Sunday, 31 August 2025

RUSUHAN DI MALAYSIA

Oleh Nizam Ali
KISAH & SEJARAH

Sepanjang 62 tahun Persekutuan Malaysia wujud di muka bumi ini, terdapat lebih kurang 14 demonstrasi dan rusuhan berdarah yang telah berlaku.
1. Rusuhan Maulidur Rasul Singapura: 21 Julai 1964.
Merupakan rusuhan pertama selepas Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Berlaku ketegangan politik antara kaum Melayu Singapura yang dipimpin oleh UMNO Singapura dan kaum Cina Singapura yang menyokong PAP. Hal ini rentetan daripada pertembungan ideologi antara Tunku Abdul Rahman yang mahu mengekalkan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera dalam Perlembagaan dengan konsep Malaysian Malaysia yang diutarakan oleh Lee Kuan Yew.
Pada hari kejadian, umat Islam Singapura yang majoritinya dari kaum Melayu telah mengadakan perarakan Maulidur Rasul di Jalan Kallang. Perarakan aman kemudiannya bertukar menjadi rusuhan dan pergaduhan berdarah apabila berlakunya ejek-mengejek dan provokasi antara peserta perarakan dengan para pemuda Cina pro-PAP yang menonton perarakan di pinggir jalan. Pasukan polis FRU telah dihantar bagi mengawal keadaan.
Malangnya situasi semakin buruk sehingga pergaduhan antara kaum merebak ke seluruh Singapura. Darurat terpaksa diisytiharkan. Seramai 23 orang terbunuh dan 460 orang telah tercedera. Ratusan buah kedai, kediaman dan kenderaan telah dirosakkan, dirompak serta dibakar.
Ejen Indonesia dan anasir Komunis dipertanggungjawabkan sebagai pihak yang menyemarakkan konflik.
2. Hartal Pulau Pinang: 24 Nov–13 Dis 1967.
Berpunca daripada kejatuhan teruk nilai mata wang apabila kerajaan memperkenalkan matawang Ringgit Malaysia bagi menggantikan Dollar Malaya yang diikat setara dengan Pound Sterling. Rakyat terutamanya peniaga Cina di Pulau Pinang marah kerana barangan yang diimport naik harga secara mendadak dan simpanan mereka dalam bentuk Dollar Malaya yang ditukar kepada Ringgit Malaysia menjadi susut nilai.
Parti-parti politik kiri seperti Barisan Sosialis yang disusupi anasir Komunis dan kesatuan sekerja mengambil kesempatan untuk menganjurkan hartal sebagai satu bentuk mogok dan protes terhadap kerajaan. Kedai-kedai milik peniaga Cina dan India Muslim ditutup dan pengangkutan awam dihentikan.
Tetapi keadaan jadi huru-hara apabila sekumpulan pemuda Cina telah menyerang dan memukul seorang peniaga Melayu yang membuka kedainya pada hari berkenaan. Protes bertukar ganas apabila orang Melayu mula bertindak balas dengan menyerang kedai-kedai Cina dan India Muslim. Perintah berkurung terpaksa diisytiharkan di seluruh kawasan pulau. 29 orang terbunuh dan lebih 100 orang telah cedera.
3. Tragedi 13 Mei: 13 Mei 1969.
Suasana selepas PRU 1969 menjadi sangat tegang apabila parti pembangkang terutama DAP dan Gerakan telah memainkan isu perkauman semasa berkempen sehingga berjaya menguasai 40 kerusi Parlimen dan menghilangkan majoriti 2/3 Parti Perikatan.
DAP dan Gerakan telah mengadakan perarakan kemenangan besar-besaran di Kuala Lumpur sambil menghina UMNO, Perikatan dan kaum Melayu yang mencetus provokasi antara kaum. Penyokong UMNO bertindak balas dengan perhimpunan di Kampung Baru dan kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris di Jalan Raja Muda Aziz.
Sentimen perkauman Melayu–Cina memuncak. Akhirnya rusuhan berdarah telah meletus di Kuala Lumpur apabila kedua-dua kumpulan telah bertembung dengan membawa senjata tajam. Angka rasmi mencatatkan 196 orang terkorban dan lebih 2000 orang cedera. Ribuan rumah, kedai dan kenderaan telah musnah terbakar. Darurat diisytiharkan dan Parlimen digantung.
4. Darurat Kelantan: 8 November 1977
PAS yang ketika itu bergabung dalam Barisan Nasional pimpinan UMNO telah dikeluarkan daripada gabungan tersebut oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn.
Hal ini rentetan daripada Menteri Besar Kelantan, Dato Mohamed Nasir dari PAS dijatuhkan sendiri oleh para ADUN PAS yang melihat beliau sebagai "budak suruhan UMNO". Penyokong Dato Mohamed Nasir kemudiannya telah turun ke jalan menentang keputusan tersebut sehingga berlaku rusuhan dan keganasan di Kota Bharu yang mengakibatkan 4 orang maut dan puluhan lagi tercedera.
Kerajaan Pusat kemudiannya mengisytiharkan darurat politik di Kelantan berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Hanya DAP satu-satunya pihak yang membela PAS dan menentang pengisytiharan darurat politik tersebut di Parlimen.
5. Demonstrasi Baling: 19 Disember 1974.
Berlaku kejatuhan harga getah dunia sehingga petani di Baling hidup melarat, ada yang terpaksa makan ubi kayu untuk bertahan. Tersebar khabar angin yang mengatakan terdapat kematian akibat kebuluran di Baling.
Mahasiswa dari UM dan UKM telah turun bersama penyokong parti pembangkang untuk menganjurkan demonstrasi aman bagi membela nasib para petani. Namun kerajaan anggap perhimpunan itu sebagai ancaman politik kerana ada pengaruh gerakan golongan kiri. Pihak polis kemudiannya bertindak mematahkan protes dan ramai mahasiswa ditahan bawah ISA termasuklah Anwar Ibrahim.
6. Demonstrasi Tasek Utara: 9 September 1974.
Penduduk setinggan secara haram di tanah milik kerajaan di Tasek Utara, Johor Bahru telah diarah keluar kerana kawasan mereka bakal dibangunkan. Ratusan orang hilang tempat tinggal. Golongan mahasiswa dari UM khususnya dari PMUM (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya), PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia), dan UMCA (Persatuan Tionghua UM) telah datang menyokong perjuangan rakyat miskin bandar.
Polis bertindak keras bagi menyuraikan protes ini dan ramai aktivis ditahan. Ia memperlihatkan wajah sebenar masalah perumahan rakyat di bandar besar pada era 1970-an. Terdapat juga unsur penyusupan anasir Komunis dalam kalangan aktivis.
7. Peristiwa Memali: 19 November 1985
Berpunca daripada cubaan pihak polis untuk menahan seorang tokoh agama PAS, Ustaz Ibrahim Libya, di bawah ISA kerana dituduh menyebarkan ajaran yang menentang kerajaan rentetan daripada Amanat Haji Hadi yang disampaikan pada 7 April 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.
Penduduk kampung yang menyokong beliau enggan membenarkan tangkapan dibuat. Suasana bertukar tragedi berdarah apabila berlaku tembak-menembak antara polis dengan penyokong Ibrahim yang bersenjatakan senapang patah, parang dan lastik. 14 orang kampung bersama Ibrahim Libya terbunuh, manakala pihak polis pula kehilangan 4 orang anggota. Peristiwa ini meninggalkan luka politik mendalam khususnya antara UMNO dan PAS.
8. Rusuhan Sabah (“Silent Riot”): 21 Mac 1986.
Berpunca apabila Parti BERJAYA yang menjadi kerajaan negeri sebelumnya telah tumbang kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Pairin Kitingan.
Penyokong Parti BERJAYA yang kalah berasa tidak puas hati lalu melakukan kekacauan. Akhirnya berlaku rusuhan termasuk beberapa rangkaian letupan bom buatan sendiri dan sabotaj di Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu serta Tawau.
Akhirnya Kerajaan Pusat telah mengisytiharkan darurat dan UMNO telah dibawa masuk ke Sabah bagi menstabilkan politik dalam negeri.
9. Operasi Lalang: 27 Oktober 1987.
Ketegangan antara kaum meningkat apabila isu pendidikan Cina meletus. Dong Jiao Zong dan parti-parti Cina seperti MCA, DAP dan Gerakan menentang keras pelantikan guru besar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). UMNO pula menganggap tindakan itu mencabar kedudukan kaum Melayu di dalam Perlembagaan.
Pertembungan ini menimbulkan kekhuatiran akan berlakunya rusuhan kaum sekali lagi seperti Peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan telah bertindak pantas dengan melancarkan Operasi Lalang. Seramai 106 orang ditahan bawah ISA termasuk pemimpin DAP, MCA, UMNO, PAS, dan beberapa aktivis NGO. Beberapa akhbar utama seperti The Star, Watan dan The Sunday Mail juga digantung permit.
10. Rusuhan Kampung Medan: 13 Mac 2001.
Puncanya bermula dengan pertelingkahan kecil antara penduduk Melayu dan India di sebuah majlis kenduri kahwin Melayu dan upacara perkabungan seorang India. Ketegangan merebak menjadi rusuhan kaum di kawasan setinggan Petaling Jaya Selatan yang meliputi Kampung Medan, Kampung Ghandi dan Kampung Lindungan.
Pergaduhan ini kemudiannya menjadi rusuhan antara kaum Melayu-India apabila berlakunya kehadiran orang Melayu dari luar dan campur tangan kumpulan kongsi gelap India. Kejadian ini berlarutan beberapa hari yang mengakibatkan 6 orang maut dan ratusan lagi telah cedera.
11. Rusuhan Batu Buruk di Terengganu: 8 September 2007.
Satu himpunan besar-besaran anjuran NGO BERSIH untuk menuntut pilihan raya yang adil telah diadakan di Kuala Terengganu. Himpunan ini disertai oleh Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP serta beberapa NGO pro pembangkang. Polis bertindak menghalang yang menyebabkan berlaku kekecohan.
Dua orang awam terkena tembakan peluru hidup, ramai cedera akibat gas pemedih mata dan rempuhan FRU. Insiden ini jadi salah satu titik penting kebangkitan gerakan reformasi menjelang PRU 2008.
12. Bersih 3.0: 28 April 2012.
Gelombang tuntutan reformasi pilihan raya yang adil dan bersih semakin kuat selepas Bersih 1.0 (2007) dan 2.0 (2011). Perhimpunan kali ini berjaya himpunkan ratusan ribu orang di Kuala Lumpur. Parti pembangkang daripada Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan PAS telah menjadi nadi utama dalam menghimpunkan para peserta demonstrasi.
Walaupun himpunan ini pada awalnya berjalan aman, keadaan kemudiannya menjadi tegang apabila sekatan polis di Dataran Merdeka telah dirempuh oleh peserta himpunan yang beremosi. Gas pemedih mata dan meriam air terpaksa digunakan oleh FRU. Pelbagai insiden keganasan berlaku seperti kereta polis peronda telah dirosakan dan beberapa orang polis turut dipukul. 60 orang peserta dan 20 orang anggota polis dilaporkan telah tercedera dan 12 buah kenderaan termasuk milik polis telah dirosakan.
13. Rusuhan Low Yat: 12 Julai 2015.
Puncanya bermula dengan kes kecurian telefon pintar oleh seorang Melayu di Plaza Low Yat, KL. Kes kecil itu disensasikan di media sosial sebagai isu perkauman antara Melayu dan Cina. Parti politik turut mengambil kesempatan dengan menunggang isu ini yang mengakibatkan keadaan semakin panas dan tidak terkawal.
Ramai pemuda Melayu dan Cina telah turun ke plaza itu sehingga berlaku pergaduhan tanpa isu yang jelas. Kesannya, 7 orang dilaporkan telah tercedera dan beberapa premis di situ telah mengalami kerosakan.
14. Rusuhan Kuil Seafield (Sri Maha Mariamman, USJ 25): 26–27 November 2018.
Telah berlaku pertikaian status tanah yang melibatkan pemindahan sebuah kuil Hindu haram di USJ 25. Isu tersebut menjadi panas kerana campur tangan pihak luar apabila pihak pemaju telah mengupah sekumpulan samseng Melayu untuk mengusir penjaga kuil dan meruntuhkannya. Penganut Hindu di sekitar kawasan tersebut telah bertindak balas dengan menyerang gerombolan samseng tersebut
Rusuhan berlaku selama dua malam yang mengakibatkan banyak kecederaan berlaku, beberapa kenderaan dirosakan dan kuil itu terbakar.
Tragedi jadi lebih besar apabila seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, cedera parah akibat ditarik daripada trak bomba oleh perusuh lalu dipukul ketika pihak bomba cuba mengawal kebakaran. Akhirnya, beliau telah meninggal dunia semasa berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara.
Kesimpulannya, rata-ratanya demonstratsi dan rusuhan berdarah tersebut melibatkan:
1. Unsur politik
2. Isu perkauman
3. Pergeseran antara kelas sosial
4. Kesenjangan ekonomi antara kelas
Rekod 14 kali rusuhan berdarah yang berlaku di sepanjang 62 tahun negara ini berdiri merupakan satu rekod yang agak baik. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Malaysia masih matang dalam bertindak dan kerajaan Malaysia cekap dalam mengawal konflik daripada terus melarat.
Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan melindungi negara kita daripada apa yang dialami Indonesia sekarang.

Copy and paste:
31 Ogos 2025: 12.01 p.m

No comments: