Monday, 18 December 2023

Masjid Huaisheng, Masjid Tertua Di China Yang Indah Dan Bersejarah

SUMBER:ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA 

Kita sering mendengar ungkapan popular ‘tuntutlah ilmu walau sampai ke Negeri China’ yang sering dianggap oleh banyak pihak sebagai hadith. Imam Al-Baihaqi menyatakan bahawa: “Matan hadith ini masyhur, isnadnya dhaif dan telah diriwayatkan berbagai jalur, semuanya dhaif.”

Meskipun ia bukanlah hadith yang sahih, ia tidak pula menafikan sejarah panjang kedatangan Islam di sana. Islam sudah bertapak di China sejak abad ke-7 lagi hasil penyebaran daripada pendakwah dan pedagang Arab yang datang ke sana.

Sejarah hubungan antara negara China dan Alam Melayu Nusantara juga sudah tercatat sejak sekitar 800 tahun dahulu, lebih awal daripada kedatangan Laksamana Cheng Ho. Ini terbukti dengan penemuan sebuah batu nisan di perkuburan sekitar Bandar Seri Begawan, Brunei oleh Profesor Wolfgang Franke pada 1972. Pada batu nisan tersebut tercatat nama Pu Kung, seorang Datuk Bandar Cina Muslim dari Quanzhou, Fujian, China, pada masa Dinasti Song (960-1279).

Sehingga kini, Republik China mempunyai populasi Muslim yang minoriti – tetapi lebih ramai daripada jumlah penganut agama tersebut di Malaysia – iaitu seramai 23 juta orang. Mereka terdiri daripada etnik Hui, Uighur, Kazakh, Dongxiang, Kirgiz, Salar, Tajik, Baoan, Uzbek dan Tatar.

Salah satu bukti daripada tersebarnya ajaran agama Islam adalah terdapatnya masjid-masjid yang diperkirakan telah ada sejak ratusan tahun lalu. China mempunyai 35,000 buah masjid, 57,000 orang imam, 720 buah pertubuhan Islam dan 10 institut Islam.


Masjid Huaisheng di China, merupakan masjid pertama dibina di negara tersebut, serta antara masjid tertua di rantau ini. Didirikan lebih 1,300 tahun yang lalu, dan menaranya setinggi 36-meter yang menjulang ke langit. pernah menjadi antara mercu tanda utama di Guangzhou sehingga penghujung Abad 19.

Masjid indah yang terletak di Guangzhou, China ini merupakan masjid yang sarat dengan sejarah. Masjid Huaisheng dibangun ketika Dinasti Tang (619-907), tepatnya ketika para pedagang Muslim datang ke China melalui Laluan Sutera.

Laluan Sutera merupakan jalan perdagangan yang menghubungkan negara-negara Timur dan Barat pada saat itu. Islam mula bertapak di Guangzhou, sebelum ajaran agama indah tersebut menyebar ke wilayah lain.

Semoga masjid ini terus terpelihara, serta umat Islam di sana khususnya masyarakat Muslim Uighur di Xinjiang/Turkistan Timur akan dilindungi dengan rahmat, perlindungan dan maghfirah daripada Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Copy and paste: 18 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 7.07 pm

No comments: