Wednesday, 13 December 2023

Di manakah kedudukan Moluoyu (Melayu) ketika kerajaan Srivijaya?

Oleh Megat Hisemudin Megat Kasim > Peminat Sejarah Lama

Dalam catatan Dinasti Tang pada abad ke 7 menyebut 未罗瑜 Moluoyu sebagai Melayu. 义净 Yi Jing pula menulis 未罗遊 moluoyou. Ketika Dinasti Yuan iaitu dinasti orang-orang Monggol menulis 沒刺由 meilayou atau molayou, 木刺由 mulayou atau 麻里予儿 maliyu-er.
Ramai ahli-ahli sejarah mengatakan Moluoyu (Melayu) terletak di Jambi berdasarkan kepada dua perkataan "Melayu" yang terdapat di Jambi iaitu Sungai Melayu yang menjadi anak sungai kepada Sungai Batanghari, sungai terpanjang di Jambi.
Yang kedua pula merujuk kepada Bhūmi Mālayu dalam Prasasti Padang Roco yang dijumpai di Dharmasraya, Sumatera Barat yang berkedudukan ke barat Jambi. Raja Singhasari atau Singosari iaitu Kertanagara dari Jawa Timur memberikan hadiah sebuah Arca Amogaphasa kepada Tribhuwanaraja, Raja Melayu Dharmasraya.
Namun adakah fakta-fakta ini mencukupi untuk menjustifikasikan bahawa Moluoyu (Melayu) itu terletak di Jambi?
Sebenarnya dalam catatan Yi Jing telah menerangkan dengan jelas kedudukan Moluoyu, cuma ia tidak ditafsirkan oleh kebanyakan pengkaji disebabkan tidak memahami tulisan Cina kuno atau tafsiran yang tidak lengkap oleh para sarjana Orientalis atau Sinologis.
Dalam tahun 671 义净 Yi Jing telah sampai ke 室利佛逝 Shilifoshi iaitu Srivijaya (Palembang) untuk mempelajari bahasa Sanskrit selama 6 bulan sebelum ke India untuk mendalami ugama Buddha.
見從大唐天子處來倍加欽上. 後乘王舶經十五日達末羅瑜洲. 又十 五日到羯茶國. 至冬末轉舶西行. Raja berjumpa dengan seorang yang datang laksana putera Dinasti Tang yang agong dan diraikan dengan penuh kemeriahan. Kemudian menaiki kapal raja selama 15 hari sampailah ke Moluoyu. Lagi 15 hari sampailah ke 羯茶國 negara Chieh Cha. Menunggu sehingga musim sejuk barulah bertukar kapal untuk ke barat yakni ke India.
Dalam tahun 685 Yi Jing kembali ke Srivijaya untuk melakukan penterjemahan kitab-kitab Buddha dan menulis dalam bukunya "南海寄归內法传" Nánhǎi jì guī nèi fǎ chuán atau "A Record of Buddhist Practices Sent Home from the Southern Sea" yang menyebut 末羅遊州,即今尸利佛逝國是 Meluoyu kini telah menjadi (sebahagian daripada) negara Shilifoshi. Bermakna Srivijaya telah menakluki Moluoyu.
Disebutkan pelayaran dari Shilifoshi (Palembang) ke Molouyu selama 15 hari. Dari Molouyu ke Chieh Cha juga selama 15 hari yang diyakini merujuk kepada Lembah Bujang di Kedah. Ini kerana secara umumnya dalam catatan China menyebut Kedah Tua sebagai 哥罗 Geluo (dibacakan Keluo).
Di manakah kedudukan Moluoyu?
Berdasarkan jumlah hari iaitu 15 hari maka bolehlah disimpulkan bahawa Moluoyu terletak di tengah-tengah antara Palembang dengan Chieh Cha. Maka adakah logik Molouyu terletak di sekitar Jambi?
Jambi terletak ke utara Palembang dan jika dikira secara "titik ke titik" dengan menggunakan kaedah koordinat GPS dari Google Map sebagai rujukan, ia berjarak 125 miles = 201 km, manakala dari Jambi ke Chieh Cha berjarak 559 miles = 900 km. Bermakna jarak Jambi ke Chieh Cha adalah lebih 4 kali ganda berbanding jarak dari Palembang ke Jambi. Oleh itu kedudukan Moluoyu bukanlah di Jambi berdasarkan jarak dari Google Map.
Dari segi Geografi kita lihat pada gambar rajah di bawah terdapat 3 lokasi yang dilabelkan sebagai A, B dan C.
A, ialah muara Sungai Musi di mana kedudukan pelabuhan Palembang. Pada ketika itu dipercayai pelabuhan Palembang terletak di antara daratan Pulau Sumatera yang terlindung oleh Pulau Bangka. Ia mempunyai kriteria yang sungguh baik untuk menjadi pelabuhan yang unggul kerana terlindung dari ombak besar. Namun kini Pelabuhan Palembang adalah sebuah pelabuhan sungai yang terletak sejauh 70 - 80 km daripada pantai.
B, ialah muara Sungai Jambi. Di muaranya membentuk sebuah delta akibat pemendapan kelodak. Jarak masa dari kerajaan Srivijaya hingga sekarang hanya sekitar 1,300 tahun. Pembentukan delta di kuala sungai biasanya sejak lebih 2 - 3 ribu tahun dahulu.
Berdasarkan kedudukan ini sudah pasti jika terdapat sebuah pelabuhan sekalipun ia bukanlah sebuah pelabuhan yang strategik berbanding Palembang kerana ia pelabuhan yang cetek akibat pemendapan kelodak sungai. Tambahan pula kedudukan Jambi adalah sekitar 90 km daripada kuala sungai Jambi. Maka dari segi strategik, Jambi bukanlah sebuah tempat yang ideal.
C, ialah muara Sungai Kampar. Daripada lakaran peta juga menunjukkan kelebaran muara sungai lebih besar daripada Sungai Musi di Palembang. Di luar pantai Sungai Kampar terdapat banyak pulau-pulau yang menjadi pelindung semulajadi untuk dijadikan sebuah pelabuhan yang ideal dan sebuah pengkalan armada laut. Kedudukannya adalah betul-betul di hujung Selat Melaka. Salah sebuah pulau iaitu Pulau Karimunbesar paling hampir dengan Tanjung Piai di Johor.
Disebabkan Srivijaya mahu menjadi sebuah kuasa maritim maka kedudukan sekeliling Sungai Kampar adalah paling strategik.
Sebab itulah Srivijaya telah menguasai Kedah Tua di utara yang menjadi pintu masuk kapal-kapal dari Lautan Hindi dan menguasai tempat di hujung Selat Melaka terutamanya "bottle neck" di Pulau Karimunbesar bagi memungut cukai dari kapal-kapal.
Catatan 趙汝适 Chao Ju-kua dalam 诸蕃志 Zhu fan zhi semasa Dinasti Sung pada abad ke 12 - 13 menyebut, 若商舶过不入,卽出船合战,期以必死,故国之舟辐凑焉. Jika kapal dagangan yang lalu tidak masuk ke pelabuhan maka dihantarkan kapal untuk diperangi dan tentunya akan mati. Maka kapal-kapal setiap negara akan berkumpul (melalui Selat Melaka). Oleh itu yang dimaksudkan "masuk ke pelabuhan" tentulah pelabuhan di Sungai Kampar di mana terdapat banyak pulau-pulau besar boleh dijadikan tempat berlabuh.
Dalam buku yang sama Yi Jing menulis, 又如室利佛逝国,至八月中,以圭测影,不缩不盈,日中人立,并皆无影。春中亦尔. Seperti negara Srivijaya, pada pertengahan bulan 8 dengan menggunakan alat penyukat bayang-bayang didapati bayang-bayang tidak kurang dan tidak lebih. Di tengahari orang berdiri tidak ada pun bayang-bayang. Ia juga berlaku di pertengahan musim bunga.
Jelas yang dimaksudkan ialah dengan fenomena "autumnal equinox" iaitu yang berlaku pada 22 atau 23 September setiap tahun dan fenomena "spring equinox" pada 20 atau 21 Mac ketika hemisfera utara di musim bunga. Ketika itu matahari berada tegak di atas kepala di garisan Khatulistiwa di waktu tengahari dan tiada bayang-bayang.
Kalendar China lebih lewat sekitar 20 - 30 hari berbanding kalendar Masehi maka ketika fenomena "autumnal equinox" berlaku ialah di pertengahan bulan 8 dalam kalendar China.
Di manakah tempat yang dimaksudkan oleh Yi Jing itu? Sudah tentukan tempat-tempat yang berada berhampiran dengan garisan Khatulistiwa.
Kita dapati tempat yang bernama Mandah di Indragiri Hilir sekarang berada pada kedudukan 0 darjah pada garis lintang iaitu garisan Khatulistiwa. Ia terletak ke selatan Sungai Kampar.
Manakala Pekan Baru dalam Kabupaten Kampar berada pada 0.5 darjah utara dari garisan Khatulistiwa. Di Kampar juga dijumpai kuil Buddha Muara Takus yang merupakan satu daripada 10 bahan arkeologi termasuk prasasti dan kuil bagi membuktikan kewujudan kerajaan Srivijaya.
Jika dilihat kedudukan Provinsi Riau jelas berada di tengah-tengah antara Palembang dengan Chieh Cha. Sebab itulah dari Palembang belayar ke Provinsi Riau atau muara Sungai Kampar selama 15 hari dan 15 hari lagi ke Chieh Cha.
Sudah tentulah yang dimaksudkan 未罗瑜 Moluoyu itu ialah tempat-tempat yang berada di Provinsi Riau sekarang.
Ketika pemerintahan kerajaan Melayu Melaka telah menguasai tempat-tempat seperti Kampar, Siak, Rokan dan Indragiri. Kesemua tempat-tempat ini berada dalam Provinsi Riau sekarang yang dahulunya ketika kerajaan Srivijaya disebut Moluoyu atau Melayu.
Nota:
Artikel ini adalah siri ke 5 dan terakhir bagi sejarah Srivijaya.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim

Copy and paste:
13 Disember 2023 -> 29 Jamadilawal 1445H: 8.36 am

1 comment:

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa said...

Catatan yang penting dan dapat menambah maklumat kajian saya tentang hubungan tamadun Melayu-China. Terima kasih.

Awang Sariyan