Thursday, 28 August 2025

MENDAM BERAHI: SEJAUH MANA KEWUJUDANNYA

Oleh : Helmy Effendy
The Patriots

Apabila kita membuka lembaran Hikayat Hang Tuah, sebuah karya agung kesusasteraan Melayu, kita akan menemui kisah tentang sebuah kapal megah bernama Mendam Berahi. Nama ini sendiri sudah cukup menggugah imaginasi. Ia digambarkan sebagai kapal besar, luar biasa dari segi reka bentuk, seolah-olah dibina untuk melambangkan kehebatan Kesultanan Melaka di puncak kegemilangannya pada abad ke-15. Dalam hikayat, kapal ini bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi simbol kuasa, tanda bahawa Melaka bukan sahaja sebuah pusat perdagangan dunia, malah juga sebuah empayar maritim yang hebat.
Namun, di sinilah timbul persoalan yang menarik untuk diperbincangkan. Adakah Mendam Berahi benar-benar pernah wujud, ataukah ia sekadar satu rekaan sastera yang ditulis ratusan tahun kemudian? Sejauh mana catatan hikayat boleh dianggap mewakili realiti sejarah, dan sejauh mana ia hanya bayangan simbolik atau malah anachronism, iaitu sesuatu yang tidak sesuai dengan zamannya?
Apabila diteliti gambaran tentang Mendam Berahi, para sarjana maritim menyedari persamaan bentuknya dengan kapal jenis gali atau galley dari Laut Mediterranean. Kapal jenis ini sudah lama dikenali dalam sejarah dunia. Orang Yunani purba membinanya untuk peperangan di laut dalam. Romawi dan Byzantium meneruskan tradisi tersebut. Venice menggunakannya untuk menegakkan hegemoni maritim di Adriatik, manakala Uthmaniyyah pula menjadikan kapal gali sebagai tulang belakang armada mereka di Mediterranean Timur.
Reka bentuk kapal gali amat khusus, panjang, tirus, rendah ke permukaan air, digerakkan oleh puluhan bahkan ratusan pendayung, dan dilengkapi layar kecil untuk membantu pergerakan. Ia direka untuk kelajuan dan kelincahan, sesuai dengan strategi pertempuran laut di Mediterranean yang sempit dan dalam. Sifat ini jelas berbeza dengan kapal-kapal Melayu yang besar, bertiang tinggi, dan berlayar dengan memanfaatkan angin monsun untuk merentasi lautan luas.
Oleh itu, apabila mendengar deskripsi Mendam Berahi, timbul persoalan sama ada penulis hikayat telah menyerap imej kapal Mediterranean ini ke dalam kisahnya. Bukan kerana kapal sebegitu sudah wujud di Melaka abad ke-15, tetapi kerana pada zaman penulisan hikayat, beberapa ratus tahun selepasnya, orang Nusantara sudah pun mengenali kapal gaya Eropah dan Turki, lalu imej itu disisipkan tanpa disedari sebagai sebahagian daripada cerita silam.
Sejauh ini, belum ada bukti material yang menunjukkan kapal gali digunakan di Asia Tenggara sebelum kedatangan Portugis pada awal abad ke-16. Sebaliknya, sumber sejarah Cina, Portugis, dan Belanda lebih kerap menyebut kapal-kapal seperti jong, lancaran, kelulus, dan ghurab. Kapal-kapal ini sangat berbeza dari gali Mediterranean. Badannya lebih lebar dan dalam, mempunyai layar besar yang mampu menampung kuasa angin monsun, serta sesuai untuk membawa muatan dagangan dalam jumlah yang sangat besar.
Tambahan pula, keadaan geografi dan ekologi Nusantara sangat berbeza dengan Laut Mediterranean. Selat Melaka, misalnya, bercirikan dasar cetek, berlumpur dan berpasir, dengan arus pasang surut yang kuat serta dipenuhi rumpai laut. Kapal panjang dan rendah seperti gali berisiko tersangkut atau sukar bermanuver di perairan seperti ini. Sebaliknya, kapal Melayu lebih tegap dan lebih fleksibel, ia mampu berlayar di laut dalam, tetapi pada masa yang sama boleh masuk ke sungai dan muara cetek. Inilah kelebihan kapal tempatan yang menyesuaikan diri dengan alam tropika dan sistem perdagangan maritim yang berasaskan monsun.
Kapal gali memang akhirnya sampai ke rantau ini, tetapi itu berlaku selepas Portugis menawan Melaka pada 1511. Portugis membawa bersama teknologi maritim Mediterranean, termasuk gali dan fusta. Daripada Portugislah kerajaan Acheh pada abad ke-16 dan ke-17 mula mengenali kapal gaya tersebut, malah dengan bantuan jurutera Turki Uthmaniyyah mereka cuba membina versi sendiri untuk mencabar kekuasaan Barat di Lautan Hindi.
Namun fakta ini sendiri menjadi bukti tidak langsung bahawa gali bukan sebahagian daripada tradisi maritim Melaka. Jika Melaka sudah memiliki kapal seperti Mendam Berahi sebelum kejatuhannya, mengapa catatan Portugis mahupun Cina tidak menyebutkannya? Mengapa yang direkodkan hanya jong dan lancaran? Sehingga kini, belum ada jawapan kukuh dari sudut sejarah.
Di sinilah kita perlu melihat Mendam Berahi bukan semata-mata dari kaca mata sejarah, tetapi juga dari sudut kesusasteraan. Hikayat bukanlah kronik sejarah yang mencatat fakta secara literal. Ia ditulis untuk mengangkat imej kebesaran, untuk mengabadikan wira seperti Hang Tuah, dan untuk membayangkan kekuatan Melaka dalam bentuk yang paling agung. Dalam kerangka sebegitu, Mendam Berahi berfungsi sebagai simbol, sebuah metafora kebesaran yang melampaui bukti material.
Nama Mendam Berahi sendiri membawa unsur puitis, seolah-olah ingin menawan imaginasi pembaca, bukan sekadar mencatat logistik ketenteraan. Ia boleh difahami sebagai kiasan kepada kehebatan armada Melaka yang sebenarnya terletak pada jong dan lancaran, tetapi disulam dalam bentuk sebuah kapal tunggal yang megah dan luar biasa.
Dengan itu, persoalan tentang kewujudan Mendam Berahi akan sentiasa berada di persimpangan antara sejarah dan mitos. Dari segi sejarah maritim, sehingga kini belum ada bukti material atau rekod kontemporari abad ke-15 yang membenarkan kewujudannya. Dari segi sastera pula, ia jelas berfungsi sebagai simbol kebesaran Melaka, dimasukkan ke dalam hikayat untuk meneguhkan imej empayar Melayu sebagai kuasa maritim dunia.
Lebih tepat untuk mengatakan bahawa Mendam Berahi adalah kapal hikayat, bukan kapal yang pernah belayar di Selat Melaka, tetapi kapal yang berlayar di samudera imaginasi kolektif orang Melayu. Ia lambang bahawa Melaka dulu sebuah empayar maritim agung buat bangsa Melayu, sehingga orang Melayu mencipta sendiri Mendam Berahi sebagai lambang peradaban bangsa mereka.
Justeru, saya sentiasa mencadangkan supaya kita memahami dan mendalami sejarah dari sumber yang tepat. Ilmu laut orang Melayu itu hebat, tetapi kita juga kena berhati-hati dengan cara kita memahami sejarah. Justeru, antara buku terbaik yang saya nak cadangkan ialah buku tulisan Sejarawan Maritim Asia Tenggara dan Tamadun Melayu terbaik negara, Dr Ahmad Jelani Halimi yang anda boleh beli di Shopee sempena dengan jualan pra-tempah. 300 pembeli terawal akan dapat sign Dr tau! Beli di Shopee

Copy and paste:
28 Ogos 2025: 11.43 p.m