Monday, 11 August 2025

SEJARAH 7 LAUTAN PADA PERSPEKTIF TAMADUN SILAM


Oleh Helmi Effendy

Saya rasa dalam banyak-banyak peta sejarah yang saya pernah lihat, peta ini antara peta terbaik sebab ia menggambarkan bagaimana tiga tamadun silam, Tamadun Yunani, Eropah ketika zaman pertengahan dan juga Tamadun Arab melihat lautan. Dan kita dapat menafsir pandangan kelautan mereka berdasarkan bagaimana mereka melabelkan 7 lautan yang mereka faham pada ketika itu.
Pertama, kita kena tahu bahawa istilah tujuh laut bukan satu formula tetap. Ia lebih mirip peta khayalan yang menandakan bahawa setiap tamadun menamakan laut yang mereka sudah jelajahi dan melupuskan yang masih kabur, tempat yang mereka tak pernah jejak. Jadi, jangan kita samakan dengan pengetahuan masyarakat moden hari ini dengan lautan yang kita kenali.
Pada zaman Yunani purba, pelaut mereka hanya biasa dengan laluan sekitar Laut Tengah. Mereka menyenaraikan 7 lautan yang biasa mereka bermain iaitu Mesógeios Thálassa (Mediterranean), Adriás Kólpos (Adriatik), Póntos Eúxeinos (Hitam), Kaspía Thálassa (Kaspia), Erýthra Thálassa (Merah), Persikós Kólpos (Teluk Parsi) dan Arábikos Kólpos (Laut Arab). Hari ini kita masih gunakan enam nama moden itu, kecuali Persikós Kólpos yang kini lebih dikenali sebagai Persian Gulf atau Teluk Parsi.
Semasa orang Yunani purba berlayar mengelilingi lautan, mereka menamakan setiap lautan mengikut apa yang terlihat di hadapan haluan. Mediterranean dipanggil Mesógeios Thálassa, “laut di tengah daratan”, kerana ia benar-benar dikelilingi tanah besar. Apabila mereka menyeberang ke utara Itali, teluk panjang itu diberi nama Adriás Kólpos, “Teluk Adria" iaitu sempena sebuah bandar kecil bernama Adria.
Beberapa nama Yunani bersifat deskriptif pada jenis lautan yang mereka jejak. Contohnya macam Erýthra bermaksud “merah”, merujuk warna air Laut Merah pada waktu subuh. Póntos Eúxeinos membawa makna “laut yang ramah”, satu nama ironi kerana pelaut awal menganggap Laut Hitam berbahaya. Walaupun bunyi Yunani kedengaran ganjil, kebanyakan ejaan moden seperti Laut Mediterranean, Laut Adriatik, dan sebagainya, masih mengekalkan akar kata. Bagi para pelaut mereka, tujuh inilah simpang-siur lautan mereka, di luar gelanggang dalam peta ini hanyalah cerita raksasa dan dewa laut
Bila pedagang Arab mula belayar jauh mengikuti angin monsun, senarai tujuh laut mereka pula berubah, walau masih meminjam istilah 7 laut yang sama. Ahli geografi seperti Al-Mas‘udi menyebut Bahr Fārs (Teluk Parsi), Bahr Larwī atau Bahr al-`Arab (Laut Arab), Bahr Harkand (Teluk Benggala), Bahr Kalah (Selat Melaka), Bahr Salahit (Selat Singapura), Bahr Kadranj (Teluk Thailand) dan Bahr Sanji (Laut China Selatan) sebagai tuhuh laut mereka.
Semua nama ini diambil daripada bahasa Arab tempatan, kadang-kadang disadur daripada istilah India serta Melayu. Sebagai contoh, Kalah ialah panggilan orang Arab untuk kerajaan Melayu Kedah Tua, manakala Salahit ialah panggilan mereka untuk Selat, dan panggilan itu yang menyerap ke dalam Bahasa Melayu kita hari ini. Nama seperti Harkan ialah nama purba untuk pantai disepanjang persisiran Benggala Hari ini, nama moden masih kekal kecuali Bahr Kalah dan Bahr Salahit yang kini kita panggil “Selat Melaka” dan “Selat Singapura”.
Fakta menarik, mungkin ada yang tertanya-tanya lepas baca artikel ni, kenapa selat turut dikira “laut”? Bagi pelaut Arab, dua selat sempit itu ialah pintu dagang terpenting antara Samudera Hindi dan Laut China Selatan. Mereka lebih kerap melalui lorong air cetek itu berbanding laut lebar di utara, maka selat dianggap setaraf lautan dalam kepentingan ekonomi bagi perspektif tamadun mereka.
Di Eropah pertengahan, khususnya selepas Perang Salib, cendekiawan Latin menulis senarai baharu untuk 7 Lautan versi mereka. Mereka mengekalkan Mare Mediterraneum (Mediterranean) dan Pontus Euxinus (Hitam), Mare Rubrum (Merah) dan Mare Arabum (Arab), daripada nama yang digunakan pelaut Yunani suatu masa dahulu. Mereka juga menambah tiga nama laut yang dengan tanah air mereka iaitu Mare Balticum (Baltik), Mare Germanicum atau Oceanus Germanicus (Laut Utara) dan Mare Atlanticum (Atlantik).
Masuknya Atlantik menandakan Eropah sudah menoleh ke barat, merancang pelayaran jarak jauh yang kelak membawa Columbus dan Magellan menjadi pelayar terkemuka, dan membawa Eropah ke era baru yang digelar sebagai Age Of Exploration, sekaligus membawa mereka menemui Benua Amerika, menjajah mereka, dan mengaut hasil kekayaan di sana membolehkan mereka bergelar Adikuasa moden.
Hari ini, Keenam-enam nama moden seperti Laut Baltik, Utara, Atlantik, Mediterranean, Hitam, Arab dan Merah, masih digunakan hari ini, berasal dari kamus Eropah dan Yunani. Dan akhir kata daripada saya, kalau anda peminat dengan sejarah dunia, saya nak cadangkan buku sahabat saya, Dans CK bertajuk TAMADUN UNTUK PEMULA yang anda boleh beli di Shopee The Patriots Studios: https://s.shopee.com.my/9KTPhBkGwM

Copy and paste:
11 Ogos 2025: 2.33 p.m

No comments: