ Komposer yang memboleh kita membuat rakaman multitract sendiri, iaitu mencipta nadadering kita sendiri.
Walaupun ia adalah smartphone pertama yang saya gunakan, namun kerana ia tidak user friendly dan tidak begitu menarik bagi saya... ia juga adalah telefon bimbit yang paling sekejap saya gunakan , iaitu 7 hari sahaja. Saya terus trade in dan menggantikan nya dengan Nokia 3660. 

NOKIA 3660


Smartphone seterusnya yang saya gunakan sekitar tahun 2004 ialah jenama Nokia 3660, sejenis telefon Pintar yang menggantikan model Nokia 3650. Menggunakan Nokia Series 60 version 1.x dan juga Symbian Operating System. 
Telefon Nokia 3660 ini merupakan salah satu favourite saya kerana bentuknya yang menarik dan cantik... namun tak lama saya dapat menggunakannya kerana diserang virus melalui bluetooth yang saya save tanpa sedari... maklumkan baru mula-mula guna smartphone. 

NOKIA 3100


Nokia 3100 ini adalah telefon bimbit alternatif yang saya gunakan untuk kegunaan urusan pejabat, kerana saya tak mahu telefon bimbit utama saya diganggu dengan urusan pejabat...terutama bila saya bercuti... 

Nokia 3100 adalah telefon bimbit Triband GSM. Telefon ini dilengkapi dengan paparan 128 x 128 piksel warna pasif (4096 colors/12 bit), Java MIDP 1.0, XHTML dan pelayar WAP, GPRS. Ia juga menggunakan nadadering polifonik. 

INNOSTREAM 90


Telefon bimbit jenama Innostream 90 adalah buatan dari Korea. Telefon bimbit ini saya beli untuk isteri saya. Harganya agak mahal ketika tu , dengan harga RM1,498.00.
Ciri-cirinya sama seperti smartphone jenama lain iaitu 2G Network (GSM 900/1800/1900), mempunyai 4MB internal memory dan kamera VGA 640 x 480 pixels. Apa yang menarik ialah paparan skrinnya yang cantik dan terang (TFT 256K colors), paparan skrin telefon bimbit yang agak canggih ketika itu.

PALM TUNGSTEN E (PDA)

Masih ingatkah pada PDA atau Personal Digital Assistant. PDA digunakan agak meluas sekitar awal 2002. Ia umpama sebuah Diary Elektronik dan banyak digunakana oleh eksekutif-eksekutif ketika menghadiri mesyuarat. Saya berkesempatan menggunakan PDA jenama Palm Tungsten E3. Ia memang amat berguna bagi saya yang ketika itu banyak mengendalikan Seminar dan kursus dan menghadiri mesyuarat di luar. 
Dilengkapi dengan paparan skrin sentuh serta teknologi bluetooth yang boleh disambung ke peranti yang sesuai seperti komputer riba, telefon bimbit dan komputer serta pencetak. Dengan 32MB Memori PDA boleh digunakan menyunting Microsoft Word, Excel, Adobe PDF dan Power Point. 
Dengan kehadiran telefon pintar di pasaran , penggunaan PDA semakin berkurangan dan akhirnya mengalami nasib yang sama seperti yang pernah berlaku kepada pager yang cukup popular sebelum era telefon bimbit dahulu. 

SAMSUNG SGH E700 A


Samsung E700 ini saya beli setelah telefon Bimbit Nokia 3660 saya dijangkiti virus yang dihantar melalui bluetooth. 
Salah satu lagi telefon bimbit yang saya gunakan hanya beberapa minggu sahaja kerana paparan skrinnya yang tidak menarik dan agak kecil dengan nada deringannya yang tidak begitu kuat menyebabkan saya sering menerima "miss call". 

SONY ERICSSON Z 600


Dulu pernah menggunakan jenama Ericsson A1018A, tapi kali ini Sony Ericsson Z 600. Handphone 2G Network (GSM 900/1800/1900) dengan paparan skrin warna TFD 65K. Ciri-ciri lain adalah sama seperti telefon pintar yang lain yang saya rasa tak perlu nak dinyatakan secara detail.

MOTOROLA A768I


Sekali sekala ingin juga mencuba telefon bimbit jenama Motorola. Motorola A768i mempunyai ciri-ciri Tri Band GPRS adalah telefon pintar yang mempunyai sistem operati Linux dilengkapi dengan Bluetooth, MP3 player, 65K color TFT Touch screen dan Stylus Pen dan Multi Purpose camera serta ciri-ciri lain.
Ini adalah handphone jenis touchscreen & stylus yang pertama saya gunakan malah satu-satunya jenama Motorola yang pernah saya gunakan

NOKIA N70


Setelah menggunakan berbagai jenis jenama telefon bimbit, saya merasakan bahawa Telefon bimbit jenama Nokia paling sesuai dengan saya. Selain dari User Friendly ia juga tahan lasak berbanding jenama lain. Walaupun beberapa kali terjatuh, tapi masih boleh digunakan dan berfungsi dengan baik.Telefon Bimbit Nokia N70 adalah merupakan telefon pintar generasi 3G yang pertama saya gunakan.

N70 merupakan telefon pintar 3G multimedia dilancarkan pada 2005. Nokia N Series , Nokia N70 dikeluarkan bersama-sama dengan Nokia N90 dan N91.Dilengkapi dengan kamera 2 megapiksel dan kamera depan VGA serta lain-lain ciri terdapat dalam kebanyakan Smartphone seperti Video Conference, FM Radio, Bluetooth, Digital Music Player, Java Games serta lain-lain perisian yang terdapat dalam Series 60 edisi ke 3. Ia menggunakan Operasi Symbian 8.1a.

NOKIA 2626


Nokia 2626 ini saya beli bagi menggantikan Nokia 3100 sebagai telefon bimbit alternatif. Dengan bentuknya yang agak kecil serta mudah untuk dibawa  dalam kocek baju atau seluar. 
Antara ciri-cirinya ialah :
GSM 900 / 1800 (2G Network) , CSTN, 65K colors, GPRS Class 6 (3+1/2+2 slots), 24 - 36 kbps dan lain-lain.
Walaupun agak kecil namun ia mempunyai paparan warna skrin yang agak cantik dan boleh melayari internet. Namun ia tidak mempunyak kamera. Memang sesuai untuk digunakan sebagai alternatif. 

NOKIA 6085


Nokia 6085 ini juga saya belikan untuk isteri saya kerana ketika itu beliau memang berminat dengan telefon bimbit clamshell.
Ciri-Ciri: 2G Network - GSM 850/900/1800/1900, paparan skrin warna CSTN 256K,second external mono display serta lain-lain ciri yang terdapat pada telefon pintar. 

NOKIA E63


Nokia E63 ini saya beli untuk isteri saya pada 2010 bagi menggantikan Nokia 6085 yang sudah tidak berfungsi dengan baik. Selepas Nokia E63 ini saya beli untuk isteri saya, barulah saya pula membeli Nokia E71 kerana tertarik dengan rekabentuk dan ciri-ciri yang terdapat didalamnya. 

NOKIA E71


Nokia E71 - jenama telefon pintar yang telah saya gunakan pada 2010 sehingga Oktober 2012. 
Nokia E71 adalah telefon pintar dari Nokia E Series yang menggunakan papan kekunci QWERTY. Menggunakan Sistem Operasi Symbian OS v9.2 dengan siri 60 Edisi ke 3. 
Seperti yang diketahui, jenama Nokia merupakan jenama telefon bimbit yang boleh dikatakan tahan lasak. Contoh Nokia E71 ini... sudah banyak kali telefon ini terjatuh namun masih boleh digunakan sehingga kini... Kini Nokia E71 digunakan oleh isteri saya setelah saya menggunakan Samsung Ace. 

NOKIA X2-01 ZITRON


Satu lagi telefon bimbit yang belikan untuk isteri saya pada 2011. Telefon menggunakan QWERTY Keyboard lebih mudah untuk menaip message. 

SAMSUNG GALAXY TAB 2 10.1

Disebabkan pekerjaan saya yang sering membuat tugasan luar ke daerah-daerah di Semenanjung dan juga Sabah & Sarawak... maka saya memerlukan sebuah komputer mudah alih yang senang untuk dibawa kemana-mana. Pada mulanya merancang untuk membeli laptop, namun disebabkan saiznya yang agak besar serta berat.. maka saya mengambil keputusan untuk membeli sebuah tablet yang ternyata lebih mudah dibawa. 
Samsung Galaxy Tab 2 (10.1) Samsung Galaxy Tab 2 10.1 keluaran Samsung Malsyaia Electronics (SME) Sdn Bhd adalah merupakan tablet ternipis didunia. Baru sahaja dikeluarkan dipasaran.
Antara keistimewaannya ialah mempunyai kenipisan ultra-slim sehinga 8.6 mm. Dengan paparan skrin sentuh 10.1 inci dan resolusi WXGA 1280 x 800 memaparkan warna yang menarik untuk melayari internet dan menonton video.
Pengunaan PC maupun laptop semakin dirasakan ketinggalan bagi sesetengah orang, namun bagi saya penggunaan PC tetap diperlukan untuk membuat tugasan tugasan pejabat. Cuma tablet Samsung Galaxy ini lebih ringan dan mudah untuk dibawa serta tidak begitu berat kalau nak dibandingkan dengan laptop.
Samsung Galaxy Tab 2 10.1 ini menggunakan versi Android terbaru iaitu 3.1 Honeycomb iaitu sistem operasi yang pertama di dunia.


SAMSUNG GALAXY ACE S5830


Setelah bertahun-tahun menggunakan telefon bimbit jenama Nokia, kini terasa pula nak tukar ke jenama lain. Setelah melihat jenama Samsung kini semakin popular di Malaysia, maka saya pun bercadang untuk menukar telefon bimbit Nokia E71 ke Samsung Galaxy Ace S5830. 
Setelah biasa menggunakan Galaxy Tab 2 10.1, maka tiada masalah bagi saya untuk menggunakan Samsung Galaxy Ace S5830 kerana ia mempunyai ciri-ciri yang lebih kurang sama. 
Samsung Galaxy Ace merupakan produk Smartphone Samsung terbaru menggunakan OS Android 2.2 dilengkapi Kamera 5 mp LED Flash selain dari ciri-ciri yang biasa terdapat pada produk smartphone.
Ciri – cirinya secara rengkas:
GSM & EDGE Band 850/900/1.800/1.900
3G band 900
Android 2.2, 3G HSDPA 7.2,
Dan lain-lain





Telefon Bimbit Nokia Asha 200 dan Nokia Asha 502 ini digunakan oleh isteri saya kerana isteri saya masih berminat menggunakan jenama Nokia. Manakala Blackberry 8520 itu digunakan oleh anak sulung saya.

Setelah beberapa tahun menggunakan Jenama Samsung, akhirnya saya menukar selera pula dan bertukar kepada Jenama OPPO. Jenama OPPO pertama yang saya gunakan ialah OPPO Neo 36089 yang saya beli pada 3 Mei 2014. Nasib malang menimpa saya apabila HP ini tercicir selepas saya singgah makan disebuah restoran Mamak di Petaling Jaya. Saya hanya menyedarinya apabila saya masuk kedalam kereta dan ketika nak buat call baru terperasan HP saya tiada dalam kocek saya.... Saya berlari balik ke Kedai Mamak tersebut... namun hampa HP saya tiada di atas meja... bila tanyak pekerja restoran, mereka semua tidak tahu.... saya pasrah je lah nak buat macam mana.... 
Selepas dari itu saya kekal menggunakan jenama OPPO dan sehingga kini (2023) saya menggunakan jenama OPPO Reno 7 5G. 





Kalau dahulu semasa bermulanya era Telefon bimbit, ia adalah lambang prestij dan kemewahan.... kini telefon bimbit adalah merupakan suatu keperluan yang sangat penting masa kini. Bayangkan kalau kita pergi bekerja dan tertinggal telefon bimbit di rumah...  hati kita tidak akan senang kerana memikirkan berapa banyak Missed call dan berapa banyak SMS yang kita akan ketinggalan nanti... begitulah kuatnya pengaruh telefon bimbit kini...
Di mana - mana kita lihat orang begitu asyik dengan telefon bimbit dengan tidak menghiraukan keadaan sekeliling....  ditambah dengan teknologi telefon bimbit yang semakin lama semakin canggih. Malah besar kemungkinan di masa akan datang, produk-produk lain terutama jam tangan dan kamera mungkin tidak wujud lagi setelah semuanya kini terdapat dalam satu telefon bimbit.....

Latest Update:
20 September 2023 : 11.26 pm
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL

Saturday 27 October 2012

Apabila Islam Hanya Tinggal Nama


ALANGKAH bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda, dapat melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu masalah. Zaman Baginda itu adalah satu masa yang sangat hebat kerana dapat melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada Allah sebagai sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah.
Inilah generasi yang telah dicatat dalam lembaran sejarah kerana membantu Baginda menundukkan dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi yang mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun kehebatan individu di kalangan Sahabat Rasulullah terdapat pada diri mereka akhlak mulia mampu menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.
Mereka mencipta nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan Islam dengan menyebar-luaskan ajaran Baginda Rasulullah SAW sesuai dengan pegangan mereka kepada agama Islam yang membawa maksud kesejahteraan, keharmonian, kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk umat manusia sejagat.
Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para Sahabat?
Tidak dinafikan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad, di antara mereka ada yang diberikan nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan menggunakan nama Para Sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ubadillah, Salman, Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya. Tetapi apakah nama-nama tersebut benar-benar meresap masuk dalam sanubari kita hingga mencontohi Para Sahabat dalam mendepani segenap isu agama.
Alangkah malangnya segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak memberi makna langsung berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang disebutkan di atas tidak lagi menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah kita mencari kekurangannya.
Malah Islam hanya tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup tidak melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara berpakaian, penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu macam karenah lagi tidak menampakkan diri mereka persis individu Muslim yang beramal dengan ajaran Islam sebenar.
Inilah yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu, seolah-olah ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda sentiasa menerima wahyu daripada Allah Taala, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya kerana ia di bawah kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud, daripada Ali bin Abi Talib RA berkata: 
“Telah bersabda Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali”. (Hadis riwayat Al Baihaqi)
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Kalau belum sampai pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang Baginda sebutkan dalam hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu persatu untuk melihat sejauh mana kebenaran kenyataan baginda itu.
1. Islam hanya tinggal namanya sahaja.
2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.
3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
Islam hanya tinggal namanya sahaja
Kelak akan banyak orang yang mengaku beragama Islam namun perbuatan sehariannya tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya namanya sahaja Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan tertentu. Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat.
Solat mengikut ‘mood’, ada seminggu sekali, ada sebulan sekali, setahun sekali dan ada yang tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya pula enggan membayar zakat, yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’ namun masih lagi melepak di kedai judi dan menghabiskan masa.
Ramai yang bercakap tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai berpidato agar orang percaya dia seorang Islam yang baik dan memperjuangkan Islam, sehingga ada yang mengubah halal menjadi haram dan haram menjadi halal, bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan dengan zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan nas.
Sebenarnya orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang munafik sebagaimana Sahabat Nabi yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa itu nifak? Beliau menjawab:
“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”. (Masnad ar-Rabi’)
Al Quran hanya tinggal tulisannya
Dalam banyak hadis Rasulullah SAW, Baginda menganjurkan kita umatnya agar membudayakan pembacaan Al Quran, ia bukan sekadar penawar kepada pelbagai penyakit yang sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai penyembur kepada hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit dntakan dunia secara berlebihan.
Tujuan Al Quran diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal aqidah, iman, beribadah kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi kandungannya, diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi rujukan dalam segenap masalah yang dihadapi oleh manusia, dan yang paling utama ialah melaksanakan hukum, undang-undang dan perintah Allah yang ada di dalamnya.
Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini, Al Quran dijadikan bahan untuk musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan Al Quran di dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai walaupun sudah merdeka lebih setengah abad, orang-orang Islam yang melakukan jenayah tidak dihukum dengan undang-undang hudud atau qisas di dunia ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi bahawa Al Quran hanya tinggal tulisannya untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.
Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah
Inilah kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah SAW bahawa masjid-masjid umatnya pada akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi pengisian di dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripada pengunjungnya.
Terdapat masjid yang membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan penyelenggaraan mencecah nilai ringgit yang cukup tinggi, namun kadang-kadang apa yang menduka-citakan kelas pengajian pun tidak ada, ada yang diisi dengan kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan. Malah ada pula masjid dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai masjid yang paling cantik dan bersih.
Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada bercakap tentang Islam
Tidak dinafikan juga wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani untuk menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim seperti yang disabdakan oleh Baginda, justeru itulah yang diingatkan oleh Baginda dalam hadisnya di atas. Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat 176 surah Al ‘Araf.
 “Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.
Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Imam Ibni Khathir, Imam Tabari dan ramai mufassirin bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.
Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar [ Do'a Bal'am bin Ba'ura mustajab]. Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa A.S dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hampir sampai  dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya [berdo'a] untuk mengalahkan Nabi Musa AS.
Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.
Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa AS, doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu tempat yang bernama Teh (sekarang : semenanjung Sinai) selama 40 tahun.
Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di ladang Teh ini?”.
Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”
Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”.
Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.
“Minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”. Wallahua’lam (Kisah ini isra’iliyyat yang wajar dijadikan pengajaran kepada kita).
Kepentingan dunia kerana mahu mengejar pangkat dan populariti menguasai hidup mereka hingga ada yang berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah, menyembunyikan kebenaran kerana takut keduniaannya tersekat dan periuk nasinya terjejas hingga sanggup menggadai prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa yang makan cili maka dialah yang merasa bahang pedasnya.
Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat
Fitnah terhadap Islam sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir oleh individu Muslim yang baik di sisi Allah. Industri hiburan yang melibatkan artis-artis beragama Islam hingga ke peringkat paling seksi menjadi juadah mata pada hari ini, perkara ini berlaku adalah kerana ulama-ulama yang jahat mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut segala kemudahan yang dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada diri umat Islam bukan menjadi perkiraan hidup.
27.10.2012