Monday 18 December 2023

JEJAK RASUL : BEIJING SIMPAN KHAZANAH ISLAM TERULUNG

SUMBER: DOMPAS.BLOGSPOT

BEIJING yang turut dikenali sebagai Kota Larangan menerima kedatangan Islam sejak 1,000 tahun lalu dan kini dianggarkan bilangan umat Islam di bandar itu mencecah 250,000 orang daripada lebih 11 juta penduduknya.

Niu Jie pula bukan saja pusat perdagangan, malah turut popular di kalangan umat Islam tempatan untuk mendapatkan sumber makanan halal. Lebih penting, ia pusat perkembangan agama Islam.

Masjid Niu Jie yang dibina pada 996 ketika era pemerintahan Dinasti Song, tidak pernah susut daripada kunjungan jemaah yang terkenal berpegang teguh pada akidah Islam. Lebih 20,000 jemaah membanjiri masjid itu untuk mendirikan solat Jumaat.


Tulisan ayat suci al-Quran bertatahkan warna merah, emas dan beberapa warna lain memenuhi segenap ruang masjid tertua di Niu Jie dengan motif yang sama juga boleh dilihat pada lebih 35,000 masjid seluruh China.

Masjid Niu Jie yang digelar Li Bai Si, bermaksud gedung solat dibina di atas tapak seluas 6,000 meter persegi turut menempatkan kemudahan kelas agama, pejabat pentadbiran dan bilik wuduk.

Di situ juga ada dua makam lama dipercayai berusia lebih 700 tahun dipercayai tempat persemadian dua tokoh pendakwah, satu daripadanya milik Syeikh Ahmad al-Bartani yang banyak menyumbang kepada perkembangan Islam di Beijing.

Masjid Xia Taoyuan, satu di antara enam masjid utama di Selatan Shanghai menjadi nadi perkembangan Islam. Ia dipercayai mula berkembang apabila Shanghai membuka pintu perdagangan kepada dunia luar.

Krew Jejak Rasul ke Kashi atau Kashgar di Xinjiang, wilayah autonomi masyarakat Islam Uygur.

Kashgar dihuni lebih 200,000 penduduk daripada 30 suku kaum. Menjadi dasar Kerajaan China mengamalkan kebebasan kepada semua suku kaum untuk mengamalkan agama, budaya dan bahasa mereka.

Kampung Upoor dalam wilayah Shi Fu, 50 kilometer dari Kashgar menempatkan makam tokoh terkenal Uygur, Mehmud Kashgarli yang dilahirkan di Kashgar pada 1008.

Sebaik tamat persekolahan, beliau mengembara hampir ke seluruh rantau Asia tengah untuk mengkaji bahasa, budaya dan sejarah pelbagai suku kaum. Beliau kemudian berhijrah ke Baghdad bagi mendalami ilmu bahasa.

Ketika itulah beliau mengarang karya masyhur iaitu kamus bahasa Turki ditulis dalam bahasa Arab.

Selain kamus, Kashgarli menghasilkan manuskrip dalam bidang sastera, budaya, astronomi, geografi dan biologi yang turut menjadi rujukan utama ahli akademik.

Kashgarli kembali ke pangkuan masyarakat pada 1080 selepas 23 tahun berkelana mencari ilmu di kota Bahgdad, Iraq.

Di tanah kelahirannya, Kashgarli menabur jasa selama 25 tahun sehingga meninggal dunia pada 1105, ketika berusia 97 tahun.

Copy and paste:
18 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 1.06 pm

No comments: