Saturday, 16 December 2023

ISLAM ITU MUDAH

SUMBER : E-BACAAN.COM

azahidi 
30 Mei 2005

Motivasi saya untuk menulis artikel ini ialah apabila saya perhatikan berbagai-bagai perlakuan orang-orang yang kononnya mengamalkan perwatakan yang dituntut daripada seseorang Islam.

Pengalaman yang terkini ialah di kolam renang di sebuah resort peranginan. Pembaca sudah tentu arif bahawa kebanyakan kolam renang mempamirkan syarat untuk menggunakan kolam renang yaitu pakaian renang yang sesuai (bertujuan untuk keselamatan semasa berada dalam air). Pengaruh hadith-hadith dan kitab-kitab tulisan manusia (agaknya) telah buat seorang wanita turun kedalam kolam renang dengan kain tudung kepalanya. (sila baca artikel Tudung Kepala)

Sambil asyik mandi-manda dikalangan pemandi-pemandi lain yang berpakaian mandi (swimming trunks and suits), kain tudung kepalanya tercabut dan terburailah rambutnya. Maka kelam kabutlah dia cuba mencari tudungnya dan suasana pun jadi kalut, menarik perhatian ramai. Lucu.

Adakah Islam menyusahkan sampai begitu? Menyusahkan penganutnya untuk melakukan dan menikmati pemberian Allah sebagaimana yang dinikmati oleh orang berugama lain di dunia ini. Adakah orang Islam tidak bolek bercampur gaur dengan orang berugaman lain?

Teringat saya kepada satu lagi kisah di bilik hotel, di mana seorang saudara tidak berani minum menggunakan gelas yang disediakan kerana bilik hotel tersebut letak beberapa botol arak dalam peti sejuk.

Adakah Islam menyusahkan? Atau manusia yang sengaja yang menyusahkan dan mengaitkannya dengan Islam?

Kita perhatikan apa Quran kata.

Sesungguhnya Kami mudahkan al-Qur'an untuk Peringatan. Adakah sesiapa yang mengingatinya? (54:17)

Allah hendak ringankan kamu kerana manusia dicipta lemah. (4:28)

Kami tidak turunkan al-Qur'an kepada kamu supaya kamu jadi sengsara (20:2)

Inilah ayat-ayat Allah Kami bacakan kamu dengan benar, dan Allah tidak hendak sebarang kezaliman bagi semua alam. (3:108)

Dan berjuanglah untuk Allah dengan perjuangan yang sebenar; Dia telah pilih kamu, dan tidak letak ke atas kamu kesusahan dalam agama kamu, anutan bapa kamu, Ibrahim; ………(22:78)

Ayat-ayat di atas, dengan tersendiri tanpa keperluan kepada ulasan mendalam, jelas mengatakan bahawa kesusahan, kepayahan, kesukaran dan kesengsaraan bukanlah konsep yang dianjurkan Quran. Disebaliknya Quran adalah untuk kemudahan manusia. Islam adalah untuk kemudahan dan kesenangan manusia.

Sehinggakan dalam berpuasa pun, yang mungkin ada sedikit kesusahan dari keadaan harian kerana berlapar, Allah mengingatkan ianya bukanlah untuk kesukaran.

Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan …….. Allah hendakkan kemudahan bagi kamu, dan tidak hendak kesukaran bagi kamu; ……. (2:185)

Sengsara adalah hanya bagi mereka yang tidak percaya dan tidak menurut perintah Allah yang terdapat dalam Quran.

Tetapi manusia pilih untuk mengaitkan konsep kesukaran dan kepayahan dengan amalan Islam. Memang Allah beri ujian kepada manusia. Tetapi ujian bukannya dalam bentuk perbuatan lahir sahaja. Ujian sebenar ialah samaada manusia percaya dan tunduk patuh kepada apa yang dikatakan dalam Quran.

Teringat saya kepada satu lagi peristiwa dimana seorang ambil wudhu’ dengan membasuh anggotanya berkali-kali, kerana was-was takut tidak rata air pada anggota, termasuk anggota yang tidak disuruh Allah, telinga, hidung dan leher sehingga membazir air. Pernah seorang ulamak terkenal beri rasional mengapa dia cukur kepala, misai dan janggut: kerana senang meratakan air dimuka semasa berwudhu’. Ini meningkari dorongan hadith-hadith supaya menyimpan janggut.

Apabila hendak solat, Allah hanya suruh: ….basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki… (5:6). Terperinci dan jelas. Mengapa pula manusia memandai-mandai menambah dan menyusahkan dengan membasuh telinga, hidung dan leher, sehingga lupa amaran Allah: ……. dan janganlah membazir; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang membazir. (6:141). Allah tidak perincikan bagaimana cara basuh, setakat mana had muka, berapa kali basuh dan sebagainya. Allah beri kita minda untuk menentukan sendiri semua itu. Allah tidak menghendakki kesukaran atau kepayahan kepada kita.

Manusia cuba memandai-mandai lebih daripada Allah. Allah beri kelapangan, manusia menyukarkan dengan menambah-nambah. Satu lagi contoh ialah pasal mandi sebab berjunub.

Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu ucapkan, dan jangan dalam junub, kecuali kamu menyeberangi satu jalan, sehingga kamu mandi ; ………. (4:43)

Allah tidak menjelaskan cara mandi, walhal Allah boleh menjelaskan. Tetapi Allah biarkan ianya jadi mudah untuk manusia menggunakan aqal masing-masing bila mandi. Mandi bukanlah satu perkara yang memerlukan satu teori atau falsafah atau memerlukan prosidur yang kompleks atau rumit. Semua orang mandi. Tetapi manusia dengan sengaja mengadakan prosidur yang ditulis berjela-jela dan dikitabkan pula; dari cara niat, cara mula menyiram air sehinggalah cara pegang zakar semasa mandi. Allah menggunakan satu perkataan saja, mandi, tapi manusia mereka-reka prosidur berjela-jela, menghina kecerdasan dan kebijaksanaan manusia sendiri.

Terdapat berbagai-bagai lagi prosidur kehidupan harian yang diadakan. Cara basuh pakian, cara membeli belah, cara tidur, cara masuk keluar rumah, cara bersama isteri, cara buang air, dan berbagai-bagai lagi. Semuanya itu diberi kelonggaran dan kesenangan oleh Allah untuk bertindak sendiri, kecuali apa yang telah ditetapkan sebagaimana dalam Quran. Tetapi manusia mereka prosidur-prosidur, mengaitkannya dengan Islam dan serius sekali tentukan yang mana dapat pahala atau dosa. Kalau ikut apa yang mereka reka, dapat pahala. Kalau tidak dapat dosa. Ini serius. Kita mesti faham pahala dan dosa adalah hak Allah sahaja, bukan hak manusia. Manusia tidak pernah diberi mandat oleh Allah untuk menentukan pahala dan dosa.

Satu lagi situasi harian di mana manusia suka menyusahkan, samada dengan sengaja atau dengan sebab kejahilan, ialah pasal membaca Quran. Walau pun Allah menyuruh kita baca Quran, tanpa apa-apa syarat fizikal, manusia masih mengenakan syarat yaitu mesti berwudhu’. Kalau tidak, berdosa. Allah hanya beri syarat berikut:

Apabila kamu baca al-Qur'an, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam. (16:98)

Mengapa pula manusia menyukarkan? Bukan sekadar itu, malah mengharamkan pula apa yang Allah tidak mengharamkan. Sila rujuk artikel Tidak boleh sentuh Quran. Bukan setakat itu, mereka menambah lagi dengan mengatakan bahawa belajar Quran mestilah melalui guru (yang bertauliah). Siapakah guru yang betauliah? Siapa yang mentauliahkan? Allah memudahkan Quran

Sesungguhnya Kami mudahkan al-Qur'an untuk Peringatan. Adakah sesiapa yang mengingatinya? (54:17)

Tetapi manusia menyukarkan.

Ujian dan Kesukaran ???

Ramai ulamak mengatakan bahawa bukan senang nak masuk syurga. Hendak dapatkan benda yang baik mestilah bersusah-susah dahulu. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Kata perpatah Ingeris “no pain no gain”. Dalam Quran tidak terdapat kaitan terus diantara balasan di akhirat dengan kesukaran mengamalkan suruhan Allah. Balasan buruk di akhirat dikaitkan dengan keingkaran manusia mematuhi perintah Allah.

Memang Allah mengatakan bahawa manusia akan diuji. Contohnya,

Adakah manusia sangka mereka akan dibiarkan untuk berkata, "Kami percaya", dan tidak akan diuji? (29:2)

Harta kamu dan anak-anak kamu hanyalah cubaan; dan Allah, di sisi-Nya upah yang besar. (64:15)

Sungguh, Kami akan uji kamu dengan sesuatu daripada ketakutan, dan kelaparan, dan kekurangan harta, dan jiwa, dan buah-buahan; dan kamu beri berita gembira kepada orang-orang yang sabar (2:155)

……… dan supaya Allah uji apa yang di dalam diri-diri kamu, dan supaya Dia buktikan apa yang di dalam hati kamu; dan Allah tahu apa yang di dalam dada. (3:154)

Sungguh, kamu akan diuji dalam harta kamu dan diri-diri kamu, dan kamu akan dengar daripada orang-orang diberi Kitab sebelum kamu, dan daripada orang-orang yang sekutukan, gangguan yang banyak; tetapi, jika kamu sabar, dan bertakwa - sesungguhnya itulah urusan yang patut ditekadkan. (3:186)

Rasul-Rasul dan orang-orang zaman dahulu kala pun diuji. Banyak kisah-kisah dalam Quran yang ceritakan pasal bermacam-macam jenis ujian. Sebagai contoh,

Atau, adakah kamu sangka kamu akan masuk Taman (Jannah) tanpa datang kepada kamu yang sama dengan orang-orang yang telah berlalu sebelum kamu? Mereka disentuh musibah dan kesusahan, dan mereka digoncangkan sehingga Rasul dan orang-orang yang percaya bersamanya berkata, "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah dekat. (2:214)

Tetapi ujian-ujian yang diceritakan untuk kita ambil iktibar adalah dalam bentuk kepercayaan kepada Allah. Ujian yang paling besar yang diberi kepada kita semua ialah ujian samada kita percaya sepenuhnya kepada apa yang diturunkan, yaitu Quran.

Dia yang melantik kamu khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi, dan naikkan sebahagian kamu dalam darjat di atas sebahagian yang lain, supaya Dia uji kamu pada apa yang Dia beri kamu. Sesungguhnya, Pemelihara kamu cepat dalam balasan-Nya; dan sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih. (6:165)

Tiap-tiap jiwa akan rasa kematian; dan Kami uji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan, kemudian kepada Kami kamu dikembalikan. (21:35)

Ujian Allah bukanlah untuk menyusahkan. Tetapi ujian untuk menentukan samada manusia percaya kepada apa yang diturunkanNya. Tiada kena mengena dengan menyusahkan atau menyukarkan amalan-amalan harian. Allah sudah kata Islam bukan untuk menyusahkan. Lihat  (4:28), (20:2), (3:108), 22:78) di atas sebagai panduan.

Sebagai analogi, untuk dapat sesuatu ijazah, seseorang mestilah melalui beberapa ujian. Ujian itu bukanlah untuk menyukarkan tetapi untuk menentukan samada sesorang itu faham konsep subjek tertentu. Terpulanglah kepada calun tersebut samada hendak menyusahkan atau menyenangkan cara menghadapi ujian. Betul cara mentalaahnya, senanglah ia lulus ujian. Pelajar yang cemerlang dapat menjawab soalan dengan cara yang mudah. Mengapa pilih jalan susah.

Sungguh, kamu akan diuji dalam harta kamu dan diri-diri kamu, dan kamu akan dengar daripada orang-orang diberi Kitab sebelum kamu, dan daripada orang-orang yang sekutukan, gangguan yang banyak; tetapi, jika kamu sabar, dan bertakwa - sesungguhnya itulah urusan yang patut ditekadkan. (3:186)

Dan Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkan antara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan jangan ikut keinginan mereka untuk abaikan yang benar yang datang kepada kamu. Bagi setiap kamu, Kami tentukan satu peraturan, dan satu jalan yang terbuka. Sekiranya Allah hendak, tentu Dia buat kamu satu umat; tetapi supaya Dia uji kamu dalam apa Dia beri kamu. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebajikan; kepada Allah kamu kembali, kesemuanya; dan Dia beritahu kamu apa yang padanya kamu selisihkan. (5:48)

KESUKARAN DALAM ISLAM ???

Allah, Pemelihara yang Maha Berkuasa dan yang Maha Mengasihani telah menetapkan bahawa sesiapa yang menolak Quran dan pilih untuk mengikut sumber lain sebagai panduan dan ikutan, akan merana di dunia dan akhirat, dengan pilihan mereka sendiri. Allah tidak letak kesukaran orang-orang yang percaya, tetapi ulamak yang buat demikian. Mereka menginkari apa yang ada dalam Quran dengan mereka-reka hukum-hakam, syarat dan peraturan sendiri untuk semua perkara, dari cara tidur, cara mula langkah bila berjalan, apa mesti buat bila lalat jatuh kedalam minuman, cara dan bila mencukur kepala bayi, sehinggalah apa yang patut disebut bila bersatu dengan isteri; dan bermacam-macam lagi.

Mereka yang percaya kepada Allah dan percaya bahawa Quran ialah lengkap, sempurna dan terperinci, akan dapati semua perkara senang sebagaimana Allah janjikan.

Sesungguhnya wali-wali (sahabat-sahabat) Allah - tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih. (10:62)

Orang-orang yang percaya dan bertakwa, (10:63)

Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan dunia, dan di akhirat. Tidak ada pertukaran bagi kata-kata Allah; itulah kemenangan yang besar. (10:64)

Dan sesiapa yang buat kerja-kerja baik , lelaki atau perempuan, dan dia mukmin, sungguh Kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan Kami akan balas mereka dengan upah mereka mengikut yang paling baik daripada apa yang mereka telah buat. (16:97)

Sementara itu, mereka yang tidak percaya kepada Allah dan tidak percaya bahawa Quran itu lengkap, sempurna dan terperinci, dan masih merujuk kepada sumber-sumber lain akan merasai kesukaran dalam kehidupan dunia dan di akhirat nanti. Di akhirat nanti mereka akan mempertahankan perbuatan mereka. Tetapi Allah maha mengetahui.

Dan pada hari Kami kumpulkan mereka kesemuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang sekutukan, "Di manakah sekutu-sekutu kamu yang kamu dakwakan?" (6:22). Kemudian tiadalah pertikaian mereka, melainkan mereka berkata, "Demi Allah, Pemelihara kami, bukanlah kami orang-orang yang sekutukan." (6:23). Perhatikan bagaimana mereka berdusta terhadap diri-diri mereka sendiri, dan bagaimana apa yang mereka ada-adakan sesat daripada mereka. (6:24)

Kita mesti ingat amaran Allah dalam Quran.

Dan jangan ikut apa yang kamu tiada pengetahuan mengenainya; pendengaran, dan penglihatan, dan hati - semua itu ditanya. (17:36)

Copy and paste: 16 Disember 2023 > 4 Jamadilakhir 1445H: 10.31 pm


No comments: