Thursday, 28 August 2025

Orang Melayu Dah Ada Sistem Undang-undang Sejak Ratusan Tahun Dulu!

Oleh: Fakhry Harraz
THE PATRIOTS

Bila sebut pasal undang-undang moden hari ni, kita mesti teringat pada “Common Law” dari British, sistem mahkamah Barat atau perlembagaan negara moden. Tapi, tahukah anda, beratus tahun sebelum semua itu sampai ke Tanah Melayu, orang Melayu dah ada undang-undang yang tersusun, lengkap dan cukup canggih untuk uruskan masyarakat?
Zaman Kesultanan Melayu Melaka (abad ke-15 hingga 16) adalah kemuncak tamadun Melayu klasik. Ramai hanya kenal Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa, tempat pedagang Arab, India, China, sampai Portugis keluar masuk. Tapi di sebalik kekayaan ekonomi itu, ada satu lagi rahsia besar yang buktikan betapa teraturnya Melaka, tak lain tak bukan iaitu sistem undang-undangnya.
A. Hukum Kanun Melaka: undang-undang darat.
Hukum kanun ini merangkumi hampir semua aspek kehidupan: daripada hal jenayah, kekeluargaan, pentadbiran, hinggalah peraturan berkaitan raja dan rakyat. Misalnya, kalau berlaku kes curi, bunuh, atau khianat,hukum kanun ini ada hukuman yang jelas.
Kalau ada isu kahwin, cerai, atau nafkah, dah ada garis panduan yang siap berpaksikan syariah. Malah, ada fasal khas yang menyentuh tanggungjawab Sultan, pembesar dan rakyat. Bayangkan, ratusan tahun lalu masyarakat Melayu sudah tekankan keadilan dan tanggungjawab.
B. Undang-undang Laut Melaka: undang-undang lautan.
Kalau Hukum Kanun uruskan darat, maka Undang-undang Laut Melaka pula ciptaan genius untuk mengawal perdagangan maritim. Ketika zaman di mana Melaka jadi “hub antarabangsa”, kapal-kapal besar dengan pedagang dari serata dunia singgah di pelabuhan. Maka, peraturan perlu ada.
Undang-undang Laut menetapkan hak dan tanggungjawab nakhoda, awak-awak, pedagang dan anak kapal. Kalau ada pergaduhan atas kapal, ada hukumnya. Kalau berlaku kecurian, ada prosedurnya. Kalau kapal karam, sudah ada garis panduan bagaimana nak uruskan barang dagangan dan tanggungjawab nakhoda.
Benda ni bukan kecil. Sejarah membuktikan, undang-undang maritim Melaka antara yang terawal dan paling tersusun di Asia Tenggara, malah jadi rujukan kuasa lain. Ia ibarat “manual perkapalan” pada abad ke-15.
Apa makna semua ni untuk kita hari ini?
Sejarah ini buktikan bahawa orang Melayu bukan bangsa tanpa sistem. Kita sudah ada hukum, peraturan dan tata kelola berabad lamanya sebelum datangnya kuasa kolonial. Undang-undang ini merupakan gabungan bijak antara adat Melayu, syariat Islam dan pengalaman perdagangan antarabangsa.
Kalau hari ini kita berbangga dengan Perlembagaan Persekutuan, jangan lupa, akar tradisi undang-undang Melayu sudah lama subur. Malah lebih hebat, kerana ia lahir dari masyarakat kita sendiri.
Jadi, lain kali bila ada orang kata “orang Melayu dulu mundur, tak bertamadun”, ingatlah, bahawa bangsa Melayu sudah lama memiliki undang-undang tersendiri. Bangsa yang ada undang-undang sendiri, adalah bangsa yang berdaulat. Itulah warisan besar kita.
---
Sejarah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ada diceritakan oleh Sejarawan Maritim Melayu Tersohor, Dr. Ahmad Jelani Halimi.
Kalau anda nak tahu lagi pasal kehebatan orang Melayu berlayar di lautan, anda kena dapatkan buku terbaru kami: MELAYU, LAUT DAN PERDAGANGAN!
Pra-tempah sekarang untuk dapatkan dengan harga diskaun serta tandatangan penulis!

Copy and paste:
28 Ogos 2025: 11.32 p.m

No comments: