Monday, 4 December 2023

RAKTAMRITTIKA:KERAJAAN KUNO YANG PERNAH BERTAPAK DI KELANTAN

Posted by Ibn Kamal > PERISTIWA N' SEJARAH

Evolusi penulisan telah berkembang semenjak manusia pandai menulis.Tulisan juga menjadi satu kriteria untuk mengiktiraf ketamadunan sesebuah bangsa itu. Kini aspek menulis telah menjadi begitu sophisticated hingga abjad-
abjad ditukar ke bentuk digital dan dibaca menggunakan perlatan tertentu, berbanding di awal ketamadunan manusia di mana leluhur kita dahulu hanya menulis di atas kepingan batu dan dinding gua, kemudian berpindah menulis diatas pelepah dan daun pokok serta di atas kepingan kulit haiwan.
Semenjak dari itu juga, penulisan menjadi satu pekerjaan eksklusif kerana menulis dan membaca hanya menjadi hak Raja dan golongan bangsawan.India dan China merupakan dua ketamadunan dunia yang wujud lama di muka bumi, catatan sarjana mereka dijaga rapi hingga generasi kini masih boleh menatapnya. Begitulah juga dengan Negara Raktamrittika, ianya adalah dalam bahasa Sanskrit dan direkod oleh sarjana India, manakala sarjana China merekodkannya dengan nama Chih Tu di mana kedua-duanya membawa maksud Tanah Merah dalam Bahasa Melayu.
ii) SEBELUM RAKTAMRITTIKA
Raktamrittika atau Chih Tu ini sebenarnya adalah serpihan daripada Funan. Pada asalnya, Negeri Tanah Merah ini merupakan satu negeri persekutuan, dikenali sebagai Kalathana yang membawa maksud Tanah Raksasa.
Persekutuan ini mengandungi empat negeri iaitu:
a)Kalathana (Kelantan)
b)Thanathana (Terengganu)
c)Gangganegara (Perak)
d)Kuli (Pahang)
Negeri-negeri dalam Kalathana ini telah bersetuju melantik Bhadreswararaja,Raja Kalathana sebagai pemimpin persekutuan ini pada 418 Masihi.Pada waktu itu Funan dinaungi oleh Empayar Campa, justeru kewujudan persekutuan Kalathana ini tidak direstui oleh Maharaja Campa sendiri, natijahnya pada 427 Masihi, Maharaja Campa telah menghantar bala tentera melalui Langkasuka untuk menghukum Raja Kalathana tersebut.
Serangan tersebut dapat dipatahkan dan perajurit Kalathana telah melakukan serangan balas. Serangan tersebut telah membuahkan hasil yang gemilang dengan merebut kawasan dari Langkasuka hingga ke Tambralingga seterusnya menguasai seluruh segenting kra.
Pada masa yang sama, Champa turut terlibat dalam siri peperangan dengan China hingga Maharaja Champa mengabaikan situasi empayarnya yang sedang berpecah belah di bahagian selatan dengan menyerahkan urusan tersebut kepada Funan.Kemenangan Kalathana terhadap angkatan Funan-Campa telah membolehkan kerajaan mereka merdeka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kerajaan asing.
Raja Funan, Wan Srestha tidak bertangguh terhadap perlakuan Kalathana yang tidak diiktiraf itu, telah membuat persiapan untuk merebut kembali kawasan Segenting Kra dan Semenanjung. Persiapan ini telah diketahui oleh Bhadreswararaja dan baginda dengan segera membuat hubungan diplomatik dengan Maharaja China dalam tahun 430 Masihi untuk melindungi Kalathana dari diserang oleh Funan. Maharaja China telah menjamin keselamatan Kalathana dengan menghantar surat kepada Funan agar hasrat serangan itu dibatalkan.
Negara Kalathana dalam bentuk persekutuan empat negeri yang dicantumkan dengan wilayah Segenting Kra (dari Langkasuka hingga ke Tambralingga) telah disebut sebagai Ho-lo-tan, K’ou-lo-tan, atau K’ou-lo-ch’ieh dalam rekod China.
iii) LAHIRNYA “NEGERI TANAH MERAH”
Separuh kedua abad ke-6 Masihi, Kalathana telah dikuasai kembali oleh Funan yang berpusat di Campa. 522 Masihi, Kerajaan Funan telah runtuh akibat diserang oleh suku Khmer dari bahagian tengah Sungai Mekong. Kalinggawarman, Raja Kalathana telah menyerang Funan dan berjaya mengusir suku Khmer yang telah menawan Kota Campa pada 556 Masihi, seterusnya membina kembali empayar Funan yang runtuh, baginda juga melaksanakan penaklukan kembali wilayah kekuasaan Funan.561 Masihi, Kalinggawarman telah mengisytiharkan diri beliau sebagai Maharaja Funan dan melantik adindanya Gauthama menjadi raja Kalathan seterusnya berfungsi sebagai gabenor tertinggi bagi seluruh Segenting Kra dan Semenanjung.
Pada 566 Masihi, Gauthama telah membelot kekandanya dengan mengisytiharkan kemerdekaan Kalathana dari Funan dan telah memindahkan ibu kotanya dari Kota Yawakotti, terletak di hilir Kelantan kearah hulu Kelantan yang dipercayai kawasan Nenggiri sekarang. Kawasan baru ini amat strategik dari aspek ketenteraan dan perlindungan. Perpindahan ibu kota ini sebenarnya dilakukan untuk mengelak serangan daripada Funan, selain itu kawasan Ulu Kelantan juga kaya dengan lombong-
lombong emas.
Raja Gauthama telah menukar nama Kalathana kepada nama baru iaitu “Raktamrittika” sesuai dengan lokasi ibu kotanya yang terletak di kawasan tanah rata berwarna merah batu kawi. Baginda juga menamakan ibu kota
Raktamrittika sebagai Singapura yang bermaksud Kota Singa dan dirujuk oleh sarjana China sebagai Seng-Chih atau Shih-Tzu, manakala nama Raktamrittika dirujuk pula dengan nama Chih Tu.
Negeri Raktamrittika ini hanya mencakupi Kelantan pada hari ini, Besut di selatan dan Narrathiwat di utara, memandangkan negeri-negeri lain dalam Segenting Kra dan Semenanjung masih taat kepada Funan.
Kalinggawarman, Maharaja Funan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Raja Gautama, seolah-olah merestui tindakan adindanya membebaskan Kalathana dan menubuhkan Raktamrittika.Sebaliknya baginda telah melantik adindanya yang juga Raja Thanathana menggantikan Raja Gautama sebagai gabenor Funan untuk wilayah Segenting Kra dan Semenanjung.
Batu Bersurat yang ditemui di Province Wellesley (seberang prai) oleh Col. Low dalam abad ke-19. Prasasti ini berukir dengan satu stupa dan satu chattravali di atasnya.Manakala tulisan berada pada kiri dan kanannya. Tulisan ini yang ditulis dalam huruf Pallava dari abad ke-5 (400-500 Masihi) menyatakan kejayaan dalam suatu pelayaran oleh seoang nakhoda kapal bernama Budhagupta, seorang penduduk Raktamrittika (Negeri Tanah Merah). Berdasarkan sejarah negara Raktamrittika yang diterangkan dalam rencana ini, batu bersurat ini ditulis tidak lebih awal dari tahun 566 Masihi.
PERSATUAN PENCINTA SEJARAH KELANTAN

Copy and paste:
4 Disember 2023 > 21 Jamadilawal 1445H: 9.58 pm

No comments: