Sunday, 24 December 2023

Legenda Puteri Lindungan Bulan

Oleh: Rodly Fadly


Selain kisah Mahsuri dan Raja Bersiong, Kedah sebenarnya mempunyai satu lagi kisah legenda namun jarang ditonjolkan hingga ia hampir luput ditelan zaman.
Pada hal kisah Puteri Lindungan Bulan tidak kurang pentingnya kepada sejarah pentadbiran dan kesultanan negeri jelapang padi itu walaupun sebahagian daripada cerita berkenaan sudah bercampur-aduk dengan mitos.
Kewujudan makam Puteri Lindungan Bulan di Kota Seputeh, Jitra menjadi bukti ia bukan kisah dongeng atau penglipur lara.
Hal ini diakui bekas pensyarah yang kini aktif sebagai pengkaji sejarah khususnya negeri Kedah, Datuk Shaarani Hassan yang juga anak jati kampung berkenaan.
Mengimbas kembali kisah pada kurun ke-16, Shaarani berkata, Puteri Lindungan Bulan atau nama sebenarnya Tengku Zaleha adalah puteri kepada Sultan Sulaiman Shah yang menjadikan Kota Seputeh sebagai pusat pentadbiran Kedah ketika itu.
Selain Tengku Zaleha, baginda memiliki seorang lagi puteri bernama Tengku Mariam. Kedua-dua puteri itu mewarisi kecantikan bonda mereka.
“Namun nama Tengku Zaleha lebih menjadi buah mulut kerana dia digambarkan sebagai puteri yang mempunyai kecantikan luar biasa, malah didakwa memiliki keistimewaan seperti Mahsuri iaitu berdarah putih.
“Tengku Zaleha juga lebih disayangi ayahanda dan bondanya berbanding Tengku Mariam kerana kecantikan budi pekertinya yang sangat tinggi.
“Cerita puteri berdarah putih itu bukan saja popular di Kedah atau negeri berhampirannya malah melangkaui seluruh Nusantara termasuk ke pengetahuan raja Aceh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.
“Kebetulan kononnya sebelum itu baginda bermimpi melihat dua gadis jelita keluar daripada sekuntum bunga melur gergasi lalu baginda meminta ahli nujum mentafsirkan mimpinya itu.
“Nujum berkenaan menyatakan dua puteri yang datang dalam mimpi baginda itu adalah puteri kepada Sultan Sulaiman yang memerintah Kedah.
“Malah, salah seorang daripada mereka dikatakan berdarah putih. Ini membuatkan Raja Aceh menjadi taasub untuk memperisterikan puteri terbabit lalu menghantar rombongan meminang,” cerita Shaarani.
Meneruskan cerita beliau, Shaarani berkata, Sultan Sulaiman yang mengetahui hajat Raja Aceh itu bertindak menukar Tengku Zaleha dengan Tengku Mariam kerana tidak mahu puteri bongsunya itu jatuh ke tangan Sultan Iskandar yang terkenal dengan perilaku suka berganti isteri.
Beliau berkata, namun, rahsia itu terbongkar selepas Tengku Mariam diperisterikan Sultan Iskandar dan dibawa pulang ke Aceh yang mencetuskan kemurkaan baginda.
“Ada dua versi bagaimana rahsia ini terbongkar. Versi satu menyebut bahawa Tengku Mariam terpotong jarinya ketika memotong sayur untuk dimasak dan mengeluarkan darah merah bukan putih.
“Cerita kedua dia terpotong jari ketika mengacip pinang. Pada saya versi kedua lebih logik kerana tidak mungkin seorang permaisuri raja disuruh memotong sayur.
“Bagaimanapun, cara rahsia itu terbongkar tetap sama iaitu Tengku Mariam terpotong jarinya hingga Raja Aceh tahu bahawa dia bukan Tengku Zaleha yang dikatakan berdarah putih,” ujarnya.
Jelasnya, kemurkaan Sultan Iskandar menyebabkan baginda mahu membalas dendam dengan menyerang Kedah. Namun, belum sempat tentera Aceh tiba, Sultan Sulaiman sempat membina kubu bawah tanah untuk menyembunyikan Tengku Zaleha.
Menurutnya, kekuatan tentera Aceh memang sukar ditandingi di mana akhirnya Kota Siputeh musnah malah Sultan Sulaiman dan orang kenamaan baginda ditawan serta dibawa ke Aceh.
“Sebelum dibawa ke Aceh, Sultan Sulaiman berdoa supaya Tengku Zaleha yang disembunyikan di dalam kubu di bawah tanah dilindungi Allah.
“Diceritakan, selepas memusnahkan istana dan kota, tentera Aceh gagal menemui Tengku Zaleha. Walaupun ketika itu bulan mengambang terang namun pintu masuk ke kubu persembunyian puteri itu menjadi gelap hingga tentera Aceh tidak dapat mengesannya.
“Berasaskan peristiwa inilah, lahirnya nama gelaran Puteri Lindungan Bulan kepada Tengku Zaleha. Malah dia dikatakan meninggal dunia di dalam kubu itu,” katanya.
Beliau mencadangkan agar makam Puteri Lindungan Bulan bukan saja dinaik taraf malah dijadikan sebagai salah satu tempat pelancongan baru bagi negeri jelapang padi itu.
“Saya bimbang jika tidak diurus dengan baik, makam berkenaan akan terbiar begitu saja dan akan dipenuhi semak-samun. Malah apa yang dibimbangkan, ia akan dijadikan tempat menjalankan upacara berunsur khurafat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,”katanya.
Sumber Metro Harian:
Copy and paste:
24 Disember 2023 > 11 Jamadilakhir 1445: 4.07 pm


No comments: