Sunday, 24 December 2023

BAYAN LINNAS SIRI KE-286: ADAKAH ASHAB AL-KAHFI BERAGAMA KRISTIAN?

SUMBER: PEJABAT MUFTI WPKL
22 Disember 2023

Pengenalan:

Baru-baru ini tular satu klip video berkenaan ucapan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 yang menyentuh berkenaan agama Ashab al-Kahfi (para pemuda Kahfi) dalam ucapan beliau di perhimpunan bulanan. 
Oleh itu, dalam Bayan Linnas kali ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) akan menjelaskan berkenaan adakah Ashab al-Kahfi itu beragama Kristian.

Apakah Agama Ashab al-Kahfi

Para ulama berbeza pandangan mengenai agama Ashab al-Kahfi yang disebut dalam al-Quran Pandangan pertama mengatakan bahawa mereka adalah beragama Yahudi kerana orang Yahudi di zaman Nabi SAW bertanya kepada Baginda mengenai Ashab al-Kahfi, tidak mungkin Yahudi bertanya kepada Nabi SAW jika Ashab al-Kahfi itu beragama Kristian. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir:

وقد ذُكر أنهم كانوا على دين عيسى ابن مريم عليه السلام، والله أعلم. والظاهر أنهم كانوا قبل ملة النصرانية بالكلية، فإنه لو كانوا على دين النصرانية، لما اعتنى أحبار اليهود بحفظ خبرهم وأمرهم، لمباينتهم لهم

Maksudnya: “Telah disebutkan bahawa mereka mengikuti agama Nabi Isa yang merupakan anak kepada Maryam. Namun secara zahirnya mereka sebelum agama Nasrani, kerana jika mereka mengikuti agama Nasrani, para pendeta Yahudi tidak akan memberi perhatian untuk memelihara kisah mereka, kerana permusuhan mereka dengan Nasrani.”

Manakala menurut Syeikh Tahir Ibn Asyur berkemungkinan agama Yahudi dan Nasrani mengetahui tentang satu kaum yang dikenali dengan Ashab al-Kahfi dan mereka saling mendakwa bahawa kaum itu adalah dari kalangan orang soleh agama mereka. Walau bagaimanapun menurut kebanyakan ulama Ashab al-Kahfi adalah beragama Nasrani. Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan perkataan mujahid dengan katanya:

وكانت شريعتهم شريعة عيسى في قول جماعة من سلف علمائنا

Maksudnya: “Syariat mereka iaitu Ashab al-Kahfi adalah mengikut syariat Nabi Isa AS menurut sebilangan ulama salaf.”

Asal Usul Perkataan Kristian/Christian

Perkataan Kristian atau christian berasal dari bahasa Greek iaitu daripada perkataan ‘christos’ atau ‘kristus’ yang bermaksud ‘the anointed one’ merujuk kepada maksud ‘yang diurapi’. Perkataan kristus pula, ialah merujuk kepada Jesus oleh penganut agama Kristian. Rentetan daripada itu, wujudnya perkataan atau istilah christ yang sama maksud dengan perkataan al-masih dalam bahasa hebrew yang mana ia merujuk kepada maksud Rasul yang dipilih. Oleh yang demikian, istilah christian ini ialah merujuk kepada golongan atau penganut yang mengikut ajaran Jesus.

Selain itu, agama Kristian juga dikenali dengan agama Nasara merupakan agama samawi yang mana ia dibawa oleh Nabi Isa AS kepada Bani Israil supaya mengikut syariat serta mentauhidkan Allah SWT. Namun, setelah Baginda Isa AS diangkat ke langit agama Kristian telah diubah dan diseleweng daripada ajaran asalnya . St. Paul antara individu yang terlibat dengan penyelewengan agama ini dan penggunaan istilah Christian dilakukan oleh pengikutnya setelah ketiadaan Nabi Isa AS selama berpuluh tahun.

Dalam kajian yang dibuat oleh Abdul Halim Syihab dan M. Afif Afnan istilah “agama Kristian” muncul selepas Nabi Isa AS diangkat ke langit kerana baginda tidak bertutur dalam bahasa Greek. 

Walau bagaimanapun penggunaan al-Masih yang memiliki makna yang sama dengan Kristian (christian) telah digunakan dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

مَّا ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ وَأُمُّهُۥ صِدِّيقَةٌ ۖ كَانَا يَأْكُلَانِ ٱلطَّعَامَ ۗ ٱنظُرْ كَيْفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ ٱلْـَٔايَٰتِ ثُمَّ ٱنظُرْ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ ‎﴿٧٥﴾

Maksudnya: “Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).”
Surah al-Maidah (75)

Kesimpulan

Ulama berbeza pandangan mengenai agama yang dianuti oleh pemuda Ashab al-Kahfi namun menurut pandangan yang kuat mereka adalah mengikuti agama Nasrani. Penggunaan istilah agama Kristian hanya muncul setelah Nabi Isa AS diangkat ke langit. Manakala perkataan christ memiliki maksud yang sama dengan perkataan al-masih dalam bahasa hebrew yang bermaksud Rasul yang dipilih dan ia disebutkan dalam al-Quran. Oleh itu mengatakan bahawa Ashab al-Kahfi adalah beragama Kristian tidak menjadi kesalahan. Namun harus dibezakan antara agama yang diubah dan ditokok tambah dari ajaran tauhid yang sebenar dengan agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa AS. Dalam pegangan akidah Islam, semua agama yang datang sebelum Islam telah dimansukhkan dengan kedatangan Islam.

Wallahu A'lam

Rujukan:

1. Muhammad Tahir Ibn Asyur. (1984). Al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunis: al-Dar al-Tunisiyyah.

ويجوز أن يكون لأهل كلتا الملتين ، اليهودية والنصرانية ، خبر عن قوم من صالحيهم ، عرفوا بأهل الكهف ، أو كانوا جماعة واحدة ادعى أهل كلتا الملتين خبرها لصالحي ملته، وبني على ذلك اختلاف في تسمية البلاد التي كان بها كهفهم"

2. Muhammad bin Jarir al-tabari. (1967). Tarikh al-Tabari, Mesir: Dar al-Maarif, jld. 2, hlm. 6.

3.Rujuk al-Irsyad: Jurnal of Islamic and Contemporary Issues “Perbandingan Konsep Messiah Menurut Perspektif Islam dan Kristian” Hlm: 83. https://www.researchgate.net/publication/357600366_Perbandingan_konsep_Messiah_menurut_perspektif_Islam_dan_Kristian_Comparison_of_the_Messiah_concept_according_to_Islamic_and_Christians_perspective

4. Zakaria @ Mahmud bin Daud. Jurnal Usuluddin: Agama Kristian Kini Dan Pengasasnya. Hlm: 2.


5. al-Irsyad: Jurnal of Islamic and Contemporary Issues “Perbandingan Konsep Messiah Menurut Perspektif Islam dan Kristian” Hlm: 83.

6. Rujuk al-Irsyad: Jurnal of Islamic and Contemporary Issues “Perbandingan Konsep Messiah Menurut Perspektif Islam dan Kristian” Hlm: 83.

Copy and paste:24 Disember 2023 > 11 Jamadilakhir 1445H: 4.22 pm






No comments: