Thursday 30 December 2021

Jejak Ulama Nusantara - Syeikh Syamsuddin al-Sumatra-i


SUMBER: 
Posted by Cahaya Sufi > FB Kisah Sejarah Melayu

Wali Allah Syeikh Syamsuddin al-Sumatra-i ( Meninggal dunia pada tahun 1630 )
Nama penuhnya ialah Syeikh Syamsuddin Bin Abdullah al-Sumatra-i. Beliau dilahirkan di Pasai (Acheh)
Awal pendidikannya secara terperinci tidak dapat diketahui, hanya diperkatakan bahawa beliau adalah murid kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri. Ada juga pendapat menyebut bahawa beliau pernah belajar daripada Sunan Bonang, iaitu seorang Wali Allah di tanah Jawa. Sejak kecil Syaikh Syamsuddin sudah menguasai berbagai studi ilmu baik ilmu fikih Aqidah, tauhid, tasawu, tafsir dan lainnya.terutama di bidang tasawuf Syaikh Syamsuddin telah banyak mempelajari dan menguasai kitab tasawuf lama diantaranya kitab Al-Futuhat Al-Makkiyah dan Fusush Al-Hikam karya Ibnu Arabi, Al-Insan Al-Kamil karya Syaikh Abdul Karim Al-Jili, Nafahat Al-Ilahiyyah karya Shadruddin Al-Qunawi, Risalah Al-Qusyairiyah karya İmam Al-Qusyairiy, Ihya Ulumuddin karya İmam Al-Ghazali, Qutul Al-Qulub karya İmam Abu Thalib Al-Makki san lain sebagainya.
Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i adalah seorang ulama yang menguasai bahasa Parsi dan pernah menjadi Qadi al-Malikul Adil atau Mufti Besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda (memerintah Aceh 1607-1636)
Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri berpengaruh kepada Sultan Iskandar Muda demikian juga halnya dengan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Sebarang urusan istana, Sultan Iskandar Muda sentiasa menyuruh orang memanggil Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu.
Demikian besar pengaruh Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i terlukis dalam Hikayat Aceh, “Hatta maka tatkala sampailah umur Sultan Husein Syah itu kepada 10 tahun, maka sabda Raja Iskandar Muda kepada Mahkota Dailamcai, “Panggil olehmu akan daku Syeikh Syamsuddin, dan kadi, dan Malikul Adil, dan Perdana Menteri, dan segala hulubalang!”.
Syeikh Syamsuddin Asy-Syumatrani sebagaimana gurunya Syaikh Hamzah Al-Fanshuri merupakan seorang ulama Tasawuf Falsafi dan Tauhid Wujudi penerus pemikiran Syaikhul Al-Akbar Muhiyidin Ibnu Arabi. Bila Syaikh Hamzah Al-Fanshuri dijuluki Ibnu Arabi dunia Melayu maka Syaikh Syamsuddin Asy-Syumatrani dijuluki Syaikh Abdul Karim Al-Jili nya Melayu.
Berbeza tarekat dengan gurunya, Syaikh Hamzah Al-Fanshuri pengaruh Tarekat Qadiriyah yang bercorak Persia, Iraq dan Suriah lebih dominan dalam penyampaian dakwanya. Sementara Syaikh Syamsuddin Asy-Syumatrani ber tarekat Syattariyah yang lebih bercorak nuansa India lebih kental dalam menyampaikan dakwahnya.
Dalam uraian martabat tujuh, terlihat perbedaan dengan gurunya. Bila Syaikh Hamzah Al-Fanshuri mengutamakan pengalaman Dzuq (bathin). Maka syaik Syamsuddin lebih cenderung pada cara pemikiran filsafat. Sebab, pengalaman bathin akan lebih muda difahami dengan menggunakan pendekatan filsafat. Sebagaimana Ibnu Arabi

Syaikh Syamsuddin Asy-Syumatrani di dalam kitab2 banyak membicarakan ilmu hakikat dengna cara simbolis seperti ibarat mata manusia dengan alam-alam Uluhiyah yaitu:
1. Putih mata dengan alam Nasut
2. Lingkungan hitam disekelilingnya selaput pelangi' dengan alam Malakut.
3. Selaput pelangi itu sendiri adalah alam Jabarut.
3. Mata hitam yg disebut basr (anak mata) diumpamakan alam Lahut.
Syaikh Syamsuddin Asy-Syumatrani banyak menulis berbagai Syair-syair sufi diantaranya syair martabat tujuh, ;
Hening lah laut semata-mata
Hapuslah sekalian rupa yang nyata
Pendeklah sini sekalian kata
Isyarat pun habis daripada cita
Mayoritas kitab-kitab membicarakan Maslaah ilmu hakikat dan ilmu-ilmu Asrar. Diantara karya penulisan beliau ialah :
1. Tanbihut Thullab fi Ma'rifati Mulkil Wahhab
2. Jawahirul Haqaiq
3. Risalatul Baiyin Mulahazatil Muwahhidin ‘alal Muhtadi fi Zikrillah
4. Kitabul Khirqah
5. Nurud Daqaiq
6. Mir-atul Iman
7. Mir-atul Mu’minin
8. Syarah Mir-atil Qulub
9. Mir-atul Haqiqah
10. Mir-atul Muhqqiqin
11. Risalah Jawami’il ‘Amal
12. Anwarud Daqaiq fi Kasyfi Asrarir Raqaiq
13. Da-iratul Wujud
14. Risalah Kasyfi Asraril Wujud
15. Bayanul Qulub
16. Risalah Pada Menyatakan A‘yan Tsabitah
17. Risalah Mitsalil Wujud
18. Risalah Pada Menyatakan Kelebihan Insan Daripada Sekalian Alam Yang Lain.
19. Kasyfu Sirrir Rububiyah fi Kamalil ‘Ubudiyah
20. Risalah Masa-il ‘llmil Haqiqah
21. Haqiqah as-Shufi
22. Haqqul Yaqin fi ‘Aqidatil Muhaqqiqin fi Zikri As-raris Shufiyinal Muhaqqiqin
23. Syarah Ruba’i Syeikh Hamzah al-Fansuri
24. Taukidul ‘Uqud
Beliau meninggal dunia, gugur syahid pada ketika membebaskan Melaka dari tangan Portugis tahun 1630 dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Ketek, Melaka.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amiin.
*Sumber - Syeikh Wan Mohd Shaghir.

Copy and paste:
30 Disember 2021 > 25 Jamadilawal 1443H: 1.14 pm


Saturday 25 December 2021

Fiqh Banjir - Panduan Ibadah Musim Banjir

SUMBER: HIDAYAH CENTRE FOUNDATION

Saya ada menulis beberapa dapatan dari Fiqh Banjir oleh INFAD, iFFAH dan juga USIM yang dikelola oleh Dr Irwan Bin Mohd Subri pengarah International Fatwa and Halal Centre (iFFAH).
Moga bermanfaat buat mangsa banjir yang terkesan.
1. Air banjir boleh dikira air mutlak sebab kuantiti dia banyak. Jadi ia boleh diguna untuk berwuduk. Tapi yang sunat macam berkumur dan masukkan air dalam hidung tak perlu. Kalau ada najis atau bangkai yang berdekatan air tersebut, boleh guna air yang jauh sikit dari tempat tu.
2. Air banjir juga boleh digunakan untuk beristinjak. Jika ada benda2 kesat seperti tisu, kertas dan kain, ia juga boleh digunakan. Benda yang tak boleh guna ialah najis seperti tahi kering atau benda2 yang dihormati macam makanan.
3. Kalau pusat penempatan banjir terputus bekalan air atau air tu cukup untuk minum je, boleh tayammum. Mangsa banjir yang sakit dan tak boleh guna air pun boleh tayammum. Kalau susah dapat debu tanah, boleh tepuk debu yang ada dekat dinding, cermin, meja atau tempat2 lain.
4. Solat Jumaat wajib untuk lelaki. Kalau ada masjid dan surau yang dekat dan tiada halangan, kena solat kat sana. Kalau ada halangan, pusat pemindahan banjir kena hubungi Jabatan Mufti supaya luluskan solat Jumaat dekat pusat tu.
5. Masa banjir, mangsa atau petugas banjir boleh solat jamak ketika situasi mendesak macam selamat diri dan juga harta. Kalau sempat jamak taqdim sebab dulu sebab takut ada kesukaran nak jamak takhir, maka digalakkan untuk solat jamak taqdim.
6. Aurat wajib tutup bagi lelaki & perempuan. Kalau darurat syarie, boleh bersentuhan antara bukan mahram sekadar perlu je. Penempatan mangsa banjir yang bujang perlu diasingkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
7. Yang berkeluarga boleh letak di tempat yang terpelihara aurat mereka. Boleh guna langsir, khemah atau pemisah yang lain. Mangsa atau petugas banjir kena jaga pergaulan antara bukan mahram dan tidak berada dalam situasi yang boleh menimbulkan fitnah.
8. Dalam situasi banjir, air banjir boleh digunakan untuk mandikan mayat. Yang mandikan jenazah kena yang sama jantina. Kalau pusat pemindahan takde air atau air hanya cukup untuk minum je, boleh tayammumkan mayat bagi ganti mandi jenazah. Kalau tayammum pun tak boleh, terus solat.
9. Yang kafankan jenazah pun kena yang sama jantina. Pastu kalau tak ada kain yang mencukupi atau warna putih, boleh guna sekadar yang mampu untuk tutup jenazah. Selepas itu wajib disolatkan dan dikebumikan dekat tanah perkuburan yang disediakan pihak berkuasa.
10. Tak boleh ambil harta orang lain tanpa dibenarkan pemiliknya. Kalau dalam darurat syarie, makanan atau barang yang dimakan dan diambil sekadar untuk terus hidup, mesti diganti semula atau dibayar harganya jika diketahui pemiliknya.
11. Jika pemiliknya tak diketahui lepas dicari dengan bersungguh2, kena usaha hebahkan. Kemudian dia kena sedekah harga anggaran makanan atau barang yang diambil itu. Kalau pemiliknya dijumpai lepas tu, kena ganti semula atau bayar harga mengikut budi bicara pemiliknya.
12. Barang yang kita jumpa waktu banjir ni kita boleh bahagi kepada 2 jenis. Pertamanya yang mudah rosak atau susut nilai macam makanan yang dh dimasak dll. Yang ni boleh dimakan atau dimanfaatkan. Tapi kalau pemilik tuntut dengan bukti, kena ganti semula atau bayar ikut budi bicara.
13. Yang keduanya barangan yang tak mudah rosak macam jam, barang kemas dll. Yang ni kalau dijumpai boleh ambil/simpan untuk tujuan jaga barang tu dan iklankan selama setahun sedaya upaya.
14. Lepas setahun, barangan tu boleh dimanfaatkan oleh orang yang jumpa. Tapi kalau pemilik asal tuntut samada sebelum atau selepas setahun, kena berikan semula kepada pemilik asal. Pusat penempatan banjir boleh buat inisiatif tabung atau kaunter uruskan barang luqatah (lost &found).
15. Oh ya, tentang solat tadi lupa nak tambah pasal boleh tak solat dengan pakaian yang terkena lumpur. Jawapannya boleh sebab lumpur bukan najis.
16. Satu lagi solat dalam keadaan rumah dinaiki air atau berselut wajib berdiri dulu kalau mampu. Untuk sujud boleh duduk atas kerusi kalau air atau lumpur menghalang sujud yang sempurna.
17. Last sekali, boleh tak bagi zakat kepada mangsa banjir? Harus sebab mereka dikira dalam golongan al-Gharimin iaitu orang yang terkena mudarat/bencana yang menyebabkan harta mereka musnah.
Untuk bacaan lanjut, boleh dowload aplikasi Fiqh Banjir (FIBA) di PlayStore.
Saya juga ada merujuk artikel yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia dengan kerjasama USIM dan INFAD.
Moga bermanfaat buat semua.
Usaid Subki
Jom! Bantu lebih ramai lagi yang terjejas kerana bencana alam.
25 Disember 2021 > 20 Jamadilawal 1443H: 1.55 pm

Wednesday 22 December 2021

PERISAI IMAN DI NUSANTARA

Oleh Muhamad Khairi Asyraf Basri
Kesultanan Melayu Melaka jatuh pada 1511 apabila mula ditakluk penjajah Portugis yang datang dengan semangat 3G iaitu Gold, Gospel and Glory. Penjajahan Melaka ini adalah kesinambungan daripada kejatuhan tamadun Islam di Andalusia pada 1492 di tangan Ratu Isabella yang juga respons pemerintah Eropah kepada penaklukan Uthmaniyah ke atas Konstantinopel pada 1453 sebelum itu.
Kejatuhan Melaka ini hasil serangan bertali arus Alfonso de Albuquerque yang pada ketika itu baru sahaja berjaya merampas Goa daripada tangan umat Islam di India. Alfonso de Albuquerque kemudian ingin menuju ke Hijaz bagi memusnahkan Makkah dan Madinah. Namun, Alfonso de Albuquerque menerima arahan daripada Raja Portugal untuk menjatuhkan Melaka terlebih dahulu.
Melaka yang dahulunya dikenali sebagai Venice of The East ini adalah sebuah pusat tumpuan perdagangan yang terpenting di dunia. Empayar Kesultanan Melayu Melaka adalah kerajaan yang luar biasa kekayaannya sehingga Alfonso de Albuquerqe berkata: "Jika Melaka berjaya dirampas daripada tangan umat Islam, nescaya Makkah dan Kaherah akan hancur binasa."
Setelah Melaka ditakluk oleh penjajah, pelbagai usaha untuk memurtadkan umat Islam giat dilakukan seperti yang dilaksanakan di Filipina. Buktinya, pihak penjajah menghantar St Francis Xavier bagi melaksanakan misi berkenaan. Melaka kemudian terus menerima penjajahan daripada Belanda dan British pula. Penjajah itu semua cuba menghapuskan peninggalan sejarah kegemilangan Islam di Melaka. Antaranya, istana sultan dan Masjid Agung Melaka dimusnahkan lalu dibina bangunan penjajah di tapaknya.
Pelbagai catatan penting seperti manuskrip dan kitab yang ada dalam empayar Kesultanan Melayu Melaka dilarikan ke Eropah untuk dikaji oleh orientalis. Cara hidup dan gaya pemikiran masyarakat juga cuba diubah. Ini semua untuk membunuh kekuatan bangsa Melayu daripada melakukan kebangkitan semula. Pihak penjajah berpegang kepada prinsip: "Jika hendak membunuh sebatang pokok, racunilah akarnya. Jika hendak membunuh sesuatu bangsa, racunilah sejarahnya."
Walau pelbagai usaha dilakukan, penjajah gagal memurtadkan Melaka. Ini kerana bangsa Melayu pada ketika itu sudah ditanam dengan pasak akidah yang kukuh di dalam hati mereka. Sejak awal kedatangan Islam yang dibawa oleh ulama, Melaka berpegang kepada akidah Ahli Sunah Waljamaah mengikut manhaj Imam Abu Hassan al-Asy'ari, iaitu seorang ulama tauhid zaman Salaf yang bermazhab Syafie. Bahkan, Melaka dahulunya adalah pusat keilmuan dan penyebaran Islam di Nusantara.
Kini pengajian akidah ini dikenali sebagai Tauhid Sifat 20. Dengan akidah Sifat 20 inilah bangsa Melayu dapat memelihara akidah mereka daripada dimurtadkan. Antara inti pati Sifat 20 ini adalah huraian mengenai Sifat Wujud, Wahdaniah dan Mukhalafatuhu lil hawadis. Sifat Wujud menegaskan kewujudan Allah bagi melawan fahaman atheis. Sifat Wahdaniah menegaskan keesaan Allah bagi melawan fahaman Trinity. Sifat Mukhalafatuhu lil hawadis menegaskan bahawa Allah itu tidak sama seperti makhluk.
Ulama Melayu terus mempertahankan tradisi pengajian akidah ini dengan menulis pelbagai kitab yang menghurai ilmu Sifat 20 bagi memelihara akidah masyarakat daripada dimurtadkan oleh penjajah. Antara kitab akidah terkenal yang ditulis oleh ulama Nusantara adalah kitab Durar al-Faraid karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhammad Zain al-Asyi, Durrus Tsamin karya Syeikh Daud al-Fathani, Bakuratul Amani karya Syeikh Ismail al-Fathani, Aqidatun Najin karya Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Zahratul Murid karya Syeikh Wan Ali Kutan dan Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani.
Semua kitab akidah ulama Nusantara bersambung sanadnya kepada Imam Abu Hassan al-Asy'ari Asy-Syafie. Sanad keilmuan Imam Abu Hassan al-Asy'ari pula sampai kepada Imam asy-Syafie melalui Imam Zakaria as-Saji, kepada Imam Ahmad bin Hanbal, kepada Imam asy-Syafie. Sanad keilmuan Imam asy-Syafie pula sampai kepada Rasulullah melalui dua jurai utama. Jurai pertama, daripada Imam Malik, kepada Imam Nafi', kepada Saiyidina Ibn Umar, kepada Rasulullah. Jurai kedua daripada Imam Muhammad bin Hassan asy-Syaibani, kepada Imam Abu Hanifah, kepada Imam Hammad bin Sulaiman, kepada Imam Ibrahim an-Nakhaie, kepada Saiyidina Ibn Mas'ud, kepada Rasulullah SAW.
Dengan adanya sanad keilmuan yang diwarisi daripada Rasulullah SAW terutama sekali dalam ilmu akidah melalui pengajian tauhid Sifat 20 ini, bangsa Melayu berjaya memelihara pemikiran dan keimanan mereka daripada dipesongkan oleh penjajah. Walaupun penjajah mengambil puluhan ribu manuskrip keilmuan Melayu, tradisi pengajian ilmu agama tetap berjaya dipertahankan oleh ulama.
Manuskrip-manuskrip tersebut disimpan antaranya di School of Oriental and Africa Studies (SOAS), British Museum dan British Library di Britain, Universiti Leiden di Belanda, Universiti Hamburg di Jerman dan arkib di Rusia. Manuskrip yang ada di Malaysia hanya sekitar 5,000 dan itupun belum habis dikaji semuanya. Itu belum lagi pelbagai khazanah bernilai jutaan ringgit yang karam di tengah lautan ketika diangkut oleh kapal Portugis.
Walaupun sudah merdeka daripada penjajahan fizikal, bangsa Melayu kini seharusnya tegas mempertahankan tradisi dan jati diri agar tidak dijajah secara pemikiran dan cara hidup Barat. Ini bagi memastikan masyarakat sekarang dapat melawan serangan pemikiran Barat seperti liberalisme, sekularisme, atheism dan lain-lain yang giat disebarkan. Sesungguhnya umat Islam kini perlu sedar dan segera bangkit dengan menjadikan peristiwa hitam kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 sebagai pengajaran.
Penulis Ketua Biro Dakwah Media Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA)
Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 7:15am
Copy and paste: 22 Disember 2021 > 17 Jamadilawal 1443H: 4.07 pm

Thursday 16 December 2021

SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS: TOKOH FALSAFAH MELAYU YANG TERSOHOR


Posted by : Ibnu Kamal Aliff > FB Kisah Sejarah Melayu

Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad al-Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al-Attas (Bogor, 5 September 1931) ialah seorang Cendekiawan Muslim, ahli falsafah Muslim dan Tokoh Melayu Terbilang 2011. Kini, beliau menetap di Malaysia. Beliau menguasai ilmu teologi, falsafah, metafizik, sejarah, dan kesusasteraan. Beliau juga menulis pelbagai buku dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam, khususnya tentang sufisme, kosmologi, falsafah, dan Kesusasteraan Melayu Malaysia .
Syed Muhammad Naquib al-Attas lahir di Bogor, Indonesia. Beliau telah menempuhi pendidikan awal pada usia 5 tahun di Johor, Malaysia, namun ketika saat pendudukan Jepun beliau telah pergi belajar ke Jawa untuk belajar bahasa Arab di Madrasah Al-`Urwatu’l-Wuthqa.
Setelah tamat Perang Dunia II pada tahun 1946, beliau kembali ke Johor semula untuk menyelesaikan pendidikan menengahnya. Beliau amat tertarik dan mempelajari sastera Melayu, sejarah, dan kebudayaan Barat. Ketika kuliah di Universiti Malaya, Al-Attas menulis Rangkaian Ruba`iyat, sebuah karya kesusasteraan, dan Some Aspects of Sufism as Understood and Practised among the Malays. Dari sini beliau melanjutkan pengajian ke the Institute of Islamic Studies di Universiti McGill, Montreal, Kanada. Pada tahun 1962, Al-Attas menyelesaikan pengajian pasca siswazah/sarjana di sini dengan tesis Raniri and the Wujudiyyah of 17th Century Acheh. Al-Attas kemudian melanjutkan pengajian ke School of Oriental and African Studies, University of London di bawah bimbingan Professor A. J. Arberry dari Cambridge dan Dr. Martin Lings. Tesis doktornya (1962) ialah kajian tentang dunia mistik Hamzah Fansuri.
Pada tahun 1987, Al-Attas mendirikan sebuah institusi pendidikan tinggi bernama International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) di Kuala Lumpur. Melalui institusi ini, Al-Attas bersama sejumlah pelajar kolej dan mahasiswanya melakukan kajian dan penelitian mengenai Pemikiran dan Peradaban Islam, serta memberikan respons yang kritikal terhadap Peradaban Barat.
TOKOH MELAYU TERBILANG 2011
Beliau menerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang yang disampaikan pada majlis sambutan ulang tahun ke-65 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra. Anugerah disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada 21 Jun 2012, Syed Muhammad Naquib al-Attas dilantik sebagai profesor pelawat terhormat di Pusat Kajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM). CASIS ialah sebuah pusat kecemerlangan yang baru ditubuhkan di tahap pasca siswazah di UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Beliau amat menekankan pendidikan dalam konsep Islam dan Islamisasi pengetahuan kontemporari yang membawa kepada penubuhan Universiti Islam di beberapa negara Islam. Dua buah institut berjaya diasaskannya iaitu Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di UKM dan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di UIAM, yang bermatlamat mempertingkatkan ketajaman pemikiran intelektual Muslim.
Perpustakaan Syed Naquib al-Attas di ISTAC mengandungi karya berwibawa mengatasi mana-mana koleksi lain seumpamanya di Asia Tenggara.
TULISAN AL-ATTAS
(1970) The Correct Date of the Terengganu Inscription, Kuala Lumpur Museum Department.
(1972) Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.
(1975) Comments on the Re-Examination of Al-Raniri’s Hujjat au’l Siddiq: A Refutation, Kuala Lumpur Museum Department.
(1978) Islam and Secularism ISBN 983-99628-6-8
(1980) The Concept of Education in Islam
(1988) The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the `Aqa’id of al-Nasafi
(1989) Islam and the Philosophy of Science, Kuala Lumpur: ISTAC, 2001)
(1990) The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul
(1990) On Quiddity and Essence
(1990) The Intuition of Existence
(1992) The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality
(1993) The Meaning and Experience of Happiness in Islam, Kuala Lumpur: ISTAC, 1998)
(1994) The Degrees of Existence
(1995) Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam
(2011) Historical Fact and Fiction
RUJUKAN
The Origin of the Malay Shair
"Naquib, Mazlan Dipilih Tokoh Melayu Terbilang 2011". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-01-26. Dicapai pada 2021-09-06.
UTM Lantik Naquib Al-Attas Sebagai Profesor Pelawat

Copy and paste: 16 Disember 2021 > 11 Jamadilawal 1443H: 8.40 am

Saturday 11 December 2021

Fahami erti sebenar patriotisme

Oleh:

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Setelah membaca berita terbaharu buletin parti-parti politik bukan Melayu, Malaysiakini dan Malaysianinsider mengenai patriotisme, saya fikir kita sudah tidak rasional dan profesional dalam membincangkan isu ini. Niat tersembunyi mereka semakin terserlah, termasuk menemubual bekas tentera bukan Melayu yang telah bersara, dengan provokasi tertentu, agar individu tertentu menjadi sasaran bagi mendapatkan political mileage. Apakah perancangan halus sebegini masih tidak dapat membuka mata hati kita?

Ternyata pemahaman mereka terhadap makna patriotisme tersasar jauh. Mereka begitu beriya-iya menonjolkan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai ikon dan hujah kuat patriotisme. Hujah ini bukan sahaja tidak tepat, malah menyimpang dari sejarah sama sekali. Penubuhan MPAJA bukan untuk mempertahankan tanahair tetapi disebabkan oleh dendam dan permusuhan antara China dengan Jepun.

Fakta ini sepatutnya telah jelas, tetapi sengaja dimanipulasikan. MPAJA tidak ada kaitan dengan semangat patriotisme. MPAJA adalah komunis. Begitu juga dengan memberi nama muzium Sun Yat Sen oleh kerajaan Pulau Pinang. Apa kaitan Sun Yat Sen sejarah negara dan patriotisme? Tanyalah guru sejarah, jika itu bukan bidang kita. Saya harap PKR dan Pas tidak buta dengan pakatan ini dan mampu bersuara antara hak dengan batil.

Mengambil data kuno sebelum tahun 1971 dengan menunjukkan betapa ramainya bukan Melayu menyertai pasukan tentera menampakkan betapa sindrom ultra kiasu masih membelenggu kita. Ketika itu, kita baru sahaja mengecapi nikmat hidup tanpa dijajah dan semangat patriotisme begitu berkobar-kobar. Kini sudah lebih 40 tahun berlalu, rujuklah statistik terbaharu, barulah nampak lebih rasional dan tidak sangat untuk menegakkan benang basah. Lepas itu, buatlah kajian kenapa minat mereka begitu berkurang berbanding dahulu.

Seterusnya mereka berpendapat semangat patriotisme tidak hanya boleh dinilai dengan menyertai pasukan tentera, tetapi melalui pematuhan undang-undang, bekerja keras, berusaha mengumpul kekayaan dan membangunkan negara. Tidak ketinggalan tindakan menentang ketidakadilan dan kerajaan hari ini, juga tergolong dalam erti patriostime. Pemahaman seperti ini sekali lagi jauh tersasar.

Mereka mengukur patriotisme berasaskan benda atau materialistik, walhal makna patriotisme lebih daripada itu. Patriotisme melibatkan unsur kerohanian (agama), penyerahan jiwa raga sehingga nyawa sebagai gadaian. Ungkapan Khalid Al-Walid kepada pihak musuh di dalam satu peperangan adalah satu contoh jelas patriotisme. Katanya: “Orang-orang yang bersamaku ini mencintai mati (syahid) sebagaimana kamu mencintai hidup.”

Jelas sekali ketika itu, para mujahideen ini berjuang dengan penuh semangat, keberanian dan keimanan demi meninggikan kalimah Allah, agar agama, bangsa dan negara terbela. Patriotisme boleh sampai ke tahap jihad jika matlamatnya benar. Inilah faktor utama yang menyatukan umat Melayu Islam melalui kebangkitan nasionalisme menghalau penjajah sehingga ramai yang syahid mempertahankan Tanah Melayu.

Justeru, saya kurang setuju apabila definisi patriotisme disempitkan dengan menyamakan dengan definisi wathaniyyah atau cintakan negara sahaja. Benar, istilah patriotisme datang dari barat, tetapi tidakkah kita bertanggungjawab untuk mengislamisasikannya? Cinta kepada bangsa dan negara dibenarkan jika bertujuan untuk memelihara agama. Bacalah pendapat Ibnu Khaldun sama.

Rakyat Malaysia sepatutnya mengkaji kenapa Menteri Pertahanan berkata demikian? Apakah kaitannya semangat patriotisme dengan bidang ketenteraan (pasukan keselamatan)? Menyertai pasukan keselamatan melibatkan pengorbanan jiwa raga untuk agama dan negara. Adakah kita sanggup untuk melakukannya sekiranya kita diselubungi dengan kiasi atau takut mati? Saya harap mereka yang membangkitkannya boleh faham maksud tersebut.

Kita perlu membezakan antara makna patriotisme, nasionalisme dan taat setia, kerana ia saling berkaitan. Tidak ada patriotisme selagi tidak ada taat setia. Taat setia mesti diukur dari segi menghormati dan mematuhi kepada Perlembagaan negara terlebih dahulu. Bukannya dengan berkata saya cintakan negara ini 1,000 kali atau menggunakan nama blogging seperti “Malaysian”, “I am Malaysian”, “Malaysian Heart”, atau melaungkan saya diperanakkan di sini dan membayar cukai dan sebagainya. Jika itulah hujahnya, buruh asing pun membayar cukai dalam bentuk “levi”. Setiap rakyat mesti taat setia kepada negara. Perlu nationalistik dan patriotik, barulah akan lahir patriotisme. Pada saya, tidak sukar untuk rakyat Malaysia bersatu jika mereka mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Patriot adalah orang yang mempertahankan (memperjuangkan) kebebasan atau hak tanah air atau pembela negara, sehingga sanggup menggadaikan nyawa. Kesemua ini istilah jika diadunkan tidak bertentangan dengan Islam jika agama tidak di kesampingkan.

Persoalannya, di manakah patriotisme jika tidak ada taat setia dan rasa hormat kepada Perlembagaan negara termasuk peruntukan-peruntukan sensitif seperti Perkara 3(1) kedudukan agama Islam, Perkara 152, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153, Kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan Raja-raja Melayu. Sebenarnya sudah terhakis taat setia, nasionalisme dan patriotisme apabila kita mempertikaikan kedaulatan perlembagaan tersebut. Mempertahankan perlembagaan bermakna mempertahankan kedaulatan negara.

Berpegang teguh kepada apa yang telah dipersetujui oleh pemimpin sebelum merdeka (kontrak sosial) dan dirakamkan di perlembagaan adalah nasionalisme. Nasionalisme atau “perasaan mencinta negara sendiri” perlu berpusat kepada perkataan “negara sendiri”. Bermakna, tidak ada lagi perasaan bangga kepada negara asal. Tidak lagi mengagung-agungkan meningkatnya kuasa ekonomi China dan India, tetapi bolehlah digunakan sebagai contoh untuk berhujah dari segi akademik. Inilah bibit-bibit ke arah patriotisme. Termasuk juga melebihkan eksport lebih dari import supaya imbangan perdagangan (balance of trade) menjadi baik bagi negara kita. Atau mengelakkan mengimport barangan atau perkhidmatan yang tidak berkualiti, sehinggalah mutu dan teknologi barangan di negara-negara tersebut diakui baik di peringkat antara bangsa.

Patriotisme memerlukan perasaan cinta yang amat mendalam terhadap tanah air dan mempertahankannya adalah satu kemestian (agama). Ini termasuk kesanggupan mengangkat senjata dan memerangi musuh apabila diisytiharkan, terutama ketika berlaku peperangan, termasuk juga yang tidak diisytiharkan atau “undeclared war”. Misalnya, Konfrantasi Malaysia-Indonesia ketika cadangan penubuhan Malaysia 1963.

Apakah ukuran patriotisme jika jumlah yang sanggup berkhidmat dalam pasukan keselamatan hanya sekelumit? Lebih menyedihkan lagi ada yang tidak mahu mengaku sebagai rakyat Malaysia apabila berada di luar negara. Mereka lebih selesa menggunakan nama bangsa sahaja, kerana dengan sebutan bangsa itu sudah boleh membawa dua makna iaitu bangsa itu sendiri dan negara asal.

Sama juga respon yang diberikan apabila Kempen Sekolah Satu Sistem mencadangkan suatu Bangsa Malaysia yang kukuh dan bersepadu berasaskan satu bahasa serta satu sekolah untuk semua. Belum apa-apa lagi pertubuhan-pertubuhan perkauman ini membantah sekeras-kerasnya dan mengeluarkan kata-kata mengarut seperti “a nation within a nation”, “multi-nation state” dan sebagainya.

Justeru, sudah sampai masanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelajaran, memberi penerangan sepenuhnya kepada rakyat. Jelaskan makna taat setia, nasionalisme dan patriotisme yang sebenar. Sekurang-kurangnya, konsep-konsep asas ini perlu diserapkan dalam mata pelajaran sejarah apabila ianya mula diperkenalkan sebagai subjek di sekolah-sekolah mulai tahun 2013.

Mengikut statistik tahun 2005 pula, mereka yang ditempatkan dalam perkhidmatan awam berasaskan kaum adalah, Melayu 77.4 peratus, Cina 9.37 peratus dan India 5.14 peratus. Berbanding tahun 1971, angka kaum Cina dalam perkhidmatan awam adalah sebanyak 20.2 peratus. Dalam tempoh 35 tahun, angka ini menurun 10 peratus. Kini, kaum Cina dalam perkhidmatan polis berada pada aras di bawah 3 peratus. Salah siapa? Fikirkan secara rasional daripada menyalahkan orang lain.

Lagi pula, berdasarkan kajian oleh MCA tahun 2007, menunjukkan bahawa orang Cina memang tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor awam sebagai kakitangan bawahan. Kalau adapun yang berminat, mereka hanya akan memilih sektor yang banyak memberikan pulangan besar yang berpangkat tinggi. Misalnya dalam perkhidmatan polis, daripada 250 belia-belia yang dikaji, lebih 80 peratus mahukan jawatan inspektor berbanding jawatan konstabel. Kajian ini menunjukkan bahawa orang Cina tidak mahu berada pada kedudukan pangkat rendah. Mereka mahukan kedudukan yang lebih tinggi. Lagipun profesion mempunyai kaitan rapat dengan sikap kiasi atau takut mati

Berbeza dengan orang Islam, kita percaya dalam patriotisme itu terungkap konsep jihad, tanpa mengambil kira soal pangkat dan darjat. Jihad yang paling besar adalah mempertahankan agama, diikuti bangsa dan negara. Inilah faktor yang kuat menyatukan umat Islam terdahulu sehingga sanggup berkorban nyawa. Malangnya hari ini, kita asyik bergaduh dan bertelagah. Kita sanggup mengkafirkan konsep patriotisme dan nasionalisme, mengatakan ia adalah perancangan barat untuk memporak-peranda umat Islam sehingga kita tidak dapat bersatu. Sedangkan ia hanyalah satu istilah yang didefinisikan oleh barat secara sekular tanpa mengaitkannya dengan agama. Justeru, menjadi kewajipan kepada kita untuk mengIslamkannya, bukan mengkafirkannya hanya kerana ia datang daripada barat? Inilah sebenarnya punca kepada perpecahan umat Islam.

Copy and paste:
11 Disember 2021 > 6 Jamadilawal 1443H: 3.01 pm

MENGAPA ORANG MELAYU MISKIN DAN ORANG CINA LEBIH KAYA!

SUMBER: FB KISAH SEJARAH MELAYU

ADAKAH ORANG CINA LEBIH RAJIN DARI ORANG MELAYU DAN ADAKAH ORANG MELAYU MISKIN DISEBABKAN SIFAT MALAS ITU SENDIRI..
Penulis : Puan Zaharah Sulaiman
Judul Buku : Sejarah Tamadun Alam Melayu
Jawatan : Penyelidik dan Penulis Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia
Lokasi : INSTAC Kuala Lumpur
Kita terlewat 10 tahun kebelakang daripada kemerdekaan berbanding dengan negara Indonesia disebabkan pemimpin Melayu terpaksa berunding banyak kali dengan British (lebih 100 kali) demi kepentingan bangsa Melayu, malangnya pemimpin kita tetap gagal akhirnya. Kegagalan ini menyebabkan terbentuk apa yang dinamakan "kontrak sosial" yang mengandungi rangka perlembagaan hasil campurtangan empat orang asing tanpa hadirnya orang Melayu pun didalamnya.
Umumnya, bangsa Melayu waktu itu sebenarnya tidak ridha dengan kemerdekaan itu kerana kandungan "kontrak sosial" itu berat sebelah yang akan merugikan orang Melayu.
Dari awal lagi British berpihak pada bangsa Cina sehingga membawa sejuta orang Cina pada waktu itu, dengan setiap daripada mereka diberi pemilikan tanah hasil "kontrak sosial" dengan kaum pribumi Tanah Melayu. Tanah yang mereka perolehi adalah tanah yg bernilai seumpama emas, dan juga tanah lombong. Malangnya di kala itu, bangsa melayu hanya memiliki tanah-tanah di kampung yang bernilai amat rendah.
British telah membela kaum Cina sehingga mereka menjadi kaya-raya melalui pembiayaan Bank. Modal kaum Cina yang besar itu dibantu oleh Bank OCBC dan Hong Kong Bank. Bangsa Cina tidak berjaya melalui kerajinan pun, tetapi kerana besarnya modal mereka tersebut, dan mereka terus menguasai kekayaan itu sehingga kini.
Pada hakikatnya, pada awal lagi bangsa Melayu adalah bangsa sangat rajin menoreh getah waktu awal pagi turut bersawah, waktu petang menganyam. Malangnya, modal mereka terlalu sikit dan pekerjaan mereka di kampung itu tidak membawa kekayaan seperti orang Cina.
Orang melayu bijak sebenarnya namun tersekat dari kemajuan kerana tiada bantuan modal.
Sekarang di Malaysia 60 peratus dari keseluruhan tanah adalah kepunyaan orang asing. Tanah rizab melayu di Pulau Pinang telah pupus. Manakala, di Kuala Lumpur tinggal hanya 1 peratus. Sebelum ini, penulis pernah menulis surat berkenaan perkara ini kepada Kerajaan namunnya hasilnya mengecewakan.
Tun Abdul Razak sedar tentang perkara ini atas nasihat Tun Sufian tentang kebanjiran bangsa Cina yang sangat ramai ke Malaysia ketika itu. Bagi mengimbanginya, Tunku Abdul Rahman Putra membawa orang-orang rumpun Melayu yang antaranya dari Filipina, Jawa, Sumatera dan seumpamanya berhijrah ke Malaysia.
Hasil penyelidikan penulis bangsa Melayu adalah bangsa kedua tertua selepas banvsa Arab iaitu Bani Jawi daripada keturunan Keturah. Anak Nabi Nuh (as) yang bernama Sam pergi ke Timur. Bangsa Melayu ramai dan hasil penyelidikannya adalah 99 peratus DNA bangsa melayu boleh dikesan pada orang asli New Zealand, Hawaii, Djibouti, Burma, Cambodia, Siam dan sebagainya.
Orang Utara (Cina) turun ke bawah dan pada tahun 1972 seramai 2 juta orang Melayu di Cambodia dibunuh dalam satu tragedi penghapusan etnik. Sekarang Melayu Kemboja cuma tinggal 100 ribu orang sahaja. Vietnam itu satu asimilasi dengan bangsa Cina, yang berasal dari bangsa Melayu juga. Kalau lihat pada paras rupa mereka lebih mirip bangsa Cina. Orang Kedah pula ramai yang mati dibunuh Tai (orang Utara), ramai yang berasal daripada Patani dibunuh dgn kejam. Orang Kedah terkemudian ramai yang datang daripada Selangor, Perak dan lain-lain negeri.
Orang Melayu sangat tinggi ketamadunannya. Semasa Portugis mendarat, mereka terkejut melihay Istana Raja Melayu 3 tingkat dan beranda yg luas namun tidak pasti diperbuat daripada apa. Melaka juga mempunyai kubu tembok batu.
Orang Melayu turut terkenal dengan kepandaian dalam bidang maritim. Mereka suka mengembara dengan kapal laut. Kapal laut orang Melayu sangat besar mengalahkan saiz kapal Portugis beberapa kali ganda.
Dicatatkan China pernah mengimport 200 buah kapal daripada Melaka.
Sebenarnya Laut Cina Selatan itu nama asalnya ialah Pentas Sunda yang menandakan besarnya Kerajaan Melayu yang menguasai lautan ketika itu, malangnya sejarah itu dilenyapkan oleh penjajah British dengan menukar namanya menjadi Laut Cina Selatan.
Di kala itu Melaka ada istana, Masjid yang elok, sebuah Masjid yang berwarna putih.British menghapuskan tapak-tapak sejarah ini dengan menggunakan jumlah wang yg besar.
Peninggalan sejarah ini banyak dilenyapkan kerana mahu menjaga keharmonian tapi para penyelidik bersetuju mengungkitnya semula selepas kes Kulasegaran mempertikaikan bangsa Melayu bukan penduduk asal.
Para penyelidik mahukan orang Melayu kenal sejarah yang disembunyikan dan memperbaiki bangsa Melayu agar kembali bangkit untuk bersatu agar kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin orang Melayu yang dahulu tidak berulang lagi.
Lenyapnya Pulau Batu Putih ke tangan mereka amat mengaibkan kerana sudah ada perjanjian terdahulu yang dipersetujui bersama, kini kita kehilangan sebuah pulau yang brnilai dari segi lokasinya.
Keadaan yang membarah dalam kontrak sosial ditambah lagi apabila British hanya memajukan kawasan penempatan Cina sahaja iaitu di kawasan bandar dengan menggunakan dana 100 juta Pound Sterling yang bersamaan dengan 1 Billion sekarang. Waktu itu bermulalah Sekolah Cina, Sekolah Inggeris, jalanraya, lampu dan sebagainya.
Melayu masih dikekalkan berada di kampung sedangkan kemajuan dilaksanakan hanya di bandar dengan rancaknya.
Di waktu kemerdekaan Pulau Pinang masih belum sepenuhnya merdeka kerana British memajak tanah selama 4 tahun dan berjanji untuk membayarnya, malangnya mereka mengkhianat lagi pada orang Melayu.
British mengkhianat pada janji mereka kerana tanah-tanah Pulau Pinang yang bernilai tinggi itu tidak diserahkan kpd Kerajaan Kedah tetapi diserahkan kepada orang-orang Cina.
Keadaan orang Melayu bertambah buruk apabila orang-orang Cina diberikan tanah itu, mereka mencagarnya di Bank OCBC dan Hong Kong Bank.
Maka, orang-orang Cina menjadi jutawan dalam sekelip mata tanpa menumpah keringat, melalui duit Bank itu mereka membeli, membeli dan terus membeli, maka "money makes money".
Konspirasi British dan orang-orang Cina ini menjadikan bangsa Cina menguasai ekonomi negara kita sepenuhnya.
Akibatnya, orang Melayu terus-menerus dipinggirkan dalam ekonomi negara kita hinggalah ke saat ini.

Copy and paste from FB
11/12/2021 > 6 Jamadilawal 1443H: 6.52 am

PENGARUH ARAK PADA BANI MELAYU ZAMAN BERZAMAN

Zainuddin Omar
Semasa saya di zaman persekolahan iklan begini sesuatu yang lazim di surat khabar Utusan Malaysia dan majalah tempatan.
Kenapa diiklan dalam Utusan Malaysia?
Ianya dituju pada Bani Melayu yang sudah ramai minum arak pada zaman tersebut.
Budaya barat cuba diterap ke dalam kehidupan orang melayu sehinggakan ‘togok’ arak seperti perkara lazim dan menjadi perlakuan harian para hartawan dan bangsawan.
Pernah menuntun cerita P Ramlee, Anak ku Sazali dan Nasib Do Re Mi?
Karakter Sazali dan Pak Maon disabitkan dengan arak.
Karakter pemabuk dan ‘having a good time’ minum arak dijadikan jalan cerita.
Maknanya masyarakat melayu seperti sudah menerima budaya minum arak pada zaman tersebut.
Saya masih ingat, kebanyakan rumah orang kaya ada ‘bar’ minuman keras kerana meniru (imitate) suasana rumah di barat seperti dalam movie dan TV.
Angkatan Tentera Malaysia pula terikut budaya British Army dengan sistem ‘mess’ dimana semua majlis dihidangkan arak.
Anggota tentera pula dapat diskaun besar bila arak dibeli di kedai NAAFI (sebelum PERNAMA).
Di ITM pada tahun 70’an, ramai pemuda melayu mengambil jurusan Hotel & Catering dan F&B yang mana sebahagian kurikulum ialah belajar ‘bartending’ iaitu mencampur arak untuk menjadikan cocktail.
Bani Melayu diajar untuk menjadi seorang bartender dan pandai membuat cocktail Bloody Mary (vodka+jus tomato+spices), Mojito (rum+jus lime), Pina Colada (rum+jus nenas) dll.
Pernah dengar cocktail feveret James Bond - Vodka Martini, shaken not stirred?
Apabila berada di UK, ianya kejutan budaya pada saya kerana minuman arak menjadi cara hidup orang British. Mereka akan minum arak untuk semua occasion.
Arak ni menjadi satu kelaziman di negara barat dan sebagai sebahagian daripada gaya hidup, tradisi dan budaya di Eropah.
Saya diajar pula oleh senior bagaimana menolak pelawaan minum dengan baik tanpa mereka berasa hati (ada diceritakan dalam buku saya).
Minum wain pula mesti disajikan bersama makanan lain ketika lunch atau dinner.
Apabila mula revolusi Iran tahun 1979 dan kemunculan Arqam, baru ramai Bani Melayu kenal agama.
Walaupun revolusi Iran yang diketuai oleh Khomeini tidak mendapat sokongan kaum sunni ianya telah meniup semangat bani melayu untuk mendekatkan diri pada agama.
Pergerakan Al Arqam yang dibawa oleh Ustaz Ashaari Muhammad juga telah membuatkan masyarakat faham tentang Islam dengan menyebarkan kegiatan dakwah islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian.
Walaupun begitu, minum arak masih menjadi kelaziman di negara Islam Central Asia dan Turkey sehingga ke hari ini.
Pada mereka minum arak seperti menegok air mineral water kerana legasi dari sistem kominis USSR yang merosakkan tiga generasi orang Islam.
Perasan tak selepas mengakhiri penerbangan hot air balloon di Capadocia Turkey, mereka akan sajikan champagne untuk meraikan pendaratan selamat?
Bukannya dengan bacaan doa syukur tetapi dihidang dengan minuman arak.
Seorang rakan berbangsa turki berkata kepada saya bahawa ibu bapa beliau minum arak di rumah adalah perkara biasa.
Mereka hanya berhenti minum arak selepas pulang dari mengerjakan ibadah Haji.
Seorang rakan melayu pula merungut kepada saya berkenaan ibu bapa beliau yang masih minum arak dan tidak bersolat di rumah.
Ibu bapa beliau adalah bekas Kirkby trained teachers yang masih terikut dengan budaya british. Mereka tinggal di rumah emak angkat semasa di Kirkby UK, ‘embrace’ budaya sana dan membawanya pulang ke tanah air.
Budaya menyembur dan memancutkan champagne jenama MOET & Chandon jenis bergas masih lagi diamalkan oleh Kimi Raikkonnen dan Valentino Rossi pemenang perlumbaan F1 atau MotoGP atas podium semasa di litar Sepang Malaysia dengan disorak oleh ramai peminat melayu.
Alhamdulillah sekarang ini tradisi menyembur champagne telah ditukar kepada Waard, non alcoholic drink yang diperbuat dari rosewater dan pomegranates di podium F1 Bahrain dan Baku Azerbaijan untuk menghormati tradisi lokal.
Begitulah budaya arak yang masih berleluasa di zaman kita ini dan sebagai muslim kita masih terpalit dengan tempiasan dosa-dosanya.
أستغفر الله‎
Wallahua’lam.
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar
FB: Zainuddin Omar
Copy and paste from FB
11/12/2021 > 6 Jamadilawal 1443H: 6.45 am