Thursday, 7 December 2023

IBADAH SEORANG LGBT

Fenomena LGBT telah menjadi satu isu hangat era kini. Fenomena ini bukan lagi isu yang baru di Malaysia namun telah mula bertapak di negara ini sejak awal 1890 an (Nor Hafzah & Nor Saleha. 2016).

Oleh
Mohamad Shukry Bin Sulaiman (shukry@muftiselangor.gov.my)
Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor

LGBT merupakan singkatan daripada perkataan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender. Lesbian merujuk kepada golongan perempuan mempunyai daya tarikan sesama perempuan.Gay pula merujuk kepada golongan lelaki mempunyai daya tarikan sesama lelaki. Biseksual adalah golongan yang mempunyai daya tarikan serta melakukan hubungan seksual dengan kedua-dua jantina iaitu lelaki dan perempuan.Transgender pula merujuk kepada seorang lelaki atau perempuan yang mempunyai identiti dan perasaan yang berbeza dengan jantinanya sehingga sanggup menukar organ jantinanya melalui pembedahan.Golongan ini boleh membawa maksud wanita menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah mencela perbuatan seumpama ini pada surah Al-A’raf, ayat 80-84 :
Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri”. Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikutpengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Perbuatan ini juga mendapat ancaman seperti yang disebutkan banyak hadis. Antaranya pada Hadis Riwayat Al-Bukhari (5886 & 6834), Abu Daud (4953) dan Al-Tirmizi (2785) : Maksudnya: Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.

HUKUM IBADAH LGBT
Sebagai seorang Muslim, pastinya mengetahui bahawa wajib ke atas seorang Muslim untuk melakukan ibadah-ibadah yang dituntut seperti yang terkandung dalam rukun Islam selepas mengucapkan kalimah syahadah iaitu solat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, menunaikan haji (jika berkemampuan). Namun, bagaimanakah hukum ibadah seorang LGBT yang mengakui bahawa mereka adalah seorang Muslim? Di sini kami akan huraikan hukum berkenaan berdasarkan pandangan ulama’.

1. SOLAT
Solat merupakan perkara pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Ibadah solat golongan LGBT adalah sah selagi mana mengikut fitrah jantinanya. Jika seorang transgender pada fitrahnya adalah lelaki hendaklah solat sebagaimana jantinanya dan begitu juga jika jantina asal seseorang itu adalah perempuan hendaklah solat sebagaimana seorang perempuan. Menurut Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 21-22 Sya’aban 1443 bersamaan 24-25 Mac 2022 menyatakan seorang transgender solat sebagai seorang lelaki maka sah solatnya berjemaah dalam saf bersama jemaah lelaki. Bagi permasalahan golongan transgender menjadi imam mempunyai dua pendapat. Hal ini kerana transgender dianggap golongan yang fasik dan berdosa. Menurut mazhab Hanaf dan mazhab Syafe serta satu pandangan dalam mazhab Maliki, makruh imam yang fasik. Bagi Mazhab Maliki dan Hanbali pula, batal dan tidak sah orang yang fasik menjadi imam.

2. PUASA DAN ZAKAT
Bagi ibadah zakat, golongan LGBT wajib mengeluarkan zakat fitrah jika mereka sampai kepada nisab namun golongan ini tidak termasuk dalam lapan kategori penerima zakat seperti yang disebutkan dalam al-Quran. Golongan ini juga tidak terkecuali untuk wajib berpuasa seperti umat Islam yang lainnya, kecuali jika ada uzur syarie seperti sakit, musafr, atau haid.

3. UMRAH DAN HAJI
Bagi ibadah umrah dan haji, hendaklah ibadah tersebut dilakukan mengikut hukum asal kejadian dirinya iaitu lelaki. Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke 28 Musim Haji 1443H yang membincangkan bahawa golongan mukhannas semula jadi atau disengajakan, hendaklah melakukan ibadah haji dan umrah dengan jantina asalnya.

Kesimpulan
Rumusannya, syarat untuk melakukan ibadah yang dituntut tidak hilang kepada seorang LGBT yang mengakui Muslim walaupun perbuatan LGBT itu sendiri adalah haram. Kami juga menyeru kepada golongan ini untuk usaha bertaubat pada perbuatan ini dan mengajak masyarakat untuk membimbing dan tidak berputus asa berdoa kebaikan pada golongan ini serta tidak mencela individu tersebut meskipun perbuatan tersebut dicela. 

Copy and paste:
7.12.2023 > 23 Jamadilawal 1445H: 7.01 am

No comments: