Friday 15 December 2023

CATATAN PORTUGIS SAHKAN KEHEBATAN TENTERA MELAYU

Posted by Wan Khairil Adli Yusoff : Admin Peminat Sejarah Lama

LUPAKAN sahaja 'khurafat' sejarah yang merendah-rendahkan bangsa Melayu dengan menganggap Kota Melaka tumbang kepada serangan penjajah Portugis disebabkan hanya berkubukan keris dan lembing. Salah tanggap kepada keagungan Kesultanan Melayu Melaka bukan sahaja disebabkan kejahilan dan kedangkalan ilmu dalam menggali sumber sejarah, bahkan turut disebabkan sifat kompleks rendah diri.
Penyakit inilah yang cuba dihapuskan dalam buku Teknologi Kesultanan Melayu Melaka: Membongkar Keagungannya Berdasarkan Catatan Portugis karya Hasanuddin Yusof dari Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara.

Sudah tentu antara jawapan terbaik dalam menentukan keagungan dan kehebatan kemajuan kesultanan Melayu boleh dicungkil daripada sumber musuh kepada kerajaan berkenaan apatah lagi tentera yang berjaya menewaskannya. Pengarang mengemukakan catatan pelayar, sejarawan, pegawai tentera dan penterjemah Portugis yang dapat dijadikan bahan dalam membina suatu gambaran besar kepada hakikat sebenar Kesultanan Melayu Melaka khususnya dalam konteks kemajuan teknologi.
KARYA PALING LENGKAP
Antaranya ialah Tome Pires yang menulis Suma Oriental (Dunia Timur); Duarte Barbosa yang juga penterjemah kepada Alfonse de Albuquerque dan pernah mengikuti Ferdinand Magellan; Gaspar Correia, panglima Istana Dom Joao III dan dikatakan meninggal dunia di Melaka serta Fernao Lopes de Castanheda yang menghasilkan karya yang dianggap paling lengkap untuk 50 tahun pertama Portugis di Asia Tenggara.
Pengarang turut berpandukan catatan Godinho de Eredia yang dilahirkan di Melaka dan berdarah kacukan Portugis-Bugis serta dilantik sebagai pelukis peta oleh penjajah, sekali gus memberikannya peluang untuk menghasilkan Description of Malacca, kira-kira seratus tahun selepas kejatuhan Melaka. Buku ini sudah tentu dapat menjawab kejahilan yang sering diulang-ulang mengenai teknologi persenjataan Kesultanan Melayu Melaka apabila memuatkan catatan Portugis dalam merakam kira-kira 3,000 laras daripada 8,000 meriam sahaja yang berjaya dirampas selepas kejatuhan Kota Melaka.
Malah pertempuran jarak dekat yang dilakukan oleh tentera Melayu juga bukan hanya menggunakan keris, bahkan senapang sehingga dicatatkan bagi setiap meriam, ada lima laras senapang yang digunakan untuk menembak daripada tiang dalam kubu.
PERIUK API, PERAHU BERAPI
Kesultanan Melayu Melaka juga menggunakan periuk api yang diperbuat daripada rotan diisi belerang dan pancang besi disalut racun, selain perahu berapi dalam usaha membakar jong Portugis. Buku ini membincangkan teknologi ketenteraan yang digunakan angkatan tentera Melaka secara terperinci seperti pertahanan, strategi perang dan pasukan seperti penyerang hendap bersenjatakan meriam, senapang dan panah; pasukan tentera elit menggunakan gajah dengan pedang panjang diikat pada gadingnya.
Lebih menarik buku ini bukan hanya menyorot teknologi pelayaran yang sinonim dengan Melayu, bahkan memetik sumber Portugis yang mencatatkan kemajuan teknologi perubatan dan bahan kimia termasuk penyediaan kemudahan hospital di Kota Melaka seperti yang ada dalam peradaban Islam termasuk di Kaherah dan Tunisia.
Sudah tentu akan timbul persoalan mengenai punca kekalahan di sebalik kehebatan teknologi persenjataan dan pertahanan Kesultanan Melayu Melaka yang didedahkan oleh sumber Portugis sendiri, iaitu kelemahan kepemimpinan tertinggi, pengkhianatan dari dalam dan kebocoran maklumat sulit.

Copy and paste:
15 Disember 2023 > 3 Jamadilakhir 1445H: 10.02 pm

No comments: