Friday, 29 December 2023

SARAWAK BORDER SCOUTS, 1964


SUMBER : BORNEO ORACLE

SARAWAK Rangers penubuhannya adalah di era Sarawak dibawah pemerintahan keluarga Brooke dan kemudiannya Iban Trackers yang ditubuhkan ketika Sarawak dibawah Koloni British Borneo lagi. Dan perkhidmatan mereka dituntut sehingga ke bumi Malaya walaupun pada ketika itu, Sarawak, North Borneo (Sabah) dan Malaya belum lagi membentuk Malaysia. Namun dek kerana diperintah oleh Koloni Mahkota Sarawak British pada masa itu maka kesemua “bujang berani” kita ini telah mencurahkan kudrat untuk keamanan di bumi Malaya suatu ketika dahulu.
Itu sejarah Sarawak Rangers mahupun Iban Trackers yang sudah terkenal seantero dunia yang berkait rapat dengan rakyat Sarawak yang kemudiannya diserapkan menjadi menjadi Tentera Darat Diraja Malaysia apabila Malaysia terbentuk. Namun begitu mungkin pensejarahan satu lagi pasukan keselamatan yang dikenali sebagai The Sarawak Border Scouts tidak begitu diketahui oleh masyarakat Sarawak sendiri.
Sarawak Border Scouts merupakan salah satu daripada pasukan yang telah ditubuhkan melalui persefahaman di antara Kerajaan Negara Komanwel yang didokongi oleh British serta Kerajaan Malaysia yang baru sahaja dibentuk. Menurut sejarahnya pasukan ini merupakan antara yang paling banyak memainkan peranan untuk menjadi agen penghubung antara pasukan keselamatan Malaysia dan juga tentera Negara Komanwel bagi menghadapi Konfrantasi Malaysia-Indonesia yang berlangsung dari tahun 1962 sehingga 1966. Walaupun pada masa itu terdapat ramai Sarawak Rangers dan Iban Trackers yang sudah diserapkan menjadi anggota tentera Malaysia namun begitu ianya masih tidak cukup lebih-lebih lagi di kawasan sempadan baik Sabah dan Sarawak yang mudah dibolosi oleh gerila-gerila dari Kalimantan.
Maka sekitar tahun 1964 bagi memperkuatkan lagi satu operasi sulit di Borneo yang tidak diwar-warkan iaitu Operasi Claret, seramai 1,500 orang daripada etnik Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit dan yang lain-lain di Sarawak diambil untuk menganggotai pasukan separa tentera ini. Jika mereka ditugaskan di Sarawak maka mereka dikenali sebagai Sarawak Border Scouts manakala untuk di Sabah dikenali sebagai Sabah Border Scouts.
Sekitar Jun 1964, kesemua yang terpilih dari Bahagian Pertama (Kuching) dan Bahagian Kedua (Simanggang) telah mula menjalani latihan separa ketenteraan dibawah kawal selia Special Air Service Regiment (SAS) dan Gurkha Independent Parachute Company. Di bawah latihan separa ketenteraan ini anggota Border Scouts telah diberikan pendedahan tentang tugas-tugas ketenteraan serta penggunaan senjata api yang betul. Setelah hampir tiga bulan menjalani latihan barulah mereka akan diserapkan di dalam pasukan-pasukan yang menyertai segala operasi-operasi sulit di sempadan Sarawak/Indonesia yang dikenali sebagai Operasi Claret. Oleh pasukan ini dianggotai oleh anak-anak tempatan maka dibahu merekalah disandarkan segala pengetahuan mengenai selok-belok kawasan mereka. Kepakaran inilah yang banyak membantu segala pertempuran di dalam hutan berdekatan sempadan.
Oleh kerana mereka mempunyai kefahaman berbahasa dan mengenal adat resam penduduk tempatan jadi merekalah mata dan telinga bagi setiap kejayaan di dalam Operasi Claret yang berlaku sehingga di luar perbatasan Sarawak mahupun Sabah bersama-sama dengan “joint army” Negara-negara Komanwel pada masa itu.
Walaupun Konfrantasi Malaysia-Indonesia tamat pada tahun 1966 namun begitu kewujudan Border Scouts terus dituntut bagi menjaga keselamatan Sarawak dan Sabah daripada dibolosi. Pada ketika inilah mereka menjadi antara salah satu pembentuk Rejang Area Security Command (Rascom) Special Branch Unit. Dan diketika darurat komunis berlangsung di Sarawak juga, sekali lagi kepakaran mereka sebagai pemberi maklumat rahsia polis bagi memastikan gerak geri pihak komunis dari Kalimantan Utara yang menyusup masuk ke Sarawak lantas membuat onar sehingga penghidupan rakyat terjejas dengan menyerang hendap balai-balai polis dan anggota keselamatan yang lain boleh dibanteras dengan lebih awal.
Dan tiada yang boleh menafikan sumbangan anggota Sarawak Border Scouts apabila di ketika era darurat komunis di Sarawak iaitu pada tanggal 20 June 1973, bagaimana sepasukan anggota Sarawak Border Scouts yang diketuai oleh ASP Wilfred Gomez Malong bersama-sama dengan 10 orang anggotanya telah menyerang hendap kawasan komunis di Sungai Bilat di Nanga Poi, Kanowit. Pada ketika itu mereka berjaya membunuh dan juga menangkap kira-kira 16 anggota komunis serta berjaya merampas pelbagai senjata api dari pihak musuh.
Hakikatnya pasukan Sarawak Border Scouts banyak menabur jasa kepada keamanan Sarawak baik sewaktu era konfrantasi sehinggalah ketika darurat komunis berlaku di Sarawak suatu waktu dahulu. Pembubaran RASCOM pada tahun 1994 turut menyebabkan pasukan Sarawak Border Scouts dibubarkan sama yang mana menyaksikan segala hal persempadan pada masa itu adalah dibawah bidang tugas pasukan infantri Malaysia sehingga sekarang.
-HB-
Kredit foto: James Moore (Border Scouts)
-REPOSTING-
Rujukan:
1. The Border Scouts In Borneo, 1964
http://www.paradata.org.uk/articl…/border-scouts-borneo-1964
2. SAS Borneo – Where In This World
3. Recognising Rascom Roles
http://www.newsarawaktribune.com/…/Recognising-Rascoms-rol…/

Copy and paste:
29 Disember 2023 > 17 Jamadilakhir 1445H: 8.57 pm

No comments: