Oleh : Megat Hisemudin Megat Kasim
Kisah Sejarah Melayu
Dalam sumber China, catatan tentang Kedah Tua banyak diperolehi dari 梁书 Liáng shū, 隋书 Suí shū, 通典 Tōng diǎn dan 新唐书 Xīn táng shū.
Tarikh-tarikh catatan ini adalah pada sekitar abad ke 6 - 8 Masehi. Untuk menentukan kedudukan Kedah Tua dari sudut geografi maka perlulah mengenalpasti sempadan negara-negara jiran Kedah Tua secara keseluruhannya.
Semasa Dinasti Tang dan Dinasti Sung, 罗涡 Luō wō atau 罗斛 Luō hú pernah menghantar ufti ke China. Catatan yang menyebut 陀和罗 Tuó hé luō yakni 陀罗钵地 Tuó luó bō de atau 婆罗波提 Póluó bō tí secara umumnya diidentitikan sebagai Dvaravati walaupun setiap nama itu mewakili tarikh masa yang berbeza. Dvaravati adalah sebuah kerajaan kuno yang menguasai sebahagian besar negara Thailand hari ini.
Dalam Xīn táng shū menyebut, "罗越者,北距海五千里,西南哥谷罗,商贾往来所凑集,俗与堕罗钵底同". Kedudukan 罗越 Luō yuè berjarak 5 ribu li (li adalah unit jarak) ke utara daripada laut. Di barat dayanya ialah 哥谷罗 Gē gǔ luō. Ia adalah tempat pertemuan para pedagang berulang-alik. Adatnya sama dengan 堕罗钵底 Duò luō bō dǐ.
罗越 Luō yuè mungkin nama lain bagi 罗涡 Luō wō kerana fakta yang menyatakan adatnya sama dengan Duò luō bō dǐ iaitu Dvaravati. Atau mungkin tersilap penyalinan dituliskan 罗越 Luō yuè, yang sepatutnya dituliskan 罗涡 Luō wō. Ini kerana pada masa itu sudah terdapat sebuah tempat bernama 罗越 Luō yuè yakni Gelanggi di selatan Negeri Johor. Perlu diingatkan bahawa sebahagian nama-nama tempat ini adalah "terjemahan bunyi" berdasarkan penyebutan oleh orang-orang tempatan yang dipadankan dengan huruf-huruf Cina yang paling hampir bunyinya. Sebutan yang sama tetapi boleh ditulis dalam huruf-huruf Cina yang berlainan.
Manakala jarak 5 ribu li dari pantai mungkin tersilap anggaran yang sepatutnya ialah 5 ratus li iaitu sekitar 250 km. Dengan itu dipercayai ia adalah ibu kota 罗涡 Luō wō atau kerajaan Lavo yang terletak di tengah-tengah Lembangan Chao Phraya sekarang. Berdasarkan catatan yang menyebut Gē gǔ luō terletak ke barat daya Dvaravati yang mungkin ia berada sekitar Kra atau Segenting Kra sekarang.
Dari Liáng shū menyebut terdapat sebuah negara di barat Teluk Siam dan menghadap Laut Andaman, "頓遜國,在海崎上,地方千里,城去海十里。有五王,並羈屬扶南。頓遜之東界通交州,其西界接天竺".
Negara 頓遜 Dùn xùn terletak di sebuah banjaran gunung di tepi laut. Tanahnya luas ribuan li dan ke ibu kotanya dari pantai puluhan li. Ia mempunyai 5 orang raja yang bernaung di bawah Funan. Ke timur Dùn xùn boleh sampai ke 交州 Jiāozhōu yakni merujuk negeri-negeri di selatan China. Ke baratnya boleh sampai ke 天竺 Tiānzhú yang merujuk kepada India.
Menurut ahli-ahli sejarah China, Dùn xùn ialah Tenasserim di negara Mynmar sekarang. Jika dibandingkan dengan peta moden sekarang memang jelas menunjukkan di sekitar Lenya National Park di sebelah Mynmar dan Namtok Huai Yang National Park di sebelah Thailand dahulunya adalah dalam negara Dùn xùn. Di sinilah yang disebut kapal-kapal boleh menghubungkan dengan Jiāozhōu Ini juga bermakna di sini adalah sempadan utara antara Dùn xùn dengan Dvaravati. Seboleh-bolehnya setiap negara ada akses di Laut Andaman di barat dan Teluk Siam di timur.
Daripada catatan 义净 Yì jìng yang belayar melalui Teluk Benggala dari India untuk ke Srivijaya menyebut, " 行一月余 ,便达前岭。次此南畔,逼近海崖,有室里察旦国,次东南有郎迦戌国,次东有杜和钵底国".
Setelah belayar lebih sebulan maka sampailah ke hadapan banjaran gunung (Banjaran Arakan, Mynmar). Ke sempadan selatan yang berhampiran dengan tebing yang curam ialah negara 室里察旦 Shì lǐ chá dàn iaitu Sri Ksetra. Di tenggara pula ialah negara 郎迦戌 Láng jiā xū iaitu Langkasuka. Ke timur (dari Sri Ksetra) ialah Dvaravati.
Sri Ksetra adalah negara kuno di Lembangan Irrawaddy dan di timurnya ialah Dvaravati manakala ke selatannya bersambung dengan Dùn xùn iaitu Tennaserim sekarang. Menurut sejarah Funan yang tercatat dalam rekod China menyebut Dvaravati dan Dùn xùn adalah negara naungan Funan. Disebutkan juga Dùn xùn adalah negara naungan Funan yang paling selatan sekali.
Di manakah letaknya sempadan utara Langkasuka? Dalam 大唐西域求法高僧传 Dà táng xīyù qiúfǎ gāosēng chuán atau Records of Seeking Dharma in the Western Regions of the Tang Dynasty menyebut, "…… 附商船 .... 越舸扶南,缀缆“郎迦戌”.....与附舶向师子洲,披求异典,顶礼佛牙,渐之西国". Menumpang kapal dagangan yang besar melalui Funan untuk belayar ke 郎迦戌 Láng jiā xū iaitu Langkasuka. Kemudiannya menaiki kapal untuk ke 师子洲 Shīzi zhōu yakni Ceylon bagi mencari kitab yang amat berharga. Memberi penghormatan kepada gigi Buddha dan seterusnya belayar ke barat.
Catatan ini menceritakan para biksu atau sami Buddha dari China yang belayar ke Ceylon yakni Sri Lanka sekarang bagi mempelajari ugama Buddha. Dikatakan gigi Buddha ada tersimpan di sini. Mereka melalui tanah daratan sempit di Langkasuka yang dipercayai ialah sekitar Kra atau Segenting Kra. Lebih tepat lagi ialah antara Ranong dan Chumphon yang kini bakal dibuat projek jambatan darat bagi menghubungkan antara Teluk Siam dengan Laut Andaman.
Dalam 通典 Tōng dian mencatatkan, "哥羅國,漢時聞焉。在槃槃東南,亦曰哥羅富沙羅國雲". Negara 哥羅 Gē luó (dibunyikan ke luo) yakni Kedah Tua semasa Dinasti Han sudah ada kedengaran. Ia terletak di tenggara 槃槃 Pán pán juga disebut negara 哥羅富沙羅 Gē luó fù shāluó. 哥羅又作哥羅富沙羅、哥羅富沙. Negara Gē luó (ke luo) yakni Kedah Tua juga disebut Gē luó fù shāluó atau 哥羅富沙 Gē luó fù shā.
Daripada catatan 旧唐书 Jiù táng shū menyebut, "盘盘国 ....其国与狼牙修国为邻". Negara Pán pán dan Langkasuka berjiran. Dalam 新唐書 Xīn táng shū pula menyebut, "盤盤,與狼牙脩接." Pan pan bersempadan dengan Langkasuka. Manakala dalam 通典 Tōng diǎn menyebut, "哥羅國 .... 在槃槃東南." Negara Gē luó yakni Kedah Tua terletak di Tenggara Pán pán, ini bermakna Pán pán berada di barat laut Kedah Tua. Dengan ini jelas menunjukkan kedudukan Pán pán adalah ke utara Langkasuka dan ke timur Dùn xùn yang menjadikan Sungai Kraburi sebagai sempadan semula jadi. Sungai Kraburi juga menjadi sempadan antara Mynmar dan Thailand pada peta moden
Dinasti Han adalah sebuah dinasti yang masyhur di China yang memerintah di antara tahun 202 S.M sehingga 220 M yang menjangkau usia lebih 400 tahun. Jika kita membandingkan Langkasuka yang dikatakan wujud pada abad pertama Masehi maka dipercayai Kedah Tua juga sudah berkerajaan pada ketika itu. Paling kurang pun bermula pada abad ke 2.
Dari catatan 贾耽 Jiǎ dān, seorang ahli geografi dan pelukis peta yang terkenal semasa Dinasti Tang menyebut, "又西出峡三日, 至葛葛僧祗国 ,在佛逝西北隅之别岛 ...... 其北岸则箇罗国, 箇罗西則哥谷罗國".
Setelah 3 hari keluar daripada selat (Selat Melaka) menuju ke barat maka tibalah ke negara 葛葛僧祗 Gé gé sēng zhī. Ia terletak di pulau lain di barat laut penghujung pulau Srivijaya (maksudnya pulau Sumatera). Di pantai utaranya ialah negara 箇罗 Gè luō (ke luo) yakni Kedah Tua. Ke barat daripada Geluo ialah negara 哥谷罗 Gē gǔ luō.
Berdasarkan catatan Xīn táng shū dan Jiǎ dān kita dapati negara Gē gǔ luō adalah mengunjur dari sekitar Segenting Kra sehingga ke tanjung paling selatan iaitu tempat yang dinamakan Phang-nga sekarang. Disebutkan kedudukan Gē gǔ luō adalah ke barat Gè luō iaitu Kedah Tua. Ini bermakna sempadan paling utara Kedah Tua ialah sekitar Krabi sekarang dan selari dengan Pulau Phuket dan hampir bersempadan dengan Gē gǔ luō.
Sempadan selatan Langkasuka boleh ditentukan dari catatan 常骏 Cháng jùn yang direkodkan dalam 梁书 Liáng shū apabila Cháng jùn dalam pelayarannya menuju negara 赤土 Chìtǔ. Cháng jùn melihat gunung Langkasuka di sebelah barat selepas melalui pulau-pulau sekitar Koh Samui. Bermakna kapal Cháng jùn berada di sekitar Nakhon Si Thammarat. Manakala sempadan selatan Langkasuka ialah di sekitar Pulau Jilong yang bertemu dengan Chìtǔ.
Manakala sempadan selatan Chìtǔ dipercayai termasuk lembangan Sungai Kelantan kerana ibu kota Chìtǔ terletak di Tanah Merah yang terdapat banyak kandungan emas. Sempadan antara Kedah Tua dengan Chìtǔ dipercayai terletak di tengah-tengah banjaran yang membahagikan antara Kedah Tua di barat dan Chìtǔ di timur. Ini adalah lazim bagi sempadan negara dibuat sama ada menggunakan banjaran gunung atau sungai.
Kesimpulannya, jika kita bandingkan teks sejarah dengan kedudukan geografi, kita boleh permudahkan seperti berikut:
Pertama, kedudukan Gē gǔ luō berada di barat daya Dvaravati.
Kedua, pantai barat Dùn xùn menghala ke India dan pantai timur boleh dihubungkan dengan China di Teluk Siam. Tempat ini ialah Tenasserim sekarang.
Ketiga, sempadan timur Dùn xùn ialah Dvaravati sehingga mengunjur ke Teluk Siam.
Keempat, Langkasuka terletak ke tenggara Dùn xùn.
Kelima, di tenggara Pán pán ialah Gè luō atau Kedah Tua.
Keenam, Pán pán terletak ke utara Langkasuka.
Ketujuh, sempadan selatan Langkasuka dengan Chìtǔ berada di sekitar Nakhon Si Thammarat sekarang berpandukan kedudukan Pulau Jilong.
Kelapan, di barat Chìtǔ ialah Kedah Tua yang dipisahkan oleh banjaran gunung.
Kesembilan, ke utara atau lebih tepat timur laut dari Gé gé sēng zhī ialah Gè luō iaitu Kedah Tua.
Kesepuluh, ke barat daripada Gè luō ialah Gē gǔ luō.
Dùn xùn, Pán pán, Langkasuka dan Chìtǔ
mempunyai pantai yang mengadap Teluk Siam dan mempunyai hubungan dagangan serta menghantar utusan ke China. Manakala Gè luō iaitu Kedah Tua dan Gē gǔ luō hanya mengadap Laut Andaman maka sebab itulah tidak mempunyai rekod pernah menghantar utusan ke China.
Berdasarkan rumusan di atas maka kita boleh melukis peta menunjukkan kedudukan negara-negara yang berjiran dengan Kedah Tua.
Bagaimanapun gambaran kedudukan negara-negara ini telah berubah mengikut zaman. Dari buku 诸蕃志 Zhū fān zhì tulisan Chau Ju-kua yang diterbitkan dalam tahun 1225 tidak menyebut tentang negara Gē gǔ luō yang terletak ke barat Langkasuka. Dipercayai Langkasuka telah menawan Gē gǔ luō. Hal yang sama juga berlaku kepada Chìtǔ yang telah ditakluki oleh Langkasuka. Namun didapati lahirnya beberapa buah negara baru iaitu 日罗亭 Rì luō tíng, 潜迈 Qián mài, 拔沓 Bá dá, 单马令 Dān mǎ lìng dan 加罗希 Jiā luō xī. Dalam Zhū fān zhì menyebut Kedah Tua sebagai 佛罗安 Fó luó ān. Kesemuanya adalah negara-negara naungan Srivijaya.
Dalam bab mengenai 单马令 Dān mǎ lìng, Chua Ju-kua telah menulis, "本国以所得金银器纠集日罗亭等国类聚献入三佛齐国". Semua barangan emas dan perak yang diperolehi dari negara-negara ini dikumpulkan di Rì luō tíng untuk diserahkan kepada Sān fú qí sebagai hantaran ufti. Ini menunjukkan 日罗亭 Rì luō tíng, 潜迈 Qián mài, 拔沓 Bá dá, 单马令 Dān mǎ lìng dan 加罗希 Jiā luō xī adalah berdekatan antara satu sama lain yang menghadap Teluk Siam. Menurut ahli-ahli sejarah Thailand bahawa 单马令 Dān mǎ lìng ialah Tambralingga yang terletak di Nakhon Si Thammarat sekarang.
Manakala 加罗希 Jiā luō xī dikenal pasti sebagai Chaiya atau Grahi yang terletak di Wilayah Surat Thani sekarang. Dalam bab tentang Chenla, Chau Ju-kua menyebut, "真腊,接占城之南,东至海,西至蒲甘,南至加罗希". Chenla bersambung di selatan Champa. Bahagian timurnya sampai ke laut manakala ke baratnya sampai ke Bagan (sebuah bandar kuno di Mynmar sekarang). Di bahagian selatannya sampai ke Jiā luō xī yakni Grahi atau Chaiya. Oleh itu Chaiya lebih lewat berada dalam Srivijaya. Maka adalah tidak mungkin Chaiya dikatakan sebagai ibu kota Srivijaya seperti yang didakwa oleh setengah ahli-ahli sejarah Thailand dan tempatan.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim
Copy and paste:
11 Ogos 2025: 7.10 p.m