SUMBER: JAGAT IMPAK
Catatan Sulalatus Salatin membuktikan bahawa orang Melayu sejak dahulu mempunyai kepakaran tinggi dalam pembinaan kapal dan pengurusan armada laut. Pada halaman 30–31, Tun Sri Lanang, Bendahara Paduka Raja Kesultanan Johor menulis bagaimana perahu para Menteri dan Hulubalang yang mengiringi baginda terlalu banyak jumlahnya, sehinggakan lautan kelihatan penuh dan sesak dengan kelengkapan armada. Gambaran ini menunjukkan bahawa kegiatan maritim bukanlah kecil-kecilan, sebaliknya melibatkan ribuan anak kapal, hulubalang dan perahu dari pelbagai jenis.
Halaman 33 pula memperincikan sebanyak 19 jenis perahu Melayu, antaranya jong, lancaran, selur, dendang, tongkang, kelulus, jurung, jongkong, pembujangan dan telentam. Setiap nama ini mencerminkan wujudnya kepelbagaian reka bentuk dan fungsi kapal, ada yang bersifat kapal besar berlayar jauh (jong), ada yang pantas untuk serangan (lancaran, dendang), ada juga yang digunakan untuk dagangan dan pengangkutan sederhana (tongkang, kelulus).
Halaman 37 memperkukuh bukti ini apabila Demang Lebar Daun mengarahkan pelbagai jenis perahu seperti dendang panjang lima belas, pembujangan panjang dua belas, selur panjang sepuluh, serta telentam panjang tiga belas disediakan. Hal ini memperlihatkan pembahagian fungsi armada secara jelas bahawa orang Melayu mampu menyesuaikan bentuk kapal mengikut peranan, sama ada untuk mengiring, menyerang atau membawa muatan.
Kekuatan armada Melayu juga terserlah melalui jumlah kapal yang besar, sebagaimana dicatat pada halaman 47. Di sini, digambarkan bagaimana Demang Lebar Daun memimpin persiapan untuk menyerang Singapura dengan kekuatan sehingga 180 jong. Angka ini sangat signifikan kerana jong adalah kapal yang paling besar dan paling tegap, mampu membawa muatan besar dan pasukan perang dalam jumlah yang ramai. Jumlah ini belum lagi termasuk ratusan kapal lain seperti ganting, pemangkah, lelanang, telemba dan jongkong yang turut serta. Gambaran ini memperlihatkan keupayaan logistik yang luar biasa untuk menggerakkan ratusan kapal, ribuan anak kapal, makanan, air dan senjata, memerlukan sistem pentadbiran maritim yang tersusun.
Halaman 30–31 yang mencatatkan lautan penuh dengan kelengkapan Bintan, seolah-olah “tiada dapat dibilang rupanya penuh di laut”, menegaskan lagi imej bahawa armada Melayu merupakan salah satu yang terbesar di rantau Asia Tenggara pada zamannya. Dari sudut geopolitik, kewujudan armada sebesar ini membuktikan bahawa orang Melayu bukan sahaja kuasa daratan, tetapi juga kuasa maritim yang digeruni, mampu menguasai laluan perdagangan utama dan melindungi kepentingan politik serta ekonomi mereka.
Lebih penting, Sulalatus Salatin juga merekodkan kecanggihan persenjataan maritim orang Melayu. Pada halaman 283 dan 291, disebutkan secara terperinci tentang perahu dendang, jurung, telentam, dan jong yang dilengkapi dengan meriam dan rentaka. Laksamana Hang Nadim misalnya memimpin armada dengan sebuah perahu dendang panjang tiga belas yang mempunyai dua meriam sehaluan dan sepuluh rentaka di sisi, manakala Seri Bija Diraja pula menggunakan sebuah jong panjang sebelas dengan dua meriam dan lapan rentaka. Senjata api seperti meriam dan rentaka ini membuktikan bahawa orang Melayu sudah pun menyesuaikan diri dengan teknologi persenjataan moden pada abad ke-15 hingga ke-16, sekaligus menolak tanggapan bahawa mereka hanya bergantung pada senjata tradisional seperti keris dan tombak.
Penggunaan meriam mudah alih dan rentaka menandakan tahap integrasi teknologi asing (dari Timur Tengah, India, atau China) ke dalam konteks lokal, dan adaptasi itu dilakukan secara sistematik untuk memperkuat armada. Maka, jelaslah bahawa jong bukan sahaja sebuah kapal besar untuk perdagangan, tetapi juga sebuah kapal tempur yang dilengkapi dengan persenjataan berat, berfungsi sebagai benteng pertahanan dan simbol kekuatan maritim orang Melayu. Hal ini memperkukuh kedudukan mereka sebagai kuasa besar serantau, yang menguasai samudera bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga ketenteraan.
-----
๐๐๐ ๐ฃ๐จ๐ง๐๐ก ๐จ๐ก๐ง๐จ๐ ๐ฆ๐๐ ๐จ๐ ๐ฃ๐๐ฅ๐๐ก๐ง๐๐ฆ, ๐ฃ๐๐ก๐๐๐ฃ๐ง๐ ๐๐๐ก ๐ฃ๐๐ ๐๐๐๐ฅ ๐๐ก๐ข๐ฉ๐๐ง๐๐ ๐ ๐๐ก๐ฌ๐๐ฅ๐ง๐๐ ๐๐ ๐๐ก๐ฎ๐ฑ
Copy and paste:
25 Ogos 2025: 11.09 a.m

No comments:
Post a Comment